Ahad, 17 Jun 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Empat impian Najib

Posted: 17 Jun 2012 02:51 PM PDT

Nasional

PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak tertarik melihat lukisan kanak-kanak yang memenangi kad tercantik sempena majlis penyampaian hadiah pertandingan melukis kad Hari Guru di Kota Kinabalu, semalam. Turut kelihatan bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman (dua kiri) dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Yee Moh Chai (kanan). - Foto BERNAMA

PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak tertarik melihat lukisan kanak-kanak yang memenangi kad tercantik sempena majlis penyampaian hadiah pertandingan melukis kad Hari Guru di Kota Kinabalu, semalam. Turut kelihatan bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman (dua kiri) dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Yee Moh Chai (kanan). - Foto BERNAMA

Komited pastikan masa depan Malaysia lebih baik

TAMBUNAN: Datuk Seri Najib Razak semalam, menyatakan empat impiannya untuk Malaysia dan komited bagi merealisasikannya demi masa depan negara yang lebih baik.

Perdana Menteri berkata, impiannya adalah untuk melihat negara ini lebih aman, selamat dan harmoni selain melihat rakyat memperoleh pendapatan lebih tinggi menerusi program transformasi bandar serta luar bandar.

Saya bukan seorang pemimpin suka berjanji sesuatu yang sukar dilaksana dan tak mahu diingati sebagai pemimpin mungkir kepada janji. - Najib Razak, Perdana Menteri

Katanya, beliau juga mengimpikan untuk mewujudkan peluang lebih baik kepada rakyat di bawah langit biru 1Malaysia bersama rakannya dalam Barisan Nasional (BN) yang sentiasa komited membantu rakyat.

"Impian terakhir saya adalah untuk mengetuai usaha mewujudkan Malaysia yang lebih baik dan kukuh demi generasi masa depan," katanya berucap di depan lebih 5,000 orang pada majlis bersama rakyat dan upacara pecah tanah Kolej Kadazandusun Murut (KDM) di sini, semalam.

Hadir sama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan.

Najib juga berkata, beliau bukan seorang pemimpin suka berjanji sesuatu yang sukar dilaksanakan dan tidak mahu diingati sebagai pemimpin mungkir kepada janji.
"Saya tidak mahu cakap mengenai pembangkang yang menjanjikan bulan, bintang dan cakerawala untuk mendapatkan sokongan semata-mata. Anda (pembangkang) boleh memperbodohkan rakyat dengan menipu sekali-sekala tetapi tidak boleh menipu sepanjang masa," katanya.

Sementara itu di KOTA KINABALU, Najib berkata, program bagi menghargai jasa guru wajar dijadikan sebagai amalan dan tradisi secara berterusan kerana dengan cara itu, guru mendapat penghargaan atas sumbangan mereka.

Perdana Menteri berkata, program seumpama itu mampu mencapai dua objektif besar, iaitu memperlihat sumbangan besar golongan guru terhadap masyarakat dan membentuk keperibadian baik seseorang sejak usia awal.

"Guru adalah wira masyarakat atau dalam bahasa Inggeris 'the unsungheroes in the society'. Tetapi sumbangan mereka kepada masyarakat tidak ketara.

"Objektif kedua ialah ia (program) dapat membentuk keperibadian seseorang kerana kita perlukan generasi berpelajaran, berilmu pengetahuan, berperwatakan, mempunyai nilai murni, sikap positif dan perwatakan yang menyenangkan," katanya ketika merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Melukis Kad Hari Guru Peringkat Negeri di sini, semalam.

Pada majlis itu, Najib turut memilih kad ucapan Hari Guru yang dihasilkan seorang pelajar dan membacakannya di hadapan ratusan guru serta wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Sejurus selepas majlis itu, Najib berlepas pulang ke Kuala Lumpur selepas lawatan dua hari ke Sabah.


Syor rekod disiplin syarat ke SBP

Posted: 17 Jun 2012 02:39 PM PDT

Nasional

Muhammad Khailani Abd Jalil (kiri) dan Alimuddin Mohd Dom

Muhammad Khailani Abd Jalil (kiri) dan Alimuddin Mohd Dom

Kementerian dicadang perkenal mekanisme pantau tingkah laku pelajar

KUALA LUMPUR: Rekod disiplin dan sahsiah pelajar wajar dijadikan kriteria dalam mempertimbangkan permohonan biasiswa atau kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP) dan universiti.

Bagi tujuan itu, Kementerian Pelajaran dicadang memperkenalkan mekanisme untuk memantau dan merekod secara berterusan melalui penilaian di sekolah untuk mengenal pasti perkembangan sahsiah dan disiplin setiap pelajar bermula dari Tahun Satu.

Sudah sampai masanya aspek sahsiah dan disiplin tidak lagi hanya diajar sebagai mata pelajaran, tetapi diberi penekanan lebih berat melalui penilaian terhadap amalan sebenar supaya ia dapat dihayati dengan berkesan oleh pelajar di sekolah dan ibu bapa. - Muhamad Khailani Abdul Jalil, Yang Dipertua MPSM

Cadangan itu adalah sebahagian daripada kandungan memorandum dikemukakan Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) kepada kerajaan sebagai input kepada transformasi sistem pendidikan negara yang sedang dirangka.

Yang Dipertua MPSM, Muhamad Khailani Abdul Jalil, berkata kriteria itu dapat mendidik dan memupuk pelajar supaya sentiasa peka kepada kepentingan sahsiah, sekali gus membantu mengatasi masalah disiplin di sekolah.

"Antara komponen penilaian boleh diambil kira dalam pemantauan terhadap sahsiah dan disiplin pelajar ialah sikap, tingkah laku dan kehadiran ke sekolah. Malah, boleh diperkenalkan sistem merit dan demerit untuk menilai disiplin pelajar.

"Sudah sampai masanya aspek sahsiah dan disiplin tidak lagi hanya diajar sebagai mata pelajaran, tetapi diberi penekanan lebih berat melalui penilaian terhadap amalan sebenar supaya ia dapat dihayati dengan berkesan oleh pelajar di sekolah dan ibu bapa.
"Ukuran kecemerlangan seseorang pelajar tidak harus terbatas kepada pencapaian akademik semata-mata, tetapi perlu holistik meliputi kokurikulum, kepemimpinan dan kemasyarakatan, sahsiah serta disiplin yang dilihat penting untuk pembinaan karakter generasi muda negara.

"Semua pembaharuan ini mesti berasaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk masa depan. Falsafah sedia ada sudah bagus dan tidak perlu digugurkan, cuma pelaksanaannya boleh ditambah baik dari semasa ke semasa," katanya kepada Berita Harian, semalam.

Dalam pada itu, Muhamad Khailani, berkata dalam memorandumnya, MPSM turut meminta kerajaan terus mengekalkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara.

"Ini berikutan melalui Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) 2012 yang sedang berlangsung, dilihat ada kecenderungan sesetengah peserta yang mahu supaya diwujudkan semula sekolah aliran Inggeris sebagai pilihan dalam sistem pendidikan negara.

"Kita tak setuju. MPSM akan bergabung usaha dengan pejuang bahasa untuk memastikan bahasa Melayu kekal sebagai bahasa pengantar tunggal dalam sistem pen-didikan negara seperti termaktub dalam Dasar Bahasa Kebangsaan dan Penyata Razak," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata hasil perbincangan siri DNPN 2012 yang kini memasuki fasa pertengahan akan diserahkan kepada Pengerusi Panel Penilai Bebas Kajian Semula Sistem Pendidikan Negara, Profesor Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak, Ogos depan.

Panel itu sudah menjelajahi lima tempat setakat ini, iaitu Putrajaya, Labuan, Miri, Shah Alam dan Pulau Pinang, manakala yang terakhir di Johor Bharu akan diadakan bulan depan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan