Harian Metro: Mutakhir |
Hoki: Jurulatih terbaik dunia, Paul Revington jadi pilihan Malaysia Posted: 22 Jun 2012 06:02 AM PDT KUANTAN: Jurulatih antarabangsa Paul Revington hari ini dinamakan sebagai ketua jurulatih dan dibantu oleh bekas pemain negara Arul Selvaraj bagi memulihkan imej dan maruah pasukan hoki negara. Revington dan Arul, sebagai pembantunya, mula menjadi gandingan untuk melatih skuad Afrika Selatan pada 2006 sebelum membimbing skuad Ireland dari 2009 hingga bulan depan. Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika mengumumkan pemilihan jurulatih Afrika Selatan itu, bagaimanapun, berkata perjanjian bertulis antara Revington dan MHC masih belum dimeterai. "Surat perjanjian akan kita sampaikan kepada dia (Revington) dalam tempoh terdekat ini dan tertakluk pada persetujuan dia," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kamus Al-Quran di sini, hari ini.
"Kita berharap menerusi jurulatih baharu itu, akan dapat membangkitkan semula pasukan kebangsaan dan dapat mengilap gandingan pemain muda dengan pemain yang mempunyai pengalaman," kata Tengku Abdullah. Ketika membimbing Afrika Selatan selama tiga tahun, Revington membantu pasukan itu memperbaiki ranking dunia dari 14 kepada tangga ke-10 dan kini pasukan itu layak ke Sukan Olimpik London 2012. Revington akan menggantikan Tai Beng Hai yang dilantik sebagai Pengarah Kejurulatih MHC dan diberi tugas menyelia program pembangunan remaja. Revington juga turut memenangi anugerah 'Jurulatih Terbaik Dunia FIH' 2011. - BERNAMA |
SKMM wujudkan 205 kampung tanpa wayar di Sabah Posted: 22 Jun 2012 02:12 AM PDT SANDAKAN: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menubuhkan sebanyak 205 kampung tanpa wayar di Sabah yang meliputi Pusat Jalur Lebar Komuniti dan Akses Jalur Lebar Komuniti. Pengarah SKMM Sabah dan Labuan, Bukhari Yahya berkata kampung tanpa wayar itu diwujudkan di bawah Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan yang bertujuan mengurangkan jurang digital bagi masyarakat desa atau luar bandar dengan masyarakat di bandar. Katanya dengan adanya kampung tanpa wayar, penduduk di kawasan luar bandar dapat menikmati perkhidmatan internet jalur lebar bagi melengkapkan gaya hidup digital. "Ia seterusnya dapat mencapai hasrat kerajaan supaya rakyat Malaysia menjadi rakyat yang berpengetahuan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi," katanya ketika berucap pada Seminar Teknologi Maklumat dan Komunikasi ICT Penggerak Kemajuan Wanita yang perasmiannya disempurnakan oleh Anggota Parlimen Batu Sapi Linda Tsen Thau Lin di sini, hari ini.
"Masyarakat dapat menggunakan internet bukan sahaja untuk mendapat maklumat, namun boleh menjana pendapatan," kata Bukhari. Mengenai seminar itu, beliau berkata seminar sempena sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Bermaklumat Sedunia itu bertujuan memberi pengetahuan kepada golongan wanita dalam menjadi penggerak kepada kemajuan sosio-ekonomi dan menjana pendapatan untuk keluarga. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Mutakhir To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan