Sabtu, 23 Jun 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Botak demi RM50,000

Posted: 22 Jun 2012 12:55 PM PDT

KUALA LUMPUR: Bukan mudah bagi seorang wanita yang sudah sebati berambut panjang membotakkan kepalanya secara tiba-tiba, tetapi itulah yang dilakukan personaliti televisyen, Ras Adiba Mohd Radzi.

Menurutnya, beliau mengambil keputusan drastik itu bukan untuk menarik perhatian mana-mana pihak, sebaliknya demi menyatakan sokongan dan keprihatinannya terhadap penghidap kanser.


Malah, keberaniannya yang mencukur habis rambut panjang mengurai dan meninggalkan hanya sedikit sisa, memperlihatkan jiwa kentalnya sebagai personaliti wanita pertama berbuat demikian.

"Saya mendapat jemputan daripada Majlis Kanser Nasional (Makna) untuk terbabit dalam kempen Jom Botak ini sebagai menyatakan sokongan kami kepada pesakit kanser khususnya kanak-kanak.


"Kalau bercakap berdasarkan pengalaman sendiri, saya memiliki ahli keluarga yang juga penghidap kanser. Ayah tiri saya meninggal dunia kerana barah kolon manakala pak cik dan beberapa rakan menjalani rawatan atas sakit dihadapi.


"Mereka orang terdekat dengan saya dan saya melihat mereka sangat tabah dan kuat. Bayangkan bagaimana mereka melalui hari-hari mereka dan saya berasa cukup hormatkan mereka," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Ras Adiba membotakkan kepalanya di salun A Cut Above, di sini dan rambutnya dipotong pemilik salun itu sendiri, Winnie Loo.


Beliau berkata, dia tidak kisah jika kerjayanya terjejas kerana beliau percaya kepada niat yang baik membantu mereka yang menderita dan dalam kesusahan.

"Ini adalah sebahagian daripada usaha saya tapi apalah sangat jika dibandingkan dengan kesengsaraan yang pesakit hadapi khususnya kanak-kanak.


"Jadi saya berharap lebih ramai masyarakat menunjukkan rasa prihatin mereka dan bersama-sama kami nyatakan sokongan terhadap pesakit kanser. Saya berharap dapat mengumpul sumbangan peribadi RM50,000 untuk tabung Makna.


Sementara itu, Ketua Projek Kempen Jom Botak, Datuk Dr Arunan Selvaraj berkata, kempen itu bermula sejak sebulan lalu dan baru-baru ini, pihaknya menjayakan rakaman klip video bagi meraih sokongan masyarakat.


Orang ramai boleh melayari www.jombotak.makna.my untuk maklumat lanjut.


Bantah lantikan baru AJK masjid

Posted: 22 Jun 2012 10:19 AM PDT

SERDANG: Lebih 100 ahli kariah Masjid Al-Muttaqin, Taman Equine, di sini menurunkan tandatangan sebagai protes terhadap lantikan baru ahli jawatankuasa masjid berkenaan yang didakwa ada campur tangan politik.

Malah, lebih mengejutkan ahli kariah turut tidak dimaklumkan terlebih dahulu mengenai perubahan lantikan baru sebaliknya wakil Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hanya mengumumkannya sebelum solat Jumaat.


Rata-rata ahli kariah turut meluahkan rasa kurang senang dengan tindakan wakil terbabit yang didakwa merampas mikrofon sebelum sesi khutbah dan terus mengumumkan senarai lantikan.

Tindakan itu menyebabkan satu bantahan diadakan oleh ahli kariah selepas solat bagi menuntut penjelasan kerana didakwa ia terjadi disebabkan ada campur tangan politik.


Bekas nazir masjid, Zainul Abidin Manaf berkata, tindakan protes terbabit berasas kerana didakwa tidak mengikut peraturan undang-undang yang ditetapkan Jais.


Menurutnya, lebih menghairankan, kebanyakan lantikan baru di peringkat jawatankuasa tertinggi bukanlah terdiri daripada ahli kariah kawasan itu.

"Tambahan pula, mesyuarat agung lantikan ahli jawatankuasa masjid baru sahaja diadakan pada 9 Mac lalu dan dipengerusikan sendiri wakil Jais.


"Namun pada hari ini (semalam), tiba-tiba perkara ini terjadi sedangkan jika lantikan sebelum ini tidak memenuhi kriteria, mereka sepatutnya menghantar surat memaklumkan perkara itu namun ia tidak berlaku," katanya kepada pemberita selepas protes terbabit, semalam.

Zainul berkata, lebih mengejutkan ada ahli kariah yang dilantik tidak tahu menahu mengenai perlantikan berkenaan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan