Isnin, 18 Jun 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Polis rampas eramin 5 bernilai RM5.4 juta

Posted: 18 Jun 2012 12:33 AM PDT

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket mengedar dadah eramin 5 yang aktif di sekitar Lembah Klang sejak enam bulan lepas dengan nilai rampasan berjumlah kira-kira RM5.4 juta serta tertangkapnya enam anggota sindiket itu.

Enam suspek, empat lelaki dan dua wanita berumur antara 20 tahun hingga 40 tahun ditahan dalam dua serbuan di kawasan apartmen di sini dan Damansara serta Petaling Jaya 31 Mei lepas.

Pengarah Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim dalam sidang media di sini hari ini berkata polis turut merampas 44,930 pil eramin 5 bernilai RM898,600 dalam dua serbuan tersebut.

Susulan itu pasukan polis menyerbu pula sebuah rumah kedai di Taman Pinggiran Senawang, Negeri Sembilan yang dipercayai dijadikan setor penyimpanan dadah berkenaan oleh sindiket pada Khamis lepas.


Pada serbuan itu polis merampas 225,500 biji pil eramin 5 bernilai RM4.5 juta.


Noor Rashid berkata polis tidak menemui sebarang makmal untuk memproses dadah tersebut kerana kesemua dadah itu telah dibungkus.

"Kita masih menyiasat dari mana dadah itu diperolehi," katanya sambil menegaskan kerjasama daripada orang ramai amat dialukan untuk membanteras penyalahgunaan dadah yang menjadi musuh negara.

Beliau berkata kesemua suspek telah ditahan dan didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA




Polis tumpas kegiatan bookie bola sepak Euro, lumba kuda di JB

Posted: 18 Jun 2012 12:14 AM PDT

JOHOR BAHRU: Polis berjaya menumpaskan kegiatan bookie kejohanan Bola Sepak Eropah (Euro) 2012 dan lumba kuda serta ekor haram melibatkan nilai pertaruhan RM14 juta dalam empat serbuan di sekitar bandar raya ini sejak Khamis lepas sehingga semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata 10 lelaki termasuk dua rakyat Singapura ditahan dalam serbuan berasingan itu yang dilakukan hasil maklumat orang awam.

"Dalam serbuan pertama pada pukul 12.15 malam, di Taman Scientex dekat Pasir Gudang, Khamis lepas, polis berjaya menahan seorang lelaki berumur 36 tahun yang dipercayai terlibat dalam aktiviti bookie bola sepak Euro yang membabitkan nilai pertaruhan RM1.5 juta dalam masa seminggu lepas," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Mohd Mokhtar berkata polis merampas komputer, modem, kalkulator, dua telefon bimbit serta dua helai kertas yang tercatat angka-angka judi bola sepak dalam serbuan itu dan lelaki berkenaan kini ditahan reman untuk siasatan.


Beliau berkata dalam serbuan kedua pada pukul 3 pagi di Taman Johor Jaya, Jumaat lepas pula, polis menahan enam lelaki berumur 37 hingga 51 tahun yang dipercayai terlibat dengan aktiviti yang sama yang juga membabitkan nilai pertaruhan RM1.5 juta dalam tempoh seminggu lepas.


Katanya, polis turut merampas komputer, modem, kalkulator, dua telefon bimbit serta dua kertas yang tercatat angka-angka judi bola sepak dalam serbuan itu dan semakan mendapati seorang daripada lelaki itu mempunyai tiga rekod jenayah membabitkan pencerobohan rumah dan judi.

Mohd Mokhtar berkata dalam serbuan ketiga pada pukul 6 petang di sebuah pangsapuri di Jalan Datuk Abdullah Tahir, dua hari lepas pula, polis menahan dua lelaki rakyat Singapura berumur 30 tahun yang dipercayai terlibat dengan aktiviti bookie bola sepak Euro, ekor haram dan bookie lumba kuda yang melibatkan nilai pertaruhan RM10 juta dalam masa seminggu lepas.

"Dianggarkan pertaruhan bookie bola sepak itu bernilai RM6 juta manakala pertaruhan ekor haram dan bookie kuda bernilai RM2 juta setiap satu," katanya dan menurutnya dalam serbuan itu polis merampas dua komputer riba, enam monitor, mesin faks, 88 helai kertas tercatat angka-angka perjudian ekor haram, 23 kertas pertaruhan bola sepak Euro, empat telefon, dua pita perakam, empat telefon bimbit dan mesin cetak.

Beliau berkata, dalam serbuan terakhir, pada pukul 4 pagi, di Taman Ungku Tun Aminah, dekat Skudai, semalam pula, polis berjaya menahan seorang lelaki berumur 44 tahun yang dipercayai terlibat dalam aktiviti bookie bola sepak Euro yang melibatkan nilai pertaruhan RM900,000 dalam masa seminggu.

Katanya, polis merampas komputer riba, wang tunai RM5,000, modem, dua telefon bimbit, pager, kalkulator serta 188 helai kertas yang tercatat angka-angka judi bola sepak. - BERNAMA




Tiada ulasan:

Catat Ulasan