Isnin, 25 Jun 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Diserbu urus judi Euro 2012

Posted: 24 Jun 2012 01:28 PM PDT

KLANG: Ketika peminat pasukan Sepanyol dan Perancis sedang rancak menyokong pasukan masing-masing dalam perlawanan suku akhir Euro 2012, tiga lelaki sibuk menjadikan pejabat mereka sebagai pusat sehenti perjudian dalam talian.

Namun, keghairahan mereka mengaut keuntungan dengan cara mudah terpaksa dilupakan sejurus premis berkenaan di Jalan Pekan Baru, Meru, dekat sini diserbu polis, awal pagi semalam.


Serbuan 'Ops Soga' dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor kira-kira jam 1.30 pagi itu dibuat hasil risikan selama beberapa hari.

Menurut sumber, suspek berusia antara 35 dan 65 tahun ditahan ketika sedang sibuk menguruskan pertaruhan dalam talian yang dipercayai dijalankan sempena Euro 2012.


Difahamkan, suspek menjalankan urusan perjudian antarabangsa bersama pelanggan menggunakan laman sesawang perjudian antarabangsa berdasarkan talian yang tertera pada skrin.


"Sindiket berkenaan berurusan menggunakan telefon bimbit dan laman sesawang perjudian antarabangsa apabila anggota sindiket memberi kata laluan kepada pelanggan yang kemudian akan membuat bayaran melalui kad kredit.

"Jumlah pertaruhan masih dalam siasatan dan difahamkan wang pertaruhan yang diperoleh akan diagihkan sesama anggota sindiket selepas mengetahui keputusan setiap perlawanan," katanya.


Berdasarkan kepada maklumat yang terpapar pada skrin komputer, sindiket berkenaan bukan saja menjalankan pertaruhan sempena Euro 2012, malah menjalankan pertaruhan bagi perlawanan bola sepak untuk Liga negara Arab dan Brazil Serie B.

Sumber itu berkata, dalam serbuan berkenaan, polis turut merampas komputer yang digunakan untuk menjalankan pertaruhan, modem serta wang tunai yang masih belum diketahui jumlahnya.


Semua suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara untuk siasatan.


Bagaimanapun, tempoh sindiket itu beroperasi dan rangkaian yang terbabit masih dalam siasatan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan dan Pencegahan Kegiatan Judi Bola Sepak.


Difahamkan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah akan mengadakan sidang media mengenai kejayaan polis itu dalam masa terdekat.


Polis kesan drebar langgar pekerja kilang

Posted: 24 Jun 2012 01:27 PM PDT

SHAH ALAM: Polis meminta individu yang terbabit dalam kejadian langgar lari hingga menyebabkan seorang penunggang basikal kritikal di Persiaran Perusahaan, Seksyen 23, di sini, kelmarin tampil membantu siasatan.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Shah Alam, Deputi Superintendan Ruslan Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.45 pagi itu, mangsa, Abdul Hassan Abdul Azeez, 34, menunggang basikal dari rumahnya di Seksyen 21 ke kilang tempatnya bekerja sebelum dirempuh dari belakang dipercayai kenderaan berat.


"Mangsa berasal dari Sri Lanka kini koma dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan.

"Berdasarkan siasatan awal, kami percaya mangsa dilanggar kenderaan berat berikutan kecederaan serius yang dialami," katanya.


Ruslan berkata, polis menerima panggilan pada jam 3.54 petang daripada majikan mangsa.


Katanya, kejadian disedari rakan mangsa yang kebetulan dalam perjalanan ke tempat kerja.

"Rakan sekerja mangsa mengecam mangsa melalui pakaian seragam kilang yang dipakai mangsa sebelum menghubungi majikan dan membuat laporan polis," katanya.


Polis meminta individu terbabit atau orang awam yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi trafik Shah Alam di talian 03-55202222 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Azizul Zahari di talian 012-7220094.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan