Selasa, 26 Jun 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Polis berkas suspek kes samun dalam tempoh dua jam

Posted: 26 Jun 2012 06:33 AM PDT

SHAH ALAM: Polis memberkas tiga suspek kes samun kira-kira dua jam selepas mereka melakukan jenayah terhadap seorang jurulatih gimnasium di Seksyen 19 di sini, hari ini.

Tiga suspek itu diberkas di sebuah hotel murah di kawasan Batu Tiga di sini pada kira-kira 5 pagi selepas menyamun jurulatih itu berhampiran Sekolah Menengah Seksyen 19 dalam insiden kira-kira 3.40 pagi.

Ketua Polis Shah Alam ACP Ahmad Zahedi Ayob berkata tiga suspek itu yang menaiki kenderaan Chevrolet menggunakan taktik melanggar kereta yang dipandu mangsa dari belakang yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

Ekoran dari perlanggaran itu, mangsa memberhentikan kenderaannya untuk keluar melihat kerosakan yang dialami.


"Tanpa diduga, tiga lelaki yang berada di dalam kereta Chevrolet itu turut keluar dari kereta terbabit dengan sebilah parang di tangan salah seorang dari suspek sebelum mengugut mangsa agar menyerahkan barang berharga miliknya," katanya ketika dihubungi hari ini.


Takut dengan ancaman suspek, mangsa menyerahkan wang tunai sebanyak RM500 dan dua telefon bimbit miliknya.

Ahmad Zahedi berkata hasil laporan polis yang dibuat mangsa, pihaknya dapat mengesan kenderaan suspek terbabit yang diletakkan di hadapan sebuah hotel murah di Batu Tiga di sini dan memberkas ketiga-tiga suspek serta menemui semula barang milik jurulatih yang telah disamun.

Beliau berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan kumpulan itu menggunakan hotel berkenaan sebagai tempat istirahat sebelum mereka keluar semula untuk melakukan samun.

"Mereka hanya berehat dan mungkin akan keluar mencari mangsa lain memandangkan hasil samun pada awal pagi itu sedikit," katanya.

Kesemua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan bagi rompakan berkumpulan dan rompakan dengan bersenjata. - BERNAMA


Murid tahun tiga ponteng sekolah ditemui mati lemas

Posted: 26 Jun 2012 06:01 AM PDT

KUANTAN: Seorang murid tahun tiga yang ponteng sekolah dan mandi di sebatang sungai yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumahnya, ditemui mati lemas.

Muhammad Nur Norshahrin, 10, murid Sekolah Kebangsaan Padang Tengku, mandi bersama abangnya yang berusia 15 tahun dan seorang rakan abangnya yang juga berumur 15 tahun, di sungai Sai, dekat Padang Tengku, Kuala Lipis, tengah hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Supt Abdul Razak Hassan ketika dihubungi Bernama berkata abang mangsa yang turut ponteng sekolah dan mandi bersama adiknya cuba menyelamatkannya tetapi gagal.

"Selepas gagal menyelamatkan adiknya, abang mangsa berlari pulang ke rumah meminta bantuan penduduk kampung," katanya.


Mayat Muhammad Nur ditemui kira-kira sejam selepas itu dalam operasi mencari dan menyelamat oleh penduduk kampung.


"Mangsa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Padang Tengku namun disahkan sudah meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Mayat murid itu kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat dan dituntut keluarganya dikebumikan. - Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan