Selasa, 19 Jun 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Sayu lihat tangisan ibu

Posted: 18 Jun 2012 11:59 AM PDT

KUCHING: Seorang remaja lelaki membatalkan niat terjun dari tingkat tiga bangunan empat tingkat selepas melihat kelibat ibu dan bapanya yang menangis selain merayu dia tidak meneruskan tindakan berkenaan di Chong Ling Park, Jalan Tabuan, di sini, kelmarin.

Difahamkan, kejadian jam 8 malam berlaku apabila remaja berusia 18 tahun yang bekerja di rumah urut berdekatan mengambil tindakan nekad itu selepas berdepan tekanan perasaan akibat masalah keluarga.


Menurut sumber, perbuatan remaja terbabit dilihat orang ramai sebelum menghubungi polis.

"Remaja terbabit menyewa di bilik di bangunan berkenaan, duduk di tepi tingkap, seolah-olah mahu terjun.


"Sebaik menerima panggilan kecemasan, polis mendapatkan bantuan bomba dan penyelamat bagi memujuk remaja berkenaan.


"Apabila semua usaha buntu, polis terpaksa menghubungi keluarga remaja itu sebelum ibu dan bapa lelaki itu tiba beberapa minit kemudian," katanya.

Katanya, dalam keadaan menangis, pasangan suami isteri itu kemudian kemudian bergegas ke tingkat tiga bagi memujuk anak mereka itu supaya tidak meneruskan perbuatan itu.


"Usaha dan pujukan pasangan itu membuahkan hasil apabila remaja terbabit membatalkan niat sambil meluru memeluk kedua ibu dan bapanya," katanya.

Beliau berkata, remaja terbabit dibawa ke Balai Polis Simpang Tiga untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.


‘Mata-mata’ OKU dicekup lagi

Posted: 18 Jun 2012 11:26 AM PDT

TANJUNG KARANG: Walaupun sudah ditahan Januari lalu, seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) masih tidak serik untuk menjadi 'tonto' pusat perjudian haram apabila dia ditahan lagi di sebuah premis di Jalan Jeti Baru, di sini, petang kelmarin.

Lelaki yang cacat tangan kanan berusia 44 tahun itu dikatakan sanggup mengambil risiko itu hanya kerana mahukan upah RM30 sehari untuk menjadi 'mata dan telinga' pusat perjudian berkenaan selain turut dibekalkan 'walkie-talkie' bagi mengawasi kawasan itu.


Namun, tindakan licik lelaki terbabit gagal apabila dia bersama sembilan kaki judi berusia 45 hingga 65 tahun ditahan dalam 'Ops Dadu' oleh sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor kira-kira jam 5 petang kelmarin.

Ketua Cawangan D7 Selangor, Asisten Superintendan, Adzli Abu Shah yang mengetuai serbuan itu berkata, polis turut merampas wang tunai RM19,500, satu 'walkie-talkie' dan beberapa peralatan perjudian dalam serbuan itu.


"Dianggarkan seramai 28 kaki judi berada dalam premis itu, namun ada yang melarikan diri termasuk terjun ke dalam sungai berhampiran dan berenang ke kawasan hutan bakau," katanya.


Adzli berkata, pihaknya menjalankan intipan selama sebulan sebelum mengadakan serbuan dan kegiatan judi itu digelar perjudian pasar malam oleh kaki judi berikutan dijalankan secara terbuka seolah-olah urusniaga di pasar malam.

Katanya, ada kaki judi yang sanggup datang dari Seremban, Banting dan Kuala Lumpur semata-mata untuk berjudi di situ.


Semua suspek yang juga warga tempatan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 7 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan