Kosmo Online - Negara |
- 600 penggiat seni berhimpun di Kuala Lumpur esok
- Penembak curi mengamuk
- Mangsa letupan kotak 'hadiah' maut
600 penggiat seni berhimpun di Kuala Lumpur esok Posted: 600 penggiat seni berhimpun di Kuala Lumpur esokKUALA LUMPUR - Seramai 600 penggiat seni terdiri daripada penyanyi, pengubah lagu, pelakon, penerbit filem dan drama serta aktivis seni telah mengesahkan kehadiran pada Hari Himpunan Bintang MyIPO-Kosmo! 2012 esok. Pengarang Hiburan Kosmo!, Yusman Awang berkata, majlis yang bermula pukul 2 petang hingga 6 petang itu akan diadakan di Hotel Renaissance, Jalan Ampang di sini. Beliau berkata, antara artis terkenal yang hadir ialah Datuk Sharifah Aini, Datuk Yusof Haslam, Datuk Sheila Majid, Fauziah Ahmad Daud, Sofea Jane, Amy Search, Jamal Abdillah, Maya Karin, Rozita Che Wan, Eja, Fizo Omar, Ifa Raziah, Roslan Shah dan ramai lagi. "Pada majlis itu, artis dan karyawan seni lain boleh mendaftar karya kreatif mereka secara terus dan bersoal jawab mengenai hak-hak mereka seperti yang terkandung dalam Akta Hak Cipta (Pindaan) 2012," katanya di sini semalam. Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual hadir pada majlis itu. Turut hadir, Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek (MyIPO), Datuk Azizan Mohamad Sidin dan Timbalan Ketua Pengarahnya, Mohd. Shahar Osman. Menurut Yusman, jumlah artis yang bakal menyertai majlis anjuran bersama MyIPO dan Kosmo! tersebut dijangka bertambah apabila ramai akan membuat pengesahan mengenai kehadiran mereka hari ini. "Selain itu, para pelajar pengajian media, pelajar institusi pengajian tinggi, blogger hiburan dan pihak media turut menghadiri majlis berkenaan," ujarnya. Hari Himpunan Bintang MyIPO-Kosmo! 2012 akan menguar-uarkan kepada penggiat seni tanah air mengenai manfaat Akta Hak Cipta (Pindaan) 2012. Pindaan tersebut diluluskan oleh Parlimen pada 22 Disember tahun lalu dan diwartakan pada 9 Februari lepas. Ia memperuntukkan undang-undang yang lebih menguntungkan artis merangkumi aspek kutipan royalti lebih telus, penguatkuasaan semula Tribunal Hak Cipta, larangan muat turun bahan seni secara tidak sah serta jumlah bayaran minimum yang sepatutnya diterima penggiat seni. Yusman memberitahu, empat artis daripada era berlainan iaitu Hail Amir, Ramlah Ram, Zamani Slam dan Adira akan mengadakan persembahan khas pada himpunan artis yang terbesar di tanah air itu. Wakil-wakil persatuan artis termasuk Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez; Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi dan Presiden Persatuan Rakaman Industri Malaysia (RIM), Norman Abdul Halim juga dijangka hadir selain wakil Persatuan Artis Cina dan Persatuan Artis India. |
Posted: Penembak curi mengamukOleh MOHAMAD SAARI Cermin hadapan trak tunda yang dipandu A. Nadarajan pecah setelah terkena tembakan penjenayah di Segamat Baru, Segamat kelmarin. SEGAMAT - Seorang pemandu trak tunda terpaksa menahan kesakitan ketika memandu sejauh tiga kilometer untuk mendapatkan bantuan selepas tangan kanannya terkena tembakan yang dilepaskan dari sebuah kereta jenis BMW di Segamat Baru di sini kelmarin. Dalam kejadian pada pukul 2.45 petang itu, A. Nadarajan, 49, memberhentikan kenderaan di persimpangan lampu isyarat di kawasan berkenaan sebelum dihampiri oleh dua suspek yang menaiki kereta mewah BMW. Difahamkan, ketika kejadian, penumpang kereta mewah itu melepaskan empat das tembakan menggunakan sepucuk pistol dengan dua daripadanya terkena tangan kanan Nadarajan. Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Hanafi Daud berkata, selang 15 minit, polis menerima maklumat berlaku satu lagi kejadian tembakan ke atas sebuah rumah dua tingkat di Bukit Siput di sini dipercayai dilakukan oleh penyerang yang sama. Jarak lokasi Nadarajan diserang dengan rumah berkenaan kira-kira dua kilometer. "Polis yang menjalankan siasatan tidak menolak kemungkinan dua kejadian tembakan itu ada kaitan dengan pergaduhan yang berlaku di daerah ini baru-baru ini. "Setakat ini, kita telah mengenal pasti dua lelaki terlibat tetapi tangkapan masih belum dilakukan," katanya. Menjelaskan lebih lanjut, Hanafi berkata, sejurus terkena tembakan itu, mangsa terus memandu menghala ke Balai Polis Segamat yang terletak kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian untuk mendapatkan bantuan. "Mangsa dibawa ke Hospital Daerah Segamat dengan ambulans untuk mendapatkan rawatan dan keadaan Nadarajan kini dilaporkan stabil,'' ujarnya. Menurutnya, dalam kejadian kedua itu, penyerang melepaskan lima das tembakan yang mengenai tingkap rumah tersebut namun tiada kecederaan dilaporkan. Beliau berkata, kejadian tembakan tersebut adalah yang kedua berlaku di daerah ini dalam tempoh 10 hari. Pada 12 Jun lalu, seorang pengusaha kedai barangan binaan di sini maut akibat terkena enam das tembakan yang dilepaskan oleh penyerang bermotosikal. Ketika kejadian pukul 7.45 pagi itu, Lim Ching Hoon, 63, sedang mengisi minyak kereta di sebuah stesen minyak di Jalan Genuang di sini. Dia mati ditembak dari jarak dekat oleh penyerang menggunakan pistol jenis semi automatik. |
Mangsa letupan kotak 'hadiah' maut Posted: Mangsa letupan kotak 'hadiah' mautOleh ABD. RAZAK OSMAN ORANG ramai melihat kesan kejadian letupan bom buatan sendiri yang mengorbankan Chin Fang di Taman Angsana Sari, Sungai Petani semalam. SUNGAI PETANI - Seorang suri rumah yang cedera parah akibat terkena bom buatan sendiri yang dibungkus dalam kotak 'hadiah' di depan rumahnya di Taman Angsana Sari di sini kelmarin meninggal dunia pagi semalam. Tan Chin Fang, 48, yang putus kedua-dua belah tangan, perut terburai dan buta kedua-dua belah mata meninggal dunia pada pukul 9.15 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini. Suami mangsa, Ng Cheng Siang, 49, berkata, kematian isterinya adalah ekoran kecederaan teruk di perut dan tangan. Menurutnya, Chin Fang yang dikejarkan ke Hospital Pakar Metro di sini sejurus kejadian telah dipindahkan ke HSAH bagi menjalani pembedahan selama lebih lima jam. "Selepas pembedahan, dia kelihatan semakin lemah sebelum tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia," katanya di sini semalam. Mangsa meninggalkan empat orang anak iaitu Ng Ru Sze, 18, Ng Han Sze, 17, Ng Yu Sze, Ng Yu Sze, 16, dan Ng Lip Sze, 10. Menceritakan semula kejadian itu, Cheng Siang yang merupakan pemilik kilang mi memberitahu, ketika letupan itu berlaku pada pukul 8.20 pagi kelmarin, dia bersama dua anaknya berada di dalam rumah. "Tiba-tiba kami terkejut mendengar isteri dan anak saudaranya menjerit kesakitan dan kami yang bergegas ke tempat kejadian mendapati mereka berlumuran darah," katanya. Cheng Siang mendakwa, sebelum ini dia pernah menerima dua ugutan daripada musuh perniagaannya sejak November tahun lalu dan satu laporan polis telah dibuat berhubung ugutan tersebut. Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd. Zakaria Ahmad berkata, seorang lelaki yang ditahan sejurus selepas kejadian itu kelmarin direman selama seminggu bagi membantu siasatan. Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh. Kosmo! semalam melaporkan seorang wanita cedera parah selepas terkena bom buatan sendiri yang disyaki dihantar oleh pesaing perniagaan suaminya dalam kejadian pada pukul 8.20 pagi. Selain Chin Fang, anak saudara lelakinya berusia 11 tahun turut cedera ringan di mata dan telinga. Kanak-kanak itu menerima rawatan sebagai pesakit luar HSAH. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan