Ahad, 24 Jun 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Akademi semarak perpaduan

Posted: 23 Jun 2012 02:58 PM PDT

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Warisan Anak Merdeka (WAM) bercadang menubuhkan sebuah akademi yang dapat membantu menyemarakkan lagi semangat perpaduan di kalangan rakyat Malaysia.

Presidennya, Datuk Dr Mohamed Alwi Abdul Rahman berkata, dengan penubuhan akademi itu, lebih banyak program berbentuk kesedaran dapat dianjurkan, malah generasi muda khususnya akan lebih terdidik untuk mengenali sejarah.


"Kita berusaha menubuhkan akademi ini dan dijangka dapat didaftarkan sebelum 31 Ogos depan sebagai sumber ilmu kepada masyarakat untuk menyayangi negara, membentuk perpaduan dan dalam masa sama mendidik anak bangsa kita.

"WAM juga tidak ketinggalan menggunakan akademi yang kemudian dinaik taraf menjadi yayasan sebagai pusat mendidik generasi muda berkenaan aspek bantuan kecemasan dan persediaan menghadapi bencana.


"Hasrat kita mahu menjadikan warga Malaysia sebagai rakyat sihat, sentiasa bersatu, bersedia pada bila-bila masa dan tidak lokek menghulurkan bantuan ketika diperlukan, lebih-lebih lagi generasi muda," katanya di sini, semalam.


Beliau ditemui selepas pelancaran program Persediaan Komuniti Dalam Menghadapi Bencana di Memorial Tunku Abdul Rahman yang disempurnakan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Azman Abu Bakar.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Arkib Negarawan, Ihsan Hassan.


Dr Mohamed Alwi berkata, bagi memastikan penubuhan akademi itu berjaya, pihaknya memerlukan RM2 juta sebagai dana permulaan bagi penganjuran program bertempoh tiga tahun.

"Kita sangat berharap dapat sokongan Perdana Menteri mahupun Kementerian Belia dan Sukan serta mana-mana pihak yang boleh membantu bagi mengumpul dana sebanyak itu.


"Langkah ini adalah usaha murni kerana sasaran kita adalah belia, pelajar universiti dan remaja yang perlu dilentur sikapnya," katanya.


Seramai 110 anak merdeka berkumpul di Memorial Tunku Abdul Rahman di Jalan Dato Onn, di sini, bagi menyertai program berkenaan yang dianjurkan WAM dengan kerjasama Jabatan Arkib Negara dan Kelab Belia Penyayang.


Selain ceramah berkaitan persediaan menghadapi bencana, turut diadakan ialah Pertandingan Melukis Sempena Hari Merdeka terbuka kepada murid sekolah tujuh hingga 12 tahun.


Samun depan lif

Posted: 23 Jun 2012 02:58 PM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang wanita berusia lewat 20-an bukan saja rugi hampir RM1,000, malah turut cedera di kepala selepas bergelut dengan seorang lelaki bersenjatakan pisau di sebuah pusat beli-belah di ibu kota, di sini, kelmarin.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa menunggu lif untuk ke tempat letak kereta di tingkat empat premis berkenaan kerana mahu pulang.


Dalam kejadian jam 10 malam, mangsa yang sendirian kemudian dihampiri seorang lelaki berusia lewat 20-an sebelum cuba merampas beg tangannya.

Menurut sumber, terkejut dengan tindakan itu, wanita terbabit cuba mempertahankan beg tangannya, menyebabkan berlaku pergelutan.


"Suspek yang berang mencederakan mangsa dengan pisau sebelum melarikan beg tangan mangsa mengandungi telefon bimbit dan wang tunai bernilai hampir RM1,000," katanya.


Sumber berkata, mangsa yang tercedera di kepala ditemui terbaring di depan lif oleh orang awam, 10 minit kemudian.

"Orang ramai kemudian melaporkan kejadian itu kepada pengawal keselamatan sebelum mangsa diberikan rawatan awal," katanya.


Mangsa dibawa ke hospital berhampiran untuk menerima rawatan sebelum membuat laporan di Balai Polis Brickfields di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Rashid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan