Isnin, 25 Jun 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Kelayakan Piala AFC B-22: Malaysia belasah Filipina 7-0

Posted: 25 Jun 2012 05:22 AM PDT

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan kemenangan pertama dalam aksi kedua Kumpulan G Kejohanan Pusingan Kelayakan Piala AFC Bawah 22 (B-22) selepas membelasah Filipina 7-0 di Stadium Aung San, Myanmar, hari ini.

Pada perlawanan pembukaan Sabtu lepas, Malaysia kalah 2-3 kepada Korea Selatan.

Ketua jurulatih skuad B-22 negara Ong Kim Swee, yang mengekalkan sebahagian besar pemain yang beraksi ketika menentang Korea Selatan, tidak perlu menunggu lama apabila pemain kelahiran Sabah, Mohd Rozaimi Abdul Rahman mengegar gawang Filipina seawal minit ketiga permainan.

Pemain pertahanan Mohd Fandi Othman menggandakan jaringan pada minit ke-33 sebelum Rozaimi menghasilkan gol kedua peribadi, dua minit kemudian.


Pemain tengah Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria menambah derita pasukan Filipina dengan gol keempat pada minit ke-40.


Rozaimi menambah dua lagi gol pada minit ke-68 dan 73 sebelum pemain tengah, D. Saarvindran memastikan kemenangan mutlak negara dengan gol terakhir pada minit ke-90.

Malaysia dijadualkan menentang Taiwan pada Khamis ini. - BERNAMA


Mayat seorang lagi murid tahun tiga baru ditemui

Posted: 25 Jun 2012 03:49 AM PDT

JERANTUT: Mayat dua orang murid Tahun Tiga yang dilaporkan lemas ketika mencari ikan bersama rakan-rakannya di Sungai Pahang berdekatan Kampung Jerangsang di sini semalam ditemui hari ini.

Kedua-dua mangsa ditemui pada pagi dan petang ini selepas dilaporkan lemas tengah hari semalam.

Mayat Muhammad Firas Samsudin, 9, ditemui anggota penyelamat pada 9.45 pagi, kira-kira kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian sementara mayat rakannya Mohd Aiman Abdullah, 9, ditemui 5 petang ini di dasar sungai di tempat mangsa dilaporkan hilang.

Menurut Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Azid Ismail, dalam kejadian itu, enam rakan yang sama usia itu dikatakan pergi ke sungai untuk mencari ikan.


"Empat daripada mereka turun ke dalam sungai manakala dua lagi berada di atas tebing. Dua daripada mereka kemudiannya dilaporkan lemas dan dibawa arus sungai," katanya kepada Bernama di sini hari ini.


Sementara itu Ketua Kampung Bukit Genting, Mohd Suhaimi Jaafaar berkata semua kanak-kanak terbabit berasal dari kampung tersebut yang terletak kira-kira satu kilometer dari sungai berkenaan.

"Semasa kejadian terdapat sebanyak 20 buah bot penduduk tempatan yang sedang menjaring ikan di kawasan berkenaan. Sejurus mendengar jeritan dan mendapat tahu kanak-kanak berkenaan dihanyutkan arus, mereka terus berhenti menjaring ikan dan segera mencari mangsa," katanya.

Beliau berkata polis yang dimaklumkan mengenai kejadian itu tiba di tempat kejadian setengah jam kemudian dan segera melaksanakan operasi mencari dan menyelamat yang disertai tujuh pegawai, 10 orang anggota dengan dibantu oleh 12 anggota Jabatan Pertahanan Awam serta penduduk kampung.

Mohd Suhaimi berkata menurut rakan kanak-kanak terbabit, mereka menjaring ikan di sungai berkenaan.

"Kedua-dua mangsa dikatakan terjerlus ke kawasan dalam sebelum dihanyutkan air deras," katanya. - Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan