Sabtu, 30 Jun 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Gunakan tempoh mandat untuk yakinkan rakyat kebolehan BN: Tun M

Posted: 30 Jun 2012 01:51 AM PDT

Mutakhir

TAIPING: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu menggunakan tempoh mandat yang ada untuk memberi keyakinan kepada rakyat mengenai kebolehan serta keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinannya terhadap rakyat.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata keputusan Najib yang menghormati mandat lima tahun diberi rakyat untuk mentadbir negara sebelum mengadakan pilihan raya umum adalah sesuatu yang lebih baik.

"Tetapi ada kemungkinan pula, jika kerajaan beri masa yang panjang (sebelum mengadakan pilihan raya umum), desakan dan tuntutan yang bukan-bukan terhadap kerajaan akan bertambah dan mereka akan mengugut kerajaan, jika tidak bagi ini, mereka tidak akan sokong," katanya. Dr Mahathir berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) kebangsaan kali ke-51 di sini hari ini.

Semalam, Najib berkata tidak timbul soal BN kurang yakin menghadapi pilihan raya umum akan datang berikutan dakwaan pembangkang yang beliau sengaja melambatkan tarikh pilihan raya.

Presiden Umno merangkap Pengerusi BN itu menegaskan, BN diberi mandat oleh rakyat untuk tempoh lima tahun bagi memperlihatkan kemampuan memimpin dan mentadbir negara serta membawa kemajuan dan membela untung nasib rakyat.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata pandangannya mengenai kemenangan calon BN ditentukan oleh pengundi Cina dibuat berdasarkan kebenaran, bukan sentimen atau faktor lain.
"Dulu kita dapat sokongan daripada pengundi Cina yang menyebakan kita (BN) menang. Apabila orang Melayu berpecah dua, yang menentukan siapa menang adalah orang Cina. Apabila orang Cina berpecah dua, yang tentukan siapa menang adalah orang Melayu.

"Jadi dalam bandar yang mana jumlah orang Cina ramai dan mereka berpecah dua, maka orang Melayi yang akan tentukan. Di kawasan orang Melayu ramai dan berpecah, sekarang ini berpecah tiga, jadi undi orang Cina yang tentukan siapa menang," katanya.

Mengenai dakwaan bahawa BN menggunakan wang ringgit untuk mendapatkan sokongan rakyat, Dr Mahathir berkata kos hidup rakyat semakin meningkat dan ini menjejaskan terutama kepada kehidupan golongan miskin.

Bagaimanapun, katanya bantuan wang tunai yang diberi oleh kerajaan BN bagi menyokong kehidupan rakyat untuk membeli seperti keperluan harian dan buku, sampai terus kepada rakyat yang benar-benar memerlukan dan tidak sewajarnya dianggap sebagai cubaan merasuah rakyat.

Menjawab soalan tentang dakwaan bantuan kerajaan menerusi pemberian wang kepada rakyat itu boleh membawa negara kepada muflis, Dr Mahathir yakin Najib mempunyai penasihat kewangan dalam menyalurkan bantuan itu. - BERNAMA


SUHAKAM mula siasatan awam terhadap perhimpunan Bersih 3.0 Khamis ini

Posted: 30 Jun 2012 01:48 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan memulakan siasatan awam Khamis ini terhadap insiden semasa dan selepas perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara pada 28 April lalu.

Setiausaha Suhakam, Rodziah Abdul, berkata terma rujukan untuk siasatan awam itu ialah bagi menentukan sama ada terdapat apa-apa pelanggaran hak asasi manusia terhadap mana-mana individu atau pihak semasa dan selepas perhimpunan berkenaan.

"Jika pelanggaran hak asasi manusia telah berlaku, siasatan awam akan menentukan bagaimana pelanggaran itu terjadi, apakah arahan pentadbiran dan prosedur atau aturan yang menyebabkan pelanggaran tersebut serta individu atau agensi yang bertanggungjawab. "Selain itu siasatan awam akan mengesyorkan langkah-langkah untuk diambil bagi memastikan pelanggaran itu tidak berulang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehingga 21 Jun lalu, Suhakam telah selesai menjalankan semakan ke atas penghujahan awam yang diterima daripada orang awam dalam bentuk dokumen, kenyataan dan rakaman video serta telah mengenal pasti saksi-saksi, katanya.

Rodziah berkata Suhakam juga sedang menunggu maklum balas daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menemu bual anggotanya yang bertugas semasa perhimpunan berkenaan.

"Keputusan suruhanjaya untuk menjalankan siasatan awam terhadap dakwaan penggunaan kekerasan oleh pihak berkuasa semasa dan selepas perhimpunan dibuat selepas mengambil kira pemantauan suruhanjaya dan beberapa faktor lain yang berkaitan.
"Ini termasuk penyerahan aduan, laporan dan memorandum daripada orang awam, kumpulan hak asasi manusia dan profesional serta kumpulan masyarakat sivil yang lain kepada suruhanjaya yang menggesa agar satu siasatan bebas dijalankan," katanya.

Panel siasatan itu akan dipengerusikan oleh Naib Pengerusi Suhakam Datuk Dr Khaw Lake Tee, katanya. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan