Sabtu, 23 Jun 2012

Kosmo Online

Kosmo Online


Pelajar ijazah kelas pertama tak perlu bayar balik

Posted:

Pelajar ijazah kelas pertama tak perlu bayar balik

23/06/2012 8:00pm

JOHOR BAHRU – Seramai 4,430 pelajar ijazah sarjana muda kelas pertama yang menamatkan pengajian sebelum tahun 2010 tidak perlu membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini berikutan keputusan kerajaan yang bersetuju memperluaskan dasar pinjaman boleh ubah kepada pelajar berkenaan.

Beliau memberitahu demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Skim Simpanan Pendidikan Nasional-i (SSPN-i) dan penyerahan Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) PTPTN kepada 255 pelajar Parlimen Pasir Gudang, di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, pinjaman yang ditukarkan kepada biasiswa untuk pelajar cemerlang itu diputuskan pada 15 Jun lepas selaras dengan tindakan kerajaan melaksanakan semula dasar pinjaman boleh ubah bagi pelajar ijazah sarjana muda kelas pertama atau setaraf yang tamat pengajian mulai 1 Januari 2010.

"Sebanyak 4,430 pelajar itu merupakan mereka yang diluluskan pinjaman pendidikan PTPTN selepas 1 Julai 2005 dan menamatkan pengajian sebelum 1 Januari 2010 melibatkan pembiayaan RM116.2 juta," katanya.

Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang berkata, peluasan dasar pinjaman boleh ubah itu dibuat selepas kerajaan berpendapat bahawa pelajar cemerlang wajar diberi pengiktirafan selain menggalakkan pelajar terus berusaha mendapatkan keputusan cemerlang. – BERNAMA

Lelaki Myanmar mati ditikam, rakan ditahan

Posted:

Lelaki Myanmar mati ditikam, rakan ditahan

23/06/2012 7:53pm

KLANG – Seorang lelaki warganegara Myanmar mati ditikam di perut, dipercayai selepas bergaduh dengan rakan serumahnya di Lorong Sungai Keramat, Taman Klang Utama di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintenden Mohd Shukor Sulong berkata, mangsa, yang berusia lingkungan 20-an, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Beliau berkata, mangsa dikatakan bertengkar sebelum bergelut dengan suspek di rumah itu, yang turut dihuni beberapa rakan sekerja lain, dalam kejadian kira-kira 12.30 pagi.

"Kita percaya kejadian berlaku semasa mangsa dan rakan-rakannya berada di bawah pengaruh alkohol. Polis turut menahan seorang rakan mangsa berumur 23 tahun yang bersembunyi di sebuah tokong berhampiran setelah dipercayai terlibat dalam pergaduhan itu," katanya.

Mohd Shukor berkata, lelaki itu dipercayai terbabit dalam pergaduhan dengan mangsa berdasarkan kesan kecederaan di betis kirinya.

"Identiti mangsa dan rakannya yang ditahan masih dalam siasatan kerana polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri," katanya. – BERNAMA

Kualiti udara semakin baik di seluruh negara

Posted:

Kualiti udara semakin baik di seluruh negara

23/06/2012 7:49pm

KUALA LUMPUR – Status kualiti udara di seluruh negara bertambah baik dengan hanya satu kawasan direkod memiliki bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.

Menurut kenyataan Jabatan Alam Sekitar (JAS), hanya Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri, Sarawak merekodkan kualiti udara tidak sihat iaitu 122 pada 11 pagi tadi dalam tempoh 24 jam lepas.

Kemerosotan kualiti udara di kawasan Miri disebabkan kebakaran tanah gambut seluas 10 hektar di Permai Jaya berdekatan ILP Kuala Baram, Miri.

Selain itu, status kualiti udara di Semenanjung menunjukkan penurunan bacaan IPU, tetapi cuaca panas dan kering sepanjang Jun selain peningkatan titik panas mungkin mengakibatkan ketidakstabilan kualiti udara.

Kenyataan JAS juga menyatakan 11 kawasan berada pada tahap baik dan 40 kawasan pada tahap sederhana bagi tempoh sama.

JAS turut menggerakkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, Pelan Tindakan Mencegah Pembakaran Terbuka dan mempertingkat program pencegahan kebakaran tanah gambut bagi mengawal punca yang boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara di seluruh negara. – BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan