Ahad, 24 Jun 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


SPRM masih jalankan siasatan terhadap AKSB

Posted: 24 Jun 2012 03:06 AM PDT

Mutakhir

KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih meneruskan siasatan terhadap Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) berhubung dakwaan kononnya berlaku penyelewengan melibatkan peruntukan kerajaan pusat untuk program bekalan air bersih di negeri itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Mohd Shukri Abdul berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berpandukan fakta dan bukannya berdasarkan kepada cakap orang.

"Siasatan ini tidak boleh ada jangka masa, apabila siasatan itu siap lengkap, kita akan maklumkan," katanya selepas majlis perasmian Kompleks Pejabat SPRM Negeri Kelantan oleh Sultan Kelantan Sultan Muhammad V di sini, hari ini. Mohd Shukri berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan siasatan terhadap laporan yang dibuat Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) kepada SPRM pada 20 Mac lalu, berhubung dakwaan berlaku penyelewengan dalam syarikat tersebut yang membabitkan peruntukan kerajaan pusat untuk program bekalan air bersih di negeri itu.

Beliau berkata, apabila pihaknya menyiasat sesuatu kes dan sekiranya tidak dibawa ke mahkamah, bukan bermakna tiada kes tetapi mungkin disebabkan tidak cukup bukti.

Mengulas tindakan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin yang menghantar surat supaya sebuah firma guaman yang mempunyai hubungan keluarga dengannya dipertimbangkan sebagai panel peguam di Permodalan Negeri Selangor Bhd, Mohd Shukri berkata, pihaknya sedang meneliti perkara tersebut. - BERNAMA


Kontraktor lemas ketika memancing di Tasik Kenyir

Posted: 24 Jun 2012 03:01 AM PDT

Mutakhir

HULU TERENGGANU: Keriangan seorang kontraktor untuk memancing di Sungai Tetuang, Tasik Kenyir bertukar tragedi apabila mangsa terjatuh dari bot sebelum dijumpai lemas di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Ismail Muslim berkata, mangsa, Tan Thung Foo, 40, seorang kaki pancing dari Selangor pergi ke sungai berkenaan untuk memancing bersama seorang rakannya berusia 37 tahun kira-kira 2.45 petang.

Katanya, mangsa ke tempat tersebut dengan menaiki bot yang dikemudi oleh rakannya dan apabila sampai di tempat kejadian mangsa cuba mengikat bot berkenaan pada tunggul kayu di tengah tasik tetapi Tan terjatuh kerana gagal mengimbangi badan. "Kita dimaklumkan mangsa memakai jaket keselamatan tetapi ia hanya disangkut di badan dan tidak diikat dengan kemas menyebabkan hanya jaket tersebut dan topi mangsa timbul selepas mangsa terjatuh," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, selepas melihat mangsa tenggelam, rakannya panik dan tidak mampu berbuat apa-apa dan dia cuba mendapatkan bantuan melalui telefon namun ia agak sukar memandangkan lokasi berkenaan adalah di luar rangkaian talian.

Mohd Ismail berkata, bertindak atas laporan pihak polis dan 13 anggota jabatan bomba dan penyelamat Hulu Terengganu bersama dua buah bot tiba di tempat kejadian pada 6 petang, yang terletak kira-kira satu jam perjalanan dari Pengkalan Gawi.

"Mayat mangsa ditemui kira-kira 7.40 pagi tadi yang terapung tidak jauh dari tempat dia terjatuh dan mayat dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk dibedah siasat," katanya.
Sementara itu, Mohd Ismail mengingatkan orang ramai supaya menjaga keselamatan untuk melakukan sebarang aktiviti di Tasik Kenyir terutamanya perlu memakai jaket keselamatan dengan betul. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan