Rabu, 20 Jun 2012

Kosmo Online - Negara

Kosmo Online - Negara


Chin Peng makin tenat di Bangkok, lapor blog Zamkata

Posted:

Chin Peng makin tenat di Bangkok, lapor blog Zamkata

Oleh NOR IDAYU BOSRO
idayu.bosro@kosmo.com.my

KERATAN blog Zamkata semalam.


KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng yang tinggal dalam buangan di Bangkok dilaporkan berada dalam keadaan tenat di sebuah hospital di ibu kota Thailand itu.

Menurut blog zamkata.blogspot.com yang dikendalikan oleh bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Tan Sri Zainuddin Maidin, Chin Peng telah dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Bangkok dari rumahnya yang terletak di luar ibu kota negara Gajah Putih itu setelah keadaan kesihatannya semakin meruncing.

Bekas pemimpin perang gerila di hutan Malaysia dan Thailand berusia 88 tahun itu juga dilaporkan sangat uzur. Zainuddin yang mesra dipanggil Zam memetik sumber-sumber rakan Chin Peng sebagai berkata bahawa ingatan Chin Peng semakin merosot sejak beberapa bulan lalu sehingga beliau kini dikatakan tidak lagi dapat mengenali orang yang menziarahinya.

"Dua orang pembantunya cuba untuk memberitahu tentang kedatangan pelawat tetapi dia kelihatan seperti antara sedar dan tidak sedar.

"Mereka (pelawat) juga diberitahu oleh salah seorang pembantu bahawa Chin Peng telah pun bercakap mengenai kematiannya," kata Zainuddin dalam blog tersebut.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Korban Bujang Sebelak

Posted:

Korban Bujang Sebelak

Oleh SOPI SAMAILE dan FIRDAUS HASSAN
berita@kosmo.com.my

EMBOL menunjukkan lokasi Siah dibaham buaya (anak panah) sewaktu air pasang di tebing Sungai Anak, Saratok semalam.


SARATOK - Seorang suami sanggup menggadaikan nyawa sendiri dengan terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan isterinya yang dibaham seekor buaya tembaga dengan ukur lilit perut sebesar tong dram di tebing Sungai Anak di sini petang kelmarin.

Namun, kudrat ketua rumah panjang, Embol Asum, 48, untuk menyelamatkan isterinya, Siah Munsong, 42, yang telah dikahwini sejak 30 tahun lalu jauh daripada mencukupi untuk menandingi reptilia itu yang dipanggil 'Bujang Sebelak', buaya ganas yang dipercayai telah membunuh sekurang-kurangnya dua orang sejak tahun 2010.

Dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, Embol bersama lima penghuni rumah panjang yang turut berusaha membantunya sekadar dapat melihat buaya dianggarkan sepanjang lima meter itu mengheret Siah yang terkapai-kapai di dalam mulutnya ke tengah sungai itu yang juga anak Sungai Sebelak.

Mayat ibu kepada dua orang anak itu ditemui tersangkut dalam pukat kira-kira 200 meter dari tempat serangan pukul 9.30 malam kelmarin sebelum dibawa ke Hospital Saratok.

Embol berkata, sewaktu kejadian, Siah bersama beberapa penduduk lain sedang mandi-manda di tebing sungai yang pada waktu itu air paras pinggang sementara dia sendiri berada tidak jauh dari situ.

"Siah tiba-tiba menjerit minta tolong. Saya nampak seekor buaya besar yang buta mata kirinya membaham betis kanan Siah dan menariknya ke dalam air," cerita Embol kepada Kosmo! ketika ditemui di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kestabilan politik jamin kemakmuran negara

Posted:

Kestabilan politik jamin kemakmuran negara

NAJIB menerima cenderahati daripada William (dua dari kiri) selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-66 ACCCIM di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Aset dan kekayaan negara akan kekal terjamin jika rakyat sedia bekerjasama dalam memastikan kestabilan politik yang berterusan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, ketiadaan kestabilan boleh menimbulkan ancaman kepada kekayaan Malaysia.

"Kita telah bekerja keras untuk mengumpul aset dan kekayaan dalam negara ini tetapi ia boleh merosot malah tersejat jika kita tidak bekerjasama untuk memastikan kestabilan dan kepastian politik di rantau ini," katanya dalam ucaptama pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-66 Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM) di sini semalam.

Turut hadir Presiden ACCCIM, Tan Sri William Cheng.

Perdana Menteri menegaskan bahawa kestabilan politik adalah penting kerana ia boleh mempengaruhi keyakinan ahli perniagaan dan pasaran.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan