Selasa, 26 Jun 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Insentif FGVH guna dana, wang imbuhan

Posted: 26 Jun 2012 03:05 PM PDT

Nasional

KUALA LUMPUR: Pembayaran durian runtuh RM15,000 kepada warga FELDA dibiayai menggunakan dana dalaman dan wang imbuhan yang diterima melalui penjualan saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, berkata pembayaran fasa pertama sebanyak RM5,000 yang dibiayai FELDA menggunakan dana dalaman selesai Mei lalu.

"Baki pembayaran fasa seterusnya akan menggunakan wang imbuhan yang diterima daripada penjualan saham FGVH. Ia mula dibayar Julai 2012," katanya. Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Mohd Nasir Zakaria (PAS-Padang Terap) yang diedarkan kepada media di Dewan Rakyat, semalam. Dalam soalannya, Mohd Nasir bertanya dari sumber mana kerajaan membayar RM15,000 kepada peneroka Felda sedangkan penyenaraian FGVH belum dilaksanakan.

Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan durian runtuh berjumlah RM1.689 bilion untuk diagihkan kepada 112,635 keluarga peneroka di seluruh negara sempena penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia.

Pembayaran itu akan dilakukan dalam tiga fasa dengan fasa pertama berjumlah RM5,000 kepada ketua keluarga peneroka, fasa kedua membabitkan RM5,000 kepada isteri peneroka, manakala fasa ketiga pembayaran RM5,000 kepada generasi kedua FELDA.

Sementara itu, dalam jawapan bertulis kepada Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena), Ahmad berkata, penasihat utama dan Penyelaras Global Bersama untuk penyenaraian FGVH ialah CIMB Investment Bank, Maybank Investment Bank dan Morgan Stanley & Co International.
"Jenis bayaran kepada penasihat terbabit adalah yuran pembrokeran, yuran penempatan dan komisen Penyelaras Global Bersama. Kadar yuran dan komisen yang dibayar FGVH kepada penasihat terbabit adalah sejajar dengan kadar yang diguna pakai dalam Penawaran Awam Umum (IPO) tempatan," katanya.


Sindiket tujuh orang mahir lerai mesin RM5j

Posted: 26 Jun 2012 03:00 PM PDT

Nasional

KUALA LUMPUR: Polis mengesyaki rompakan peralatan endoskopi bernilai lebih RM5 juta dari Hospital Columbia Asia, Hospital Tung Shin dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) baru-baru ini didalangi sindiket sama dengan bantuan orang dalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata siasatan pihaknya mendapati kumpulan itu dianggotai tujuh individu yang mahir dalam meleraikan mesin berkenaan.

Katanya, modus operandi digunakan kumpulan itu ialah dengan menyamar sebagai pesakit untuk mengenal pasti lokasi peralatan endoskopi sebelum mencurinya dua hari kemudian. "Kumpulan itu dikatakan melerai dan mencuri peralatan itu sebelum melarikan diri dengan menaiki van dan kereta PERODUA Myvi.

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di hospital itu, kami percaya sindiket berkenaan turut dianggotai warga asing dari Amerika Latin atau Asia Barat," katanya.

Pada 5 Jun lalu, satu mesin endoskopi bernilai RM100,000 dilaporkan dicuri di Hospital Columbia Asia, Kajang.

Pada 12 Jun, 15 mesin endoskopi dan dua set mesin pemprosesan bernilai RM600,000 dilaporkan hilang di Hospital Tun Shin. Kejadian itu disedari kakitangan hospital jam 7 pagi sebaik melihat pintu bilik yang menempatkan peralatan itu pecah.
Kejadian sama turut dilaporkan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sembilan hari kemudian apabila tiga mesin pemprosesan dan 22 peralatan endoskopi bernilai RM4 juta dilaporkan hilang.

Khairi berkata, sehingga kini pihaknya sudah memanggil enam kakitangan daripada dua hospital berkenaan untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen

sri siantan

mano pegi nyo guard security kat sepital tu? opo mereko buet, jago mcm patong jo!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan