Khamis, 15 Mac 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


16 kenderaan rosak, cermin bangunan pecah akibat rusuhan

Posted: 15 Mar 2012 05:30 AM PDT

BAYAN LEPAS: Sebanyak 16 buah kenderaan rosak dan cermin bangunan dipecahkan dalam satu kejadian merusuh di sebuah syarikat elektronik di Kampung Jawa, Bayan Baru di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, DSP Lai Fah Hin berkata, dalam kejadian pukul 2.15 petang itu, suspek terdiri daripada 15 lelaki tempatan bersenjatakan parang dan tukul besi bertindak menyerang syarikat elektronik itu.

Bagaimanapun, beliau berkata kesemua pekerja syarikat itu tidak mengalami sebarang kecederaan memandangkan ketika kejadian mereka berada di dalam bangunan.

"Suspek yang memakai topeng itu datang menaiki tiga buah kenderaan menggunakan nombor pendaftaran palsu dan bertindak memecahkan sebahagian cermin bangunan dan merosakkan kenderaan pekerja termasuk pengurus syarikat yang diletakkan di sekeliling bangunan.


"Pemeriksaan ke seluruh kawasan bangunan itu tidak menemui sebarang objek tajam yang dipercayai digunakan suspek sebagai senjata utama," katanya kepada pemberita.


Lai berkata kesemua suspek berjaya melarikan diri selepas bertindak memecah sebahagian harta benda syarikat dan para pekerja.

Beliau berkata polis akan menyiasat secara terperinci punca kejadian sama ada ia melibatkan individu, perniagaan, cemburu mahupun tukar milik dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh. - Bernama



Sambutan terhadap MyKomuter memberangsangkan: KTMB

Posted: 15 Mar 2012 04:09 AM PDT

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menambah empat lagi tren MyKomuter akhir bulan ini, kata Pengurus Kanan Unit Komunikasi Korporat KTMB, Mohd Fazil Ismail.

"Empat tren MyKomuter ini adalah sebahagian dari proses tambahan tren secara berperingkat untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan sedia ada," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata MyKomuter atau perkhidmatan tren enam gerabak (SCS) yang sudah beroperasi selama seminggu mendapat reaksi positif daripada pengguna.

"Ketika ini perkhidmatan MyKomuter beroperasi dengan empat tren. Pihak kami mendapat reaksi positif daripada pengguna dan rata-rata pengguna jelas berpuas hati dengan keadaan MyKomuter yang lebih luas dan jelas lebih selesa.


"Namun sepanjang seminggu perkhidmatan ini, bilangan pengguna belum meningkat secara mendadak, kita jangka peningkatan penumpang akan mula meningkat bermula awal April ini selaras dengan tambahan empat lagi tren baru," katanya. - Bernama



Tiada ulasan:

Catat Ulasan