Isnin, 18 Jun 2012

Harian Metro: BeritaUtama

Harian Metro: BeritaUtama


Merintih hilang kaki

Posted: 17 Jun 2012 03:26 PM PDT

ALOR GAJAH: "Tolong carikan kaki saya, encik," raung penunggang motosikal, P Ravindran, 51, kepada anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) supaya mencari kaki kanannya yang terputus akibat bertembung sebuah kereta dinaiki tiga beranak di Jalan Lesung Batu-Machap Umbo, dekat sini, kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian jam 7.30 malam itu, mangsa menunggang motosikal Honda EX5 menghala bandar hilang kawalan lalu bertembung Proton Persona.

Perlanggaran itu bukan saja menyebabkan mangsa yang berasal dari Karak, Pahang, putus kaki kanan, malah pahanya turut hancur selain patah kaki kiri.
Dia turut tercampak kira-kira 10 meter.

Anggota JPAM Alor Gajah, Mohd Jumat Rahim, 24, berkata, dia dan dua rakan setugas melalui jalan berkenaan ketika ke Hutan Perca.

"Sejurus tiba di tempat kejadian, kami terkejut melihat seorang lelaki terbaring atas jalan dalam keadaan berlumuran darah sambil meraung meminta tolong.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.




Dadah dalam uncang teh

Posted: 17 Jun 2012 03:26 PM PDT

SELAYANG: Aktiviti hiburan melampau di dua rumah tiga tingkat yang diubahsuai menjadi disko haram sehingga mengganggu ketenteraman penduduk setempat di Bukit Idaman, Selayang, di sini, akhirnya membongkar kegiatan pengedaran pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM570,000 dan rampasan wang tunai lebih RM51,000 termasuk mata wang asing, kelmarin.

Difahamkan, sindiket yang didalangi pasangan bapa dan anaknya yang berusia 16 tahun itu mengubah suai rumah kediaman itu kepada pusat hiburan tanpa lesen bagi menyediakan ruang hiburan eksklusif untuk pengunjung.


Bagaimanapun, suasana bising dan keadaan riuh pada sebelah malam di dua buah rumah berkenaan menyebabkan penduduk kawasan perumahan itu membuat aduan kepada polis sebelum pasukan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menyerbu rumah berkenaan jam 1 pagi, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, rumah teres berkenaan dipercayai menjadi pusat hiburan tanpa lesen apabila beberapa buah bilik di rumah tiga tingkat itu diubah suai dengan sistem karaoke.


"Pusat hiburan haram ini dipercayai menggunakan konsep hiburan eksklusif dan rata-rata pengunjungnya terdiri daripada golongan kaya apabila kami menemui beberapa buah kenderaan mewah diletakkan di kawasan rumah berkenaan.


"Ketika serbuan, polis menahan lapan orang termasuk dua wanita berusia 16 hingga 56 tahun dipercayai khayal di bawah pengaruh dadah," katanya pada sidang media, semalam.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui bungkusan plastik lutsinar dipercayai ganja, sebelum soal siasat terhadap pemilik rumah berusia 40-an membawa polis ke satu lagi kediamannya di kondominium berhampiran yang dihuni anaknya itu.


Abdul Rahim berkata, serbuan di kondominium itu membawa kepada penemuan dua kotak pil Eramin 5 dan wang tunai dipercayai hasil kegiatan pengedaran serta alat penimbang. "Suspek turut menunjukkan tempat dia menyimpan dadah dalam dua kereta mewah di tempat letak kenderaan kondominium itu. Pemeriksaan lanjut menemui pil Eramin 5 dan ketamin yang dibungkus dalam uncang teh. "Lebih 400 paket dadah campuran serbuk Eramin 5, ecstasy dan ketamin yang dipek dalam bentuk uncang teh dirampas dan alatan 'mini bong' untuk menyedut ectasy dalam bentuk serbuk turut ditemui di rumah itu," katanya.

Katanya, semua suspek itu dipercayai bekerja sebagai penarik kereta, pengurus lapangan dan juga penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) manakala anak suspek pula tidak bersekolah, dibawa ke IPD Gombak untuk tindakan," katanya. Katanya, sindiket berkenaan dipercayai beroperasi sejak sebulan lalu dan dipercayai dadah berkenaan digunakan untuk hiburan dan pengedaran di sekitar kawasan Lembah Klang.


Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula kelmarin.


Kelmarin, Harian Metro melaporkan serbuan pasukan D7 IPD Gombak ke sebuah rumah mewah di Bukit Idaman selepas menerima aduan penduduk mengenai aktiviti disko haram membongkar kegiatan pengedaran dadah pemilik kediaman itu apabila menemui pelbagai jenis bahan terlarang berkenaan. Dalam serbuan berkenaan, pasukan itu melakukan pemeriksaan di tempat kejadian selepas menerima aduan mengenai bunyi bising dan suasana riuh di rumah itu pada sebelah malam selain kerap dikunjungi orang ramai, baru-baru ini. Menurut sumber, rumah teres terbabit disyaki menjadi pusat hiburan tanpa lesen sebelum sepasukan D7 dari IPD Gombak melakukan intipan, namun tidak menduga pemeriksaan lanjut dalam rumah itu akan menemui pelbagai jenis dadah, termasuk pil khayal.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan