Jumaat, 29 Jun 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Khidmat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam tamat 1 Julai

Posted: 29 Jun 2012 03:36 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Tan Sri Abu Bakar Abdullah sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam akan tamat pada 1 Julai ini.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan hari ini berkata, Abu Bakar sudah menyumbang kepada perkhidmatan awam selama 35 tahun.

Beliau memulakan perkhidmatan sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada September 1977 di Kementerian Perdagangan dan Perindustrian. Seterusnya, beliau berkhidmat di beberapa kementerian termasuk Kementerian Pertahanan, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Jabatan Perdana Menteri.

Abu Bakar adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan sebelum dilantik menyandang jawatan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam pada 1 Julai 2010. - BERNAMA


Pelajar perempuan dikhuatiri lemas selepas selamat anak saudara

Posted: 29 Jun 2012 03:34 AM PDT

Mutakhir

KOTA BHARU: Seorang pelajar perempuan yang akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini dikhuatiri lemas ketika cuba menyelamatkan anak saudaranya dalam kejadian di Sungai Kedai Buluh di sini, hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Nur Fitriah Mat Yassin, murid Sekolah Kebangsaan Kedai Buluh 1 di sini, dipercayai lemas selepas menyelamatkan anak saudaranya Mohd Isra Sufian, 9, dalam kejadian pada jam 12.30 tengah hari.

Dua lagi anak saudara mangsa, Nur Shazrina Sofia, 7, dan Nur Shazrina Alia, 5, yang juga adik kepada Mohd Isra yang mandi bersama-sama berjaya menyelamatkan diri masing-masing. Mohd Isra yang juga anak sulung daripada empat beradik berkata, ibu saudaranya itu mengajak mereka bertiga mandi di sungai berkenaan, namun dia tidak bernasib baik apabila hampir lemas ketika mandi di tempat yang dalam berikutan air yang deras.

"Bagaimanapun, mak su (Nur Fitriah) datang menyelamatkan dengan menarik tangan saya untuk dibawa ke tempat yang cetek, bagaimanapun mak su tidak bernasib baik dan mula tenggelam timbul di dalam air.

"Saya kemudian menjerit meminta tolong dan ada penduduk yang tinggal berdekatan datang menghulurkan bantuan, namun terlambat apabila kelibat mak su hilang daripada pandangan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini.

Bapa mangsa, Mat Yassin Mat Yahya, 51, berkata ketika kejadian tersebut beliau sedang berada di rumah sebelum menunaikan solat Jumaat, segera bergegas ke tempat kejadian selepas diberitahu oleh seorang penduduk kampung.
Mat Yassin berkata, Nur Fitriah adalah anak bongsu daripada lapan beradik dan memang sukakan aktiviti lasak serta sering kali mandi di sungai berkenaan.

Sementara itu, Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Cawangan Operasi Negeri, Shahrin Yusmal Mat Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.15 petang dan bergegas ke tempat kejadian dengan 10 anggota bomba daripada Balai Bomba Kota Bharu dan dua anggota daripada Balai Pengkalan Kubor.

"Kita turut menerima bantuan daripada 10 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), empat anggota sukarela Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa dan Kota Baharu serta lima anggota polis. Operasi berkenaan diketuai oleh Pengarah JBPM Kelantan, Azmi Osman," katanya. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan