Rabu, 27 Jun 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Syarikat tempatan digesa teroka peluang di Guinea

Posted: 27 Jun 2012 02:59 PM PDT

Nasional

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyambut ketibaan Presiden Republik Guinea, Alpha Conde di Kompleks Perdana Putra, jam 10 pagi tadi. Conde berada di Malaysia untuk lawatan rasmi empat hari bermula semalam. - Foto REUTERS

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyambut ketibaan Presiden Republik Guinea, Alpha Conde di Kompleks Perdana Putra, jam 10 pagi tadi. Conde berada di Malaysia untuk lawatan rasmi empat hari bermula semalam. - Foto REUTERS

PUTRAJAYA: Syarikat tempatan digalakkan meneroka peluang pelaburan baru di Guinea, terutama selepas kerajaannya komited melaksanakan perubahan untuk menjana semula ekonominya.

Antara bidang baru yang berpotensi ialah pertanian, pembinaan dan perlombongan kerana republik itu mempunyai banyak simpanan bauksit, uranium, berlian serta minyak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata jumlah dagangan antara dua negara pada 2011 meningkat 262 peratus berbanding 2010 dengan peningkatan daripada RM85.05 juta kepada RM223.47 juta. "Guinea juga memerlukan teknologi baru yang boleh disediakan oleh syarikat Malaysia termasuk peralatan pertanian moden, teknologi komunikasi maklumat (ICT) dan perbankan serta kewangan Islam.

"Kita yakin dengan perubahan besar menerusi reformasi yang berani, prospek ekonomi Guinea cerah dan saya percaya dagangan akan meningkat. Justeru, kita galakkan syarikat Malaysia meneroka peluang pelaburan di Guinea," katanya pada sidang media bersama Presidennya, Prof Alpha Conde, di sini, semalam.

Najib juga mengesahkan kepada Conde bahawa Malaysia sedia meneruskan Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) bagi membantu pegawai Guinea meningkatkan keupayaan mereka.

Beliau juga gembira untuk berkongsi pengalaman dan membincangkan beberapa cabaran yang dilalui bersama selain terus komited terhadap Kerjasama Selatan-Selatan dan dalam kerangka kerja Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).
Conde kini dalam rangka lawatan rasmi empat hari ke Malaysia bermula kelmarin. Ini adalah lawatan rasmi pertamanya ke sini. Terdahulu, kedua-dua pemimpin berkenaan mengadakan perbincangan dua hala, selain menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dalam bidang pengajian tinggi.

Malaysia diwakili Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, manakala Menteri Kerjasama Antarabangsa Guinea, Prof Datuk Dr Koutoub Moustapha Sano, mewakili republik itu.

Conde pula mahu menjadikan kejayaan Malaysia sebagai model dalam usaha membangunkan negara benua Afrika itu dengan mempelajari dan menggunakan segala pengalaman serta cabaran negara ini untuk menjadi negara Islam yang maju.

"Guinea juga negara Islam dengan 90 peratus penduduk adalah Muslim. Kami memandang Malaysia sebagai negara Islam yang berjaya. Semua orang tahu kejayaan yang dicapai (Tun Dr) Mahathir Mohamad dan pencapaian ini diteruskan pula Perdana Menteri (Najib). Justeru, kedatangan kami adalah untuk belajar daripada Malaysia," katanya.

Beliau memberi jaminan pelaburan syarikat Malaysia akan dilindungi berikutan pelbagai langkah transformasi yang dilaksanakan kerajaannya.


75 peratus dapat kerja selepas 6 bulan

Posted: 27 Jun 2012 02:57 PM PDT

Nasional

PUTRAJAYA: Kajian Pengesahan Graduan, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mendapati 75 peratus graduan memperoleh pekerjaan enam bulan selepas menamatkan pengajian, seperti disasarkan pada 2010.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata jumlah itu termasuk graduan yang menunggu penempatan, mengikuti latihan dan menyambung pengajian dalam enam bulan selepas tamat pengajian.

Katanya, kumpulan sasar kementerian termasuk pelajar dalam tempoh pengajian sehingga menduduki peperiksaan akhir, menamatkan kursus dan graduan masih dalam sistem pengajian tinggi bagi tempoh enam bulan selepas menduduki peperiksaan akhir atau selepas konvokesyen. "KPT memilih pendekatan ini bagi memastikan graduan mempunyai kebolehan tinggi, bermutu dan ada nilai tambah dari segi kemahiran insaniah serta memenuhi kehendak pasaran bagi memperoleh pekerjaan bersesuaian.

"Kerajaan turut memperuntukkan RM75 juta tahun ini bagi pelaksanaan program berkaitan kebolehpasaran dan kebolehdapatan kerja graduan untuk kumpulan sasar ini," katanya pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Pelancaran Inisiatif Pembangunan Modal Insan, di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibaca Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan KPT, Datuk Omar Abd Rahman.

MoU di antara KPT dan Might-Meteor Advanced Manufacturing (MMAM) Sdn Bhd itu dimeterai sempena majlis pelancaran Seminar Pemantapan Program Kebolehdapatan Kerja Graduan dan Program 'Siri Pemimpin'.
Khaled berkata, berbanding 2007, keupayaan graduan mendapat kerja meningkat tahun lalu dalam semua kategori iaitu 77.4 peratus di Universiti Penyelidikan, Universiti Komprehensif (72.2 peratus) dan 74.2 peratus bagi Universiti Berfokus.

Katanya, kerjasama antara KPT-MMAM membuktikan komitmen kerajaan menangani isu kebolehpasaran graduan dalam bidang teknologi tinggi menerusi perkongsian berkesan antara sektor awam dan swasta bagi menambah baik kemahiran bakat tempatan supaya memenuhi keperluan industri.

Program 'Siri Pemimpin' bertujuan meningkatkan kemahiran graduan sebagai pakar industri berteknologi tinggi pada masa depan dengan menyasarkan pembangunan kepakaran yang khusus dalam teknologi elektrik dan elektronik, teknologi hijau serta industri minyak dan gas.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Tiada ulasan:

Catat Ulasan