Ahad, 24 Jun 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Pusat judi diserbu

Posted: 23 Jun 2012 02:30 PM PDT

KUALA LUMPUR: Pengusaha pusat judi siber lebih gemar menggajikan warga asing sebagai operator bagi mengaut keuntungan kerana tidak perlu membuat bayaran upah mahal kepada pekerja berkenaan.

Perkembangan itu dikesan dalam beberapa siri serbuan besar-besaran dijalankan cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras selama dua hari, bermula Rabu lalu.


Ketua Polis Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh berkata, serbuan sempena Ops Dadu itu tertumpu di beberapa lokasi yang banyak aktiviti perjudian seumpamanya.

Menurutnya, operasi diketuai dua pegawai dan 14 anggota itu dijalankan di dua lokasi iaitu Taman Miharja dan Taman Pertama.


"Serbuan dilakukan selepas kami menerima maklumat mengenai kewujudan pusat perjudian di kawasan itu dan selepas disiasat, maklumat itu didapati betul.


"Hasilnya, 14 kedai judi di kawasan perumahan itu diserbu dalam dua operasi berasingan selama dua hari," katanya.

Pasukan D7 Cheras merampas 172 set mesin judi dan menahan 32 individu bersama rampasan wang tunai sebanyak RM2,120.


Dalam serbuan pertama membabitkan sepasukan anggota polis diketuai bersama Inspektor Zaili Zakaria di Taman Miharja, 18 individu berusia 20-an hingga 50-an ditahan manakala 91 set komputer dirampas.


Maut selepas makan

Posted: 23 Jun 2012 02:04 PM PDT

GUA MUSANG: Memilukan apabila seorang bapa dan anak bongsunya yang baru selesai makan di sebuah kedai makan di Jalan Bandar Lama, di sini, dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda sehingga tercampak sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Gua Musang (HGM) akibat cedera parah di kepala dan badan, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.40 malam, Mustapa Husin, 51, berada di atas motosikal dan sedang memakaikan topi keledar anak bongsunya, Nor Natasha, 9, sebelum dirempuh pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dari arah Bandar Baru, di sini, dipercayai dipandu seorang lelaki mabuk.


Lebih memilukan, Nor Natasha bukan saja tercampak, tetapi pada masa sama putus tangan kanan akibat kemalangan itu.

Pemandu kenderaan itu yang berusia 38 tahun melarikan diri dengan memecut kenderaannya selepas melanggar dua beranak terbabit, tetapi berjaya dicekup anggota polis ketika dalam perjalanan ke Kampung Pulai, di sini.


Difahamkan, sebelum kejadian, pemandu itu turut merempuh tiga kenderaan lain yang diletakkan di tepi jalan berhampiran Jalan Bandar Lama dan melarikan diri, menyebabkan orang ramai menghubungi Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Gua Musang untuk mengesannya.


Jenazah dua beranak yang menetap di Kampung Rahmat, di sini, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lembaga, petang semalam.

Isteri Mustapa, Zainun Mohd Nor, 47, berkata, sebelum ini suaminya tidak pernah membawa Nor Natasha keluar makan berdua bersamanya, tetapi pada malam sebelum kejadian suaminya beria-ia mahu membawa anak bongsu daripada lapan beradik itu.


Katanya, dua minggu sebelum kejadian, suaminya tidak semena-mena berpesan supaya menjaga semua anaknya dengan baik dan mengiringi jenazahnya ke tanah perkuburan jika dia meninggal dunia.

"Saya tidak terlalu memikirkan perubahan suami dan menganggapnya biasa saja. Bagaimanapun, tak sangka perubahan itu rupa-rupanya petanda saya akan kehilangan suami dan anak.


"Saya reda dengan apa yang berlaku kerana ia takdir Ilahi," katanya sebak.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan mengenai menerima laporan kejadian itu dan siasatan dijalankan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan