Khamis, 21 Jun 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Mati penuh misteri

Posted: 20 Jun 2012 11:04 AM PDT

SUNGAI PETANI: Punca kematian seorang pengusaha butik kecantikan menimbulkan misteri kerana mayatnya yang ditemui terbaring atas tempat duduk motosikal di dalam longkang, turut mempunyai kesan tikaman di leher, dada dan pinggang kiri.

Mayat M Varathi, 23, dari Taman Arked, di sini, ditemui kira-kira jam 7 pagi oleh pengguna jalan raya berhampiran Kompleks Mahkamah Sungai Petani di Jalan Amanjaya, dekat sini, yang pada mulanya menyangka mangsa mati akibat kemalangan motosikal.

Selain beberapa kesan tikaman, cincin, rantai leher serta telefon bimbit mangsa turut hilang kecuali seikat buah rambutan ditemui masih berada dalam raga motosikalnya.

Adik mangsa yang enggan dikenali berkata, biasanya kakaknya menutup butik miliknya di Taman Ria Jaya di sini, kira-kira jam 6 petang sebelum pergi belajar di sebuah butik kecantikan lain di Taman Sejati Indah dan pulang ke rumah pada jam 10.30 malam setiap hari.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.


Bakar rumah kerana RM20

Posted: 20 Jun 2012 10:22 AM PDT

PETALING JAYA: Seorang lelaki dipercayai penagih dadah mengamuk sambil mengacu pisau dan mengugut untuk membunuh keluarganya sebelum membakar rumah mereka di Desa Mentari, di sini, awal pagi kelmarin, selepas dikatakan berang apabila gagal memperoleh RM20 yang diminta daripada ibunya.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, lelaki berusia 19 tahun itu dikatakan sedang ketagihan dan meminta wang daripada ibunya berusia 46 tahun untuk membeli bekalan dadah.


Namun, wanita berkenaan gagal berbuat demikian kerana tidak mempunyai wang yang diminta berikutan tidak bekerja. Menurut sumber, selepas permintaannya untuk mendapatkan wang itu tidak diendahkan menyebabkan lelaki terbabit tiba-tiba mengamuk dan mengambil pisau di dapur sebelum mengugut untuk menikam ibu, bapa dan adik bongsunya.

"Lelaki berkenaan sudah beberapa kali mengamuk dalam rumah jika ibunya tidak memberi wang yang diminta menyebabkan wanita itu tidak lagi mahu melayan permintaan anaknya itu untuk mendapatkan wang. "Bagaimanapun, kali ini anaknya itu bertindak lebih berani dengan mengacu pisau dan bimbang dengan perlakuan ganas itu, ibunya segera keluar dari rumah bersama suami dan anak bongsu," katanya.


Sumber berkata, lelaki itu yang berang dengan tindakan itu kemudian bertindak lebih ganas apabila membakar sebuah bilik tidur sebelum mengamuk di luar rumah.


"Jiran keluarga itu tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu mereka kerana lelaki berkenaan memegang pisau dan mengancam untuk mencederakan sesiapa saja yang cuba masuk campur.

"Amukan itu tidak bertahan lama apabila dia diberkas polis yang dihubungi penduduk yang khuatir situasi berkenaan akan menjadi lebih buruk," katanya.


Katanya, ibunya kemudian membuat laporan di Balai Polis Petaling Jaya kerana tidak tahan dengan perangai anaknya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, mengesahkan tangkapan dan memberitahu suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan bunuh dan Seksyen 435 kanun sama kerana khianat dengan api atau benda letupan dengan niat hendak menyebabkan kerosakan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan