Sabtu, 23 Jun 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Kemampuan intelek jamin sokongan: PM

Posted: 23 Jun 2012 05:27 PM PDT

Nasional

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak disambut kira-kira 100,000 penduduk pada pelancaran Pusat Transformasi Bandar, Jalan Hang Tuah, Melaka sempena Program Jelajah Janji Ditepati, semalam.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak disambut kira-kira 100,000 penduduk pada pelancaran Pusat Transformasi Bandar, Jalan Hang Tuah, Melaka sempena Program Jelajah Janji Ditepati, semalam.

UTC bukti idea hebat kerajaan

MELAKA TENGAH: Kerajaan mesti ada kemampuan intelek bagi melahirkan idea hebat untuk memastikan terus mendapat sokongan rakyat, kata Datuk Seri Najib Razak.

Persaingan di seluruh dunia pada hari ini membabitkan keupayaan untuk melahirkan idea yang bernas dan hebat. Sehubungan itu, kata Perdana Menteri, penubuhan Pusat Transformasi Bandar (UTC) pertama di negara di Jalan Hang Tuah di sini, yang terbukti memberi banyak kemudahan kepada rakyat, adalah antara idea hebat kerajaan.

Lebih membanggakan, UTC iaitu sebahagian daripada Strategi Lautan Biru, (NBOS) dilaksanakan dalam tempoh enam minggu selepas keputusan dibuat, sekali gus membuktikan kehebatan pelaksanaan idea yang baik.

"Dalam dunia hari ini, sesiapa mempunyai idea yang hebat, dia akan mendapat sokongan rakyat dan kita ada idea itu untuk membantu rakyat," katanya.

Beliau berucap merasmikan UTC Melaka dan Jelajah Janji Ditepati yang dihadiri kira-kira 100,000 orang di sini, semalam. Hadir sama, Datin Seri Rosmah Mansor dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
UTC menempatkan 70 agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan menyediakan pelbagai jenis perkhidmatan kepada orang ramai.

Pusat setempat itu menyediakan perkhidmatan di bawah 10 kluster termasuk kesihatan, keselamatan, pendidikan, latihan dan pekerjaan, kewangan dan pembangunan belia bermula jam 8.30 pagi hingga 10 malam setiap hari.

UTC diperkenalkan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kerajaan kepada rakyat menerusi kerjasama strategik antara kementerian, jabatan dan agensi kerajaan serta sektor swasta dan NGO.

Najib berkata, idea hebat kerajaan terbukti dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif di dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Antaranya, Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Klinik Rakyat 1Malaysia, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Menu Rakyat 1Malaysia serta Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC).

Perdana Menteri berkata, perubahan dalam perkhidmatan kerajaan yang berlaku dengan pesat menerusi pelbagai program sejak tiga tahun lalu membuktikan kerajaan menepati janji berdasarkan idea itu.

"Kita sudah lihat banyak perubahan dilakukan sejak tiga tahun lalu dan jika lima tahun lagi, sudah tentu lagi banyak perubahan yang akan berlaku.

"Yakinlah, jika kita berjanji, kita tepati dan akan terus berusaha membantu rakyat," katanya sambil menempelak pakatan pembangkang yang gagal menunaikan janji.

Bercakap pada sidang media selepas itu, Najib berkata, pembinaan UTC Melaka mencatatkan rekod kerana berjaya disiapkan dengan pantas, iaitu dalam masa enam minggu selepas keputusan dibuat.

"Saya sudah buat kunjungan (ke UTC)... jabatan kerajaan dibuka dari jam 8.30 pagi hingga 10 malam, tujuh hari seminggu," katanya.

Menjawab soalan, Najib berkata, UTC kedua akan dibuka di Pudu Sentral, Kuala Lumpur sebelum diperluaskan ke seluruh negara tidak lama lagi.


Lahir modal insan berkemahiran

Posted: 23 Jun 2012 05:25 PM PDT

Nasional

MUHYIDDIN menandatangani plak pada majlis perasmian Pusat Teknologi UTM - MTDC fasa 2 di UTM Skudai, Johor Bahru sambil disaksikan Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Zaini Ujang (kiri) dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin (dua dari kiri).

MUHYIDDIN menandatangani plak pada majlis perasmian Pusat Teknologi UTM - MTDC fasa 2 di UTM Skudai, Johor Bahru sambil disaksikan Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Zaini Ujang (kiri) dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin (dua dari kiri).

Kegagalan IPT wujud ramai graduan berkebolehan halang capai negara maju 2020

SKUDAI: Pembangunan modal insan bagi melahirkan golongan menguasai teknologi dan kemahiran tinggi adalah elemen penting dalam memastikan sasaran menjadi negara maju menjelang 2020 dapat direalisasikan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kegagalan pelbagai agensi termasuk institusi pengajian tinggi (IPT) melahirkan lebih ramai modal insan berkebolehan, boleh menyebabkan perancangan pembangunan dirancang kerajaan termasuk menjadi negara maju terbantut. Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan menyusun pelbagai strategi dan mengambil pelbagai pendekatan serta mewujudkan pembentukan model baru seperti Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) untuk memastikan semua pembangunan manfaat kepada rakyat.

"Kerajaan mengambil pelbagai langkah proaktif dalam memastikan tumpuan diberikan bagi membentuk sebuah negara yang mempunyai asas dan kukuh khususnya membabitkan pembangunan sosio ekonomi sejak merdeka lagi.

"Kita mempunyai masa lapan tahun saja lagi untuk mencapai sasaran negara maju menjelang 2020, dalam tempoh singkat ini diharapkan kita dapat melahirkan modal insan mencukupi," katanya pada majlis Ramah Mesra Bersama Pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini, semalam.

Timbalan Perdana Menteri menghabiskan masa hampir satu jam setengah bersama 300 mahasiswa UTM menerangkan berhubung pembangunan ekonomi negara dan pentingnya pembangunan modal insan.
Sementara itu, ketika merasmikan Pusat Teknologi UTM-MTDC Fasa 2, Muhyiddin berkata, sebanyak RM434 juta disalurkan kerajaan bagi pengkomersialan 238 projek hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi tempatan sejak 2006 hingga kini.

Katanya, pembiayaan menerusi Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) itu selaras objektif Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara dalam usaha melahirkan modal insan kelas pertama serta mengkormesialkan inovasi teknologi.

Beliau berkata, penjanaan hasil asli tempatan secara komersil dapat dikembangkan secara intensif sekali gus menyumbang kepada Ekonomi Berpandukan Inovasi yang diperlukan bagi masa depan negara.

Dalam majlis berasingan, Muhyiddin mengingatkan orang Melayu supaya berdiri di atas kaki sendiri dan bersatu bagi menghadapi ancaman dalaman.

Timbalan Perdana Menteri mengingatkan orang Melayu agar tidak terpengaruh dengan ideologi sesetengah pemimpin yang hanya memikirkan soal politik daripada membantu kaum sendiri.

Katanya, tindakan pemimpin terbabit yang menyokong ideologi songsang dan perbuatan menyimpang daripada akidah, hanya akan merugikan orang Melayu sendiri.

"Orang Melayu mesti mampu berdiri di atas kaki sendiri dan bersatu sebagai satu jemaah yang kuat untuk bersama dalam arus pembangunan ini kerana musuh orang Melayu adalah dalam kalangan kaum sendiri.

"Tindakan sesetengah pemimpin menyokong ideologi songsang seperti jika sokong parti itu, akan masuk syurga adalah fahaman yang merosakkan akidah," katanya ketika berucap pada Program Sembang-sembang bersama Pemimpin, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Presiden Pertubuhan Warisan Melayu Johor (WARISAN), Datuk Abd Rahman Yunos.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan