Rabu, 20 Jun 2012

Kosmo Online

Kosmo Online


Lelaki kebas wang ATM, dipenjara

Posted:

Lelaki kebas wang ATM, dipenjara

20/06/2012 5:36pm

SHAH ALAM — Seorang bekas pekerja syarikat keselamatan dijatuhi hukuman penjara dua minggu dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana melakukan pecah amanah dengan mengeluarkan wang berjumlah RM50,850 dari mesin teller automatik untuk kegunaan sendiri tiga tahun lepas.

Hakim Asmadi Hussin turut memerintahkan Mohammad Azrin Razali, 24, membayar denda RM50,850 atau dipenjara enam bulan jika gagal.

Mohammad Azrin didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank No.32 & 34, Jalan Bandar 3, Pusat Bandar Puchong dekat sini antara 12.50 tengah hari dan 1.30 tengah hari 9 Okt 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan boleh didenda.

Mohammad Azrin mengaku bersalah selepas lima saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.

Mengikut fakta kes, dia telah meminta kod daripada ibu pejabat syarikat untuk membuka mesin ATM yang rosak dan bertindak membuka panel bawah mesin berkenaan tanpa kehadiran pengawal keselamatan bersenjata serta anggota penyelenggaraan daripada syarikat keselamatan terbabit.

Tertuduh seterusnya mengambil wang berkenaan, dan perbuatannya itu disaksikan pengawal keselamatan bank dan dirakam kamera litar tertutup bank berkenaan.

Mohammad Azrin mengaku mengambil wang berkenaan untuk urusan peribadi iaitu untuk tujuan pelaburan, pembayaran duit kereta dan membaiki motosikal.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Bariah Mohamed sementara tertuduh diwakili peguam Mazhar Abdul Malek. — BERNAMA

Pasangan warga emas ditemui mati

Posted:

Pasangan warga emas ditemui mati

20/06/2012 5:33pm

KUALA LUMPUR — Sepasang suami isteri warga emas ditemui mati setelah dipercayai bertengkar dengan seorang anggota keluarga di rumah mereka di Seri Kembangan dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi itu, Lee Yoke Mun, 73, dan isterinya Lee Kam Lin, 59, ditemui mati dengan kecederaan parah di kepala dipercayai akibat dipukul dengan sebatang besi oleh suspek, seorang lelaki berusia 44 tahun.

Ketua Polis Daerah Serdang Supritendan Abdul Razak Elias mengesahkan mengenai kejadian itu. — BERNAMA

Penganggur didakwa curi beg tangan

Posted:

Penganggur didakwa curi beg tangan

20/06/2012 5:31pm

KUALA LUMPUR — Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini terhadap pertuduhan mencuri beg tangan seorang pelajar perempuan warga Arab Saudi, minggu lepas.

Faizal Abdul Rahim, 38, didakwa mencuri beg tangan yang mengandungi wang tunai RM1,000, dua telefon bimbit dan cincin emas putih yang kesemuanya bernilai RM7,000 milik Alaa Adel Y Saber, 20, penuntut universiti swasta di sini.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa melakukan kesalahan itu di depan Fahreinheit 88, Jalan Bukit Bintang di sini pada 8.30 malam 15 Jun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan kedua iaitu gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri kepada anggota polis Koperal Jamil Awang di Lorong Walter Garnier di sini pada 8.40 malam, hari sama. — BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan