Ahad, 1 Januari 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


149 penduduk termasuk 73 warga emas di Besut cemas kampung dilanda banjir kilat

Posted: 01 Jan 2012 02:19 AM PST

KUALA LUMPUR: Seramai 149 penduduk termasuk 73 warga emas di Pusat Penempatan Warga Tua Nurul Saadah, Kampung Tok Dor, dekat Besut, Terengganu menyambut kedatangan tahun baru dalam suasana cemas dan sedih apabila kampung mereka dilanda banjir kilat kira-kira jam 2 pagi tadi.

Banjir akibat limpahan Sungai Tok Dor yang bermula 12.30 pagi itu menyebabkan sebuah sekolah rendah, masjid, surau, beberapa kedai makan dan penempatan warga emas dimasuki air deras sedalam antara 1 hingga 2 meter.

Keadaan itu mengakibatkan kerosakan termasuk pagar sekolah, peralatan masjid, jalan raya dan kenderaan apabila ditenggelami air.

Tinjauan Bernama ke kampung itu pagi ini mendapati penduduk sibuk membaiki dan mengemas rumah masing-masing yang rosak ditenggelami air banjir kilat.


Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Tok Dor Zuhdi Ariffin, 48, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Masjid Kampung Tok Dor berkata masjid itu dimasuki air sedalam 0.6 meter menyebabkan permaidani, almari, langsir dan cermin pecah.


Beliau berkata buat masa ini, 76 penduduk ditempatkan di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Anak Ikan yang terdiri daripada 14 keluarga, termasuk 42 kanak-kanak, manakala semua warga emas terbabit dipindahkan ke tingkat atas pusat penempatan berkenaan yang sebelum ini dijadikan surau.

Pengerusi Pusat Penempatan Warga Tua Nurul Saadah Harun Hussin berkata mereka terpaksa berjalan sendiri dengan memegang tali yang diikat untuk ke surau ekoran pihak berkaitan sukar ke situ untuk menghulurkan bantuan kerana jalan masuk ditenggelami air sedalam 2 meter.

"Melalui telefon mudah alih, saya hanya mampu mengarahkan mereka berjalan dengan memegang tali dan tangan bersama-sama ke tempat selamat," katanya sambil menambah penghuni pusat itu terpaksa menyelamatkan diri dengan duduk di atas kerusi sebelum air surut pada kira-kira 6 pagi tadi.

Tinjauan Bernama mendapati kerja-kerja membersih Masjid Kampung Tok Dor dilakukan pukul 12 tengah hari dengan bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat dari daerah Besut.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir di Segamat terus menurun dengan hanya 75 orang daripada 14 keluarga masih berada di empat pusat pemindahan melibatkan Kampung Spangloi, Kampung Batu Badak, Kampung Sanglang dan Kampung Pogoh petang ini.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara, paras air Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat dan Sungai Bekok di Empangan Bekok, Batu Pahat masing-masing masih melebihi paras amaran pada 8.94 meter dan 17.16 meter.

Di KELANTAN, seramai 26 orang daripada enam keluarga di dua kampung di Pasir Puteh dipindahkan ke pusat pemindahan banjir berikutan hujan lebat yang diikuti angin kencang sejak malam tadi.

Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh Kaharuddin Yahya berkata mereka ditempatkan di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Kamil dan Sekolah Kebangsaan Bukit Awang.

"Ini berikutan rumah kediaman mereka di Kampung Wakaf Bunut,dan Bukit Awang di naiki air antara satu hingga dua meter," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata jumlah itu tidak termasuk seorang mangsa yang lumpuh dan dihantar ke Hospital Tengku Anis untuk rawatan.

Kaharuddin berkata beberapa jalan ditutup kepada kenderaan ringan iaitu laluan dari Pasir Puteh ke Jerteh, Pasir Puteh ke Semerak dan Pasir Puteh ke Kota Baharu.

Seorang mangsa, Che Abdulah Che Mat, 72, berkata halaman rumahnya dinaiki air hampir setinggi paras dada pukul 3 pagi tadi.

Abdullah, yang lumpuh kedua-dua belah kaki, berkata beliau dan isterinya terpaksa berpindah apabila paras air memasuki rumah mereka sedalam antara 0.1 hingga 0.2 meter.

Sementara itu, Pejabat Pengairan dan Saliran Pasir Puteh ketika dihubungi berkata paras air di Sungai Semerak pada 10 pagi ini di tahap berjaga-jaga iaitu 2.4 meter. -- BERNAMA



Full content generated by Get Full RSS.

Modul baru I-Smart bantu pelatih PLKN lemah menulis dan membaca

Posted: 01 Jan 2012 12:38 AM PST

KUCHING: Satu modul baru, I-Smart, akan diperkenalkan dalam program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bermula tahun ini untuk membantu pelatih yang menghadapi masalah menulis dan membaca, kata Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara Datuk Dr Tiki Lafe.

Beliau berkata peruntukan modul kecil itu akan bergantung kepada jumlah pelatih yang didapati menghadapi masalah itu.

"Pelatih yang kita dapati mempunyai masalah membaca atau menulis akan diberikan latihan khas atau kelas khas oleh pelatih," katanya kepada pemberita selepas melancarkan siri latihan PLKN 9/2012 di sini hari ini.

Dr Tiki berkata purata lima peratus pelatih yang dipilih menyertai latihan itu didapati menghadapi masalah membaca dan menulis.


Beliau berkata satu lagi modul sampingan iaitu untuk membantu pelatih yang menghadapi masalah berat badan berlebihan, sedang dibangunkan dan mungkin diperkenalkan pada sesi latihan PLKN akan datang pada April tahun ini.


Sementara itu, Jabatan Latihan Khidmat Negara dalam kenyataan menyatakan 140,000 pelatih terlibat dalam siri 9/2012 yang dijalankan di 82 kem di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 3,580 pelatih adalah dari Sarawak, dan 498 daripada mereka dipilih menjalani latihan di kem-kem di Semenanjung. -- BERNAMA



Full content generated by Get Full RSS.

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Premis judi Internet diserbu

Posted:

Premis judi Internet diserbu

Premis judi Internet diserbu

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusn.com.my


ANGGOTA polis dari Unit D7 IPK negeri merampas mesin permainan judi haram di Taman Seremban Jaya, Seremban, semalam. – MINGGUAN/ABD. RAZAK AID


SEREMBAN 31 Dis. – Kegiatan perjudian Internet yang dijalankan di sekitar Taman Seremban Jaya dekat sini berjaya dilumpuhkan selepas polis menyerbu tiga buah premis petang semalam.

Serbuan pada pukul 6 petang itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri (IPK) selepas pihaknya mendapat maklumat daripada orang ramai mengenai kegiatan berkenaan sejak beberapa bulan lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supritendan Zazali Hashim berkata, dalam serbuan itu, lapan pelanggan yang sedang leka bermain judi di premis berkenaan turut ditahan untuk siasatan lanjut.

"Dalam operasi ini, polis merampas 48 unit komputer yang dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian di tiga premis berkenaan.

"Semua pelanggan yang berusia20 hingga lingkungan 40-an itu cuba melarikan diri tetapi gagal selepas menyedari premis berkenaan dikepung," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, hasil serbuan itu juga, polis menahan tiga lelaki berusia 21 hingga dipercayai penjaga premis berkenaan.

Siasatan awal mendapati, kesemua premis ini sudah beroperasi sejak beberapa bulan lalu dan sering dikunjungi kaki-kaki judi untuk melepaskan gian. Malah bagi tujuan keselamatan, pengusaha juga memasang kamera litar tertutup (CCTV).

Zazali berkata, polis memandang serius kegiatan perjudian Internet ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat.

Menurutnya lagi, kes ini disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Pindaan 2001) dan Seksyen 6 Enakmen Pusat Hiburan kerana berniaga tanpa lesen.

Jika sabit kesalahan, pemilik premis boleh dikenakan denda sebanyak RM10,000 bagi setiap mesin yang dirampas atau penjara lima tahun di bawah Seksyen 4B (a).

"Bagi kesalahan di bawah Seksyen 6, pemilik premis boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Konvensyen Pencapaian Melayu rumus 14 resolusi

Posted:

Konvensyen Pencapaian Melayu rumus 14 resolusi

Konvensyen Pencapaian Melayu rumus 14 resolusi

MELAKA 31 Dis. - Konvensyen Pencapaian Melayu Melaka Maju Negeriku Sayang Negeri Bandar Teknologi Hijau yang dijalankan selama dua hari berakhir semalam merumuskan 14 resolusi ke arah memperkasakan orang Melayu terutamanya dalam bidang ekonomi.

Ia merupakan intipati utama yang perlu diberikan perhatian oleh semua pihak, merangkumi aspek ekonomi, sosial dan politik bagi memartabatkan kedudukan orang Melayu dalam semua bidang.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Abdul Ghafar Atan berkata, kesemua resolusi itu dicapai hasil daripada beberapa siri pembentangan kertas kerja sepanjang konvensyen itu berlangsung.

Beliau yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, antara resolusi yang disepakati dalam konvensyen itu adalah merancang strategi bagi mencapai sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti bumiputera.

"Kita tetap akan berusaha mencari jalan untuk memastikan orang Melayu dan bumiputera di negeri ini mampu bersaing dengan kaum lain dalam perniagaan dan akan berusaha untuk mencapai sasaran 30 peratus dalam pemilikan ekuiti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merumuskan resolusi tersebut pada majlis penutup konvensyen itu Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, di sini semalam.

Antara yang terkandung dalam resolusi 14 perkara itu adalah memberikan didikan awal dalam bidang perniagaan dan keusahawanan kepada anak-anak, mewujudkan dasar Satu Keluarga, Satu Profesional dan penggunaan aplikasi Internet dan teknologi moden.

Dalam aspek sosial, resolusi yang dirumuskan adalah pencegahan aktiviti penyalahgunaan dadah dan kes buang bayi.

Manakala yang menyentuh bidang politik pula, menggalakkan golongan belia berusia 21 tahun ke atas mendaftar sebagai pengundi dan mewujudkan lebih banyak blog pro-kerajaan bagi menangkis segala tohmahan dan fitnah pembangkang.

Full content generated by Get Full RSS.

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Risalah fitnah PM: Polis Kelantan perhebat siasatan

Posted: 01 Jan 2012 01:42 AM PST

Mutakhir

KOTA BHARU: Polis Kelantan akan terus memperhebatkan siasatan terhadap perbuatan menyebarkan risalah berunsur fitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, di Kuala Krai dan Tanah Merah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, berkata ia susulan penahanan 11 orang berusia antara 15 hingga 55 tahun yang disyaki menyebar risalah itu di kedua-dua jajahan itu dua hari lalu.

"Semua mereka sudah dibebaskan dengan jaminan polis sebelum didakwa di mahkamah 9 Januari ini di bawah Seksyen 8 Akta Mesin Cetak," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini. Pada majlis itu, Supt Mohd Zulmazi Che Daud dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mula menerima jawatan itu berkuatkuasa hari ini daripada, DSP Nazly Mohd Said.

Jalaluddin berkata, polis masih meneruskan siasatan terhadap saki baki mereka yang terbabit dalam kegiatan menyebarkan risalah itu yang mengaitkan Perdana Menteri dan isteri dengan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau juga berkata polis mengesan 493 kes jenayah perdagangan tahun lalu berbanding 453 kes dalam tahun sebelumnya iaitu peningkatan kira-kira 52 peratus dengan tangkapan 54 orang.

Kebanyakan kes itu membabitkan kes penipuan tanah dan jenayah siber yang menawarkan hadiah cabutan bertuah melalui SMS. - BERNAMA

Full content generated by Get Full RSS.

Harung banjir di malam tahun baru

Posted: 01 Jan 2012 01:09 AM PST

Mutakhir

PERMAISURI: Sambutan malam tahun baru sungguh berbeza bagi penduduk Besut dan Setiu, di Terengganu serta Pasir Puteh di Kelantan apabila terpaksa berpindah ke pusat pemindahan berikutan kedatangan gelombang kedua banjir selepas hujan lebat sejak semalam.

Sehingga jam 1 tengah hari tadi, seramai 704 mangsa daripada 181 keluarga ditempatkan di lapan pusat pemindahan, iaitu lima di Besut manakala bakinya di Setiu.

Pusat pemindahan Dewan Serbaguna Kampung Apal, Besut mencatatkan bilangan mangsa paling ramai, iaitu 316 mangsa daripada 64 keluarga. Pengalaman pahit itu turut dialami 149 penduduk termasuk 73 warga tua di Rumah Orang Tua Nurul Saadah, Kampung Tok Dor apabila banjir mula melanda kira-kira jam 12 tengah malam.

Pengerusi rumah kebajikan itu, Harun Hussein, 68, berkata semua 73 penghuni perempuan yang tinggal di situ terpaksa berpindah kira-kira jam 2 pagi selepas air mula masuk ke rumah.

Katanya, keadaan bertukar panik apabila warga tua berkenaan terpaksa berpegang pada tali untuk menyeberang arus deras ke sebuah surau di tapak lebih tinggi kira-kira 50 meter dari situ.

"Bagaimanapun, tidak lama kemudian, air naik mendadak dan turut melimpah ke surau sedalam satu meter menyebabkan semua warga tua berkenaan terpaksa berdiri atas meja untuk menyelamatkan diri.
"Syukur mereka semua selamat dan kembali semula ke rumah masing-masing kira-kira jam 7 pagi ini sebaik air surut," katanya

Full content generated by Get Full RSS.

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


Majlis Peguam perlu nyatakan pendirian

Posted:

Majlis Peguam perlu nyatakan pendirian

Majlis Peguam perlu nyatakan pendirian

KUALA LUMPUR 31 Dis. - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak Majlis Peguam tampil menzahirkan pandangan mereka berhubung 'Kempen Bebaskan Anwar 901' yang dilihat mahu mencabar kewibawaan institusi kehakiman negara.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, langkah itu penting kepada rakyat yang mahu melihat pendirian sebuah badan yang mahir tentang undang-undang negara sama ada mereka mahu mendaulatkan institusi kehakiman negara atau sebaliknya.

Namun katanya, beliau tidak hairan sekiranya Majlis Peguam hanya akan mengambil pendekatan berdiam diri berhubung isu itu berdasarkan kecenderungan mereka untuk menyebelahi pembangkang.

"Oleh itu, Perkasa mendesak Majlis Peguam termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) tampil menyatakan pendirian berhubung isu ini sama ada mereka mahu mendaulatkan undang-undang negara atau sebaliknya.

"Saya bimbang hanya kerana seorang manusia, perasaan kasih dan sayang rakyat terhadap negara akan hilang," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim yang mendesak Majlis Peguam menyatakan pendirian berhubung 'Kempen Bebaskan Anwar 901' yang mengajak orang ramai menyertai demonstrasi pada 9 Januari ini.

Desakan sama dibuat oleh Timbalan Yang Dipertua Kebangsaan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Omar Salleh yang mahu melihat pendirian Majlis Peguam berhubung kempen itu atas kapasitinya sebagai sebuah badan bebas.

Katanya, sikap berdiam diri pertubuhan itu hanya memperlihatkan Majlis Peguam sebenarnya bersama untuk menjayakan 'Kempen Bebaskan Anwar 901'.

''Seharusnya, para penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu bersikap profesional dengan menunggu keputusan rasmi mahkamah terlebih dahulu sebelum melakukan apa-apa tindakan.

"Mereka seharusnya sedar, perbuatan mereka hanya akan menyusahkan orang ramai khasnya pemandu jalan raya dan peniaga," katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar berpandangan tindakan Majlis Peguam berdiam diri adalah kerana mereka menyedari sikap dan tujuan sebenar Anwar.

Namun katanya, sebagai pertubuhan yang mahir tentang undang-undang, mereka seharusnya tampil menyatakan pendirian dan pada masa sama menasihatkan orang ramai yang mahu berdemontrasi supaya tidak mempertikaikan kewibawaan institusi kehakiman negara.

Full content generated by Get Full RSS.

Mahasiswa perlu utamakan peperiksaan

Posted:

Mahasiswa perlu utamakan peperiksaan

Mahasiswa perlu utamakan peperiksaan

KUALA LUMPUR 31 Dis. - Golongan mahasiswa diingatkan supaya tidak melibatkan diri dalam kempen Bebaskan Anwar 901 pada 9 Januari ini yang bersamaan dengan minggu peperiksaan di kebanyakan universiti di negara ini.

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd. Mustafa Ishak berkata, tanpa sebarang manfaat yang jelas, pembabitan mahasiswa dalam aktiviti itu seolah-olah memperjudikan masa depan mereka.

"Peperiksaan akhir semester selama dua minggu sudah bermula, jangan korbankan masa depan dengan menyertai demonstrasi kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku.

"Tumpukan perhatian sepenuhnya kepada peperiksaan dan sebagai penuntut mereka harus hargai peluang berada di universiti," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mohd. Mustafa seterusnya mengingatkan bahawa mahasiswa yang bijak dan matang seharusnya memahami motif sebenar di sebalik penganjuran perhimpunan itu.

Beliau berkata, mahasiswa juga harus faham bahawa kes jenayah tidak boleh diselesaikan secara berdemonstrasi.

"Jangan biarkan diri dijadikan seperti 'lembu yang dicucuk hidung' oleh kumpulan dan penyokong-penyokong (Datuk Seri) Anwar Ibrahim.

"Keputusan mahkamah tidak boleh digugat dengan cara berdemonstrasi. Kalau tak puas hati ia mesti dibuat melalui rayuan kerana itu prosedur perundangan," katanya.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran keras kepada mahasiswa UUM yang menyertai demonstrasi anjuran pembangkang itu bahawa mereka bakal berhadapan dengan tindakan tatatertib.

"Pihak universiti tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana penuntut yang didapati mencemar nama baik UUM," katanya.

Pandangan sama turut dinyatakan Presiden Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi), Mohd. Shahar Abdullah yang berkata, penglibatan penuntut dalam demonstrasi hanya menjejaskan tumpuan terhadap pelajaran.

"Kita tidak salahkan mahasiswa sepenuhnya kerana pihak yang menggunakan mereka juga perlu bertanggungjawab," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Cerai: Jabatan agama tidak sepatutnya buntu

Posted:

Cerai: Jabatan agama tidak sepatutnya buntu

Cerai: Jabatan agama tidak sepatutnya buntu

KUALA LUMPUR 31 Dis. – Pihak berkuasa agama tidak sepatutnya buntu dalam menangani masalah perceraian pasangan Islam, sebaliknya mereka perlu mendapatkan maklum balas daripada bakal pengantin bagi menilai keberkesanan kursus pra perkahwinan yang dijalankan.

Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya berkata, dengan cara itu pihak terbabit dapat mengkaji semula modul kursus pra perkahwinan yang dijalankan serta merangka kursus selepas perkahwinan bagi pasangan yang baharu berkahwin dan pasangan bermasalah.

Katanya, langkah itu dilihat dapat membantu memberi pendedahan kepada pasangan baru berkahwin mengenai tanggungjawab, kehidupan rumahtangga dan alam perkahwinan.

"Dengan adanya kursus itu, ia sedikit sebanyak dapat memberi jalan keluar kepada pasangan yang bermasalah agar mereka tahu ke mana harus dituju bagi mendapatkan bantuan dalam menyelesaikan kemelut yang dihadapi.

"Langkah ini bagaimanapun tidak semestinya dilaksanakan di peringkat jabatan agama kerana Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga boleh bersama mengekang masalah ini," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan mengenai jabatan agama yang seakan-akan menemui jalan buntu bagi menyelesaikan masalah penceraian di kalangan pasangan Islam yang semakin meningkat.

Tambah Juanda, isu penceraian tidak seharusnya diberi penekanan tetapi kesan penceraian itu yang harus diambil berat.

"Itu semua jodoh dan kita janganlah memandang penceraian sebagai gejala negatif. Adalah lebih baik untuk kita menumpukan kepada kesannya," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Ibu, ayah maut bersama

Posted: 31 Dec 2011 07:02 AM PST

KUALA KUBU BHARU: "Saya terkilan kerana tidak sempat menyambut tahun baru bersama ibu bapa yang terbunuh dalam kemalangan ngeri," kata Fizree Mohd Zakry, 25, mengulas tragedi menimpa keluarganya di Kilometer 419.5 Lebuhraya Utara Selatan berdekatan persimpangan susur keluar Plaza Tol Bukit Tagar, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi, kereta Proton Waja dinaiki ibunya, Latifah Hashim, 48, bapanya, Mohd Zakry Othman, 56, bersama tiga penumpang lain dikatakan terbabas lalu merempuh besi penghadang lebuh raya.


Menurutnya, ibu bapanya maut di tempat kejadian, manakala adiknya, Noor Fauzana, 22, Mohammad Fakrul, 17, dan rakan adiknya, Mohamad Ramadan Firdaus, 17, cedera ringan dan mendapat rawatan pesakit luar di Hospital Sungai Buloh (HSB).

"Saya bergegas dari Terengganu ke Hulu Selangor apabila menerima panggilan daripada dua adik yang terbabit dalam kejadian itu, semalam.


"Sungguh terkilan apabila saya tidak dapat bertemu ibu bapa untuk menyambut tahun baru di Temerloh, Pahang. Tuhan lebih sayangkan mereka," katanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB), di sini, semalam.


Fizree berkata, keluarganya dalam perjalanan pulang ke Felda Hulu Jempol, Temerloh, Pahang selepas menghadiri majlis kenduri perkahwinan jiran mereka di Alor Setar, Kedah.

Beliau yang turut berkunjung ke Kedah bagaimanapun pulang lebih awal kerana menyambung kerja di Terengganu.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, kejadian dipercayai berpunca daripada pemandu kenderaan yang mengantuk lalu terbabas dan melanggar besi bucu penghalang lebuh raya.


Katanya, kereta mangsa remuk teruk dan Mohd Zakry tertusuk besi yang membengkok di dalam kereta sepanjang tiga meter.


"Isteri mangsa, Latifah ditemui tercampak dua meter dari kereta melalui cermin depan. Sepasukan anggota pasukan Bomba dan Penyelamat Balai Kuala Kubu Bharu membantu mengeluarkan mayat mangsa dan tiga yang cedera," katanya.



Full content generated by Get Full RSS.

Pihak berkuasa tidak tutup sebelah mata

Posted: 31 Dec 2011 06:55 AM PST

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa tidak pernah menutup sebelah mata atau terlepas pandang kehadiran pendatang di negara ini, malah sentiasa peka dan mengadakan pemeriksaan secara berterusan, termasuk yang terbabit dalam kegiatan tidak bermoral.

Kebanjiran pendatang, khususnya di Pulau Ketam, Klang, juga tidak terkecuali, terutama selepas operasi secara berkala disusun untuk membanteras kemasukan pendatang asing yang menjadikan pulau itu sebagai transit atau bekerja di situ.


Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad berkata, pihaknya sentiasa menjalankan operasi di lokasi terbabit dan terbaru, beberapa siri operasi berskala kecil dilakukan dan akan ditingkatkan secara konsisten selepas program pemutihan selesai.

Menurutnya, buat masa ini kebanyakan pegawai imigresen dikerah membantu dalam urusan pemutihan pendatang dan pemantauan serta penguatkuasaan dilakukan dalam skala kecil kerana memberi peluang kepada golongan pendatang mendaftar.


"Memang kita belum membuat penguatkuasaan tetapi jangan ingat kita menutup mata kerana kita juga menghantar anggota serta pegawai untuk memantau beberapa lokasi berisiko, jadi usah ada pihak mendabik dada dan mendakwa mereka masih terselamat.


"Majikan yang belum mendaftarkan pekerja mereka diharap segera mendaftar, manakala pendatang yang masuk secara sendirian boleh mencari jalan penyelesaian yang ada atau berdepan tindakan tegas," katanya.

Ditanya mengenai kewujudan pusat urut dan pusat pelacuran yang menawarkan aktiviti seks di kalangan warga asing di pulau itu, Alias berkata, golongan berkenaan juga tidak akan terlepas kerana mereka turut terikat dengan peraturan imigresen.


"Saya akan berbincang dengan Imigresen Selangor mengenai perkara ini tapi untuk pengetahuan, kami sebenarnya ada perancangan sendiri untuk menangani gejala itu, namun kini lebih menumpu kepada program pemutihan," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan perancangan dibuat, sebaliknya memberitahu sesuatu sudah dirancang.



Full content generated by Get Full RSS.

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Penggiat industri perlu komited

Posted:

Penggiat industri perlu komited

Penggiat industri perlu komited

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my


ZAMBRY Abd. Kadir (tengah) bersama pemenang Anugerah Pelancongan Perak 2011 di Ipoh, semalam.


IPOH 31 Dis. – Semua penggiat industri pelancongan di negeri ini digesa memberikan komitmen tinggi bagi merealisasikan hasrat kerajaan negeri mencapai sasaran lima juta pelancong pada Tahun Melawat Perak (TMP) 2012.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, biarpun Perak mempunyai pelbagai produk pelancongan bertaraf dunia, namun kekurangan dalam mempromosikannya tidak akan membantu perkembangan industri berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan negeri melihat industri tersebut mempunyai potensi besar dan mahu ia menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

''Perak mempunyai khazanah alam yang tidak ternilai iaitu hutan hujan tropika Royal Belum yang tertua di dunia, melebihi usianya daripada yang ada di Lembangan Amazon.

''Kerajaan negeri menyediakan platform dan kerangkanya sahaja, namun, dalam mempromosi pelancongan di negeri ini, semua penggiat industri perlu berganding sama termasuk pengusaha hotel dan resort kerana kejayaannya terletak di bahu kita semua," katanya pada Malam Gala Anugerah Pelancongan Negeri Perak 2011 yang diadakan di Royal Perak Golf Club, di sini malam tadi.

Turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Saripah Zulkifli serta Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan, Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman.

Pada majlis tersebut, Zambry turut menyampaikan 18 anugerah pelancongan negeri yang antara lain dimenangi oleh Hotel Syuen, The Banjaran Hotsprings Tambun, Lost World of Tambun, Homestay Kampung Beng Lenggong dan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS).

Full content generated by Get Full RSS.

Gunting rambut percuma

Posted:

Gunting rambut percuma

Gunting rambut percuma


wan Zawiyah Wan Halim (kiri) bersama ahli Puteri UMNO memotong rambut kanak-kanak di Dewan Orang Ramai Napoh, kelmarin.


KUBANG PASU 31 Dis. - Puteri UMNO Kubang Pasu menyediakan perkhidmatan gunting rambut secara percuma kepada kanak-kanak di seluruh Parlimen Kubang Pasu sempena pembukaan sesi persekolahan 2012.

Ketuanya, Wan Zawiyah Wan Halim berkata, seramai 15 ahli pergerakan itu yang terlatih dan mempunyai sijil dari Pusat GiatMara Jerlun disediakan untuk memberi khidmat menggunting rambut kanak-kanak sekolah rendah.

"Kami harap dengan kemahiran yang ada mereka dapat membantu memberi perkhidmatan menggunting rambut kanak-kanak yang kurang berkemampuan bagi memulakan sesi persekolahan baru tidak lama lagi," katanya di sini semalam.

Dalam program itu, seramai 100 kanak-kanak berusia tujuh hingga 11 tahun turut menerima sumbangan beg sekolah, alatan tulis dan makanan ringan.

Menurutnya, semua tenaga terlatih itu menjalani latihan di Pusat GiatMara selama 16 jam selain menjalani latihan amali di beberapa salon rambut selama enam bulan sebelum diberi sijil tersebut.

"Diharapkan melalui program ini ia dapat membantu meringankan beban ibu bapa yang kurang berkemampuan," jelasnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Masalah anjing liar diatasi

Posted:

Masalah anjing liar diatasi

Masalah anjing liar diatasi

IPOH 31 Dis. - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sedang menjalankan kajian menyeluruh bagi mengatasi masalah anjing liar yang kian berleluasa di bandar raya ini.

Datuk Bandar, Datuk Roshidi Hashim berkata, pendekatan menangkap haiwan tersebut menerusi syarikat swasta dengan kos RM45 seekor dilihat tidak efektif.

Menurut beliau, perbincangan MBI dengan beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini membuat kesimpulan bahawa pendekatan lebih menyeluruh perlu dilakukan bagi mengatasi masalah itu.

"Justeru, kita memohon kepada NGO berkenaan termasuk orang ramai untuk turut sama memberikan input dan maklum balas bagi kita menyiapkan kertas kerja berkenaan berikutan jumlah anjing liar yang semakin meningkat," katanya di sini semalam.

Full content generated by Get Full RSS.

Utusan Online - Muka Hadapan

Utusan Online - Muka Hadapan


‘Anwar bukan pilihan rakyat’

Posted:

'Anwar bukan pilihan rakyat'

'Anwar bukan pilihan rakyat'


Raja Petra Kamarudin



  • Raja Petra Kamarudin sifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan lagi satu pilihan kepada rakyat Malaysia kerana Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bukan sahaja mempunyai isu moral tetapi juga tidak mampu menjadi penasihat ekonomi negeri Selangor, apatah lagi untuk mentadbir negara.
  • Dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia, Raja Petra mendedahkan Anwar berbohong apabila menyatakan tidak mengenali Datuk Eskay Shazryl Abdullah sedangkan tiga tahun lalu ketua pembangkang itu pernah menghubunginya untuk membantu membersihkan nama Eskay.
  • Menurut beliau, hanya PKR yang memerlukan Anwar sedangkan DAP dan Pas tidak akan mengharapkan pemimpin itu lagi sekiranya pakatan pembangkang gagal membentuk kerajaan pada pilihan raya umum akan datang.
  • Soalnya, jika anda nak jadi gay, teruskanlah. Anda tak boleh jadi pemimpin dan gay sekali gus. Di Australia, anda boleh.

    Di Malaysia, anda kena pilihlah. Kalau nak jadi Perdana Menteri dan gay sekali gus, sudah tentu di Malaysia tak boleh.

    Ikuti wawancara bersama Raja Petra Kamarudin

    Full content generated by Get Full RSS.

    'Merancang dan bekerja keras'

    Posted:

    'Merancang dan bekerja keras'

    'Merancang dan bekerja keras'

    Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
    pengarang@utusan.com.my


    Warga kota membanjiri Dataran Merdeka bagi menyambut Ambang 2012 di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad, malam tadi. - BERNAMA


    KUALA LUMPUR 31 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dengan kerajaan dalam merealisasikan masa depan yang lebih baik bagi negara.

    Menurut Perdana Menteri, ia bukanlah sekadar mimpi sebaliknya boleh dirangkul jika seluruh rakyat Malaysia sanggup merancang dengan teliti dan bekerja keras bagi mencapainya.

    ''Tidak ada yang mustahil jika kita mampu mengimpikannya, sesungguhnya hari-hari yang terbaik kita masih berada di hadapan dan bukannya sudah tinggal dalam lipatan sejarah.

    ''Selamat tahun Baru 2012," katanya dalam perutusan tahun baru 2012 seperti yang disiarkan menerusi laman blog 1Malaysia di http://www.1malaysia.com.my hari ini.

    Dalam perutusan yang sama, Najib turut menyifatkan 2011 sebagai tahun yang amat monumental kepada negara kerana ia telah menyaksikan lengkapnya "roll out" inisiatif dasar kerajaan di bawah payung Dasar Transformasi Nasional (2011-2020) dan pengenalan siri keempat Rangka Rancangan Jangka Panjang Negara (RRJP) semenjak ia mula diperkenalkan pada 1971.

    Kata Najib, Dasar Transformasi Negara yang merupakan komponen terakhir dalam usaha merealisasikan Wawasan Kebangsaan untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020, bermula dengan pelancaran Program Transformasi Kerajaan (GTP).

    Beliau berkata, ia diikuti dengan Program Transformasi Ekonomi (ETP) serta pelancaran Model Baru Ekonomi (MBE), Program Transformasi Politik dan Program Transformasi Luar Bandar.

    ''Kesemua inisiatif dasar itu bukanlah sekadar pengumuman kosong mahupun tidak berpijak pada bumi yang nyata kerana jika dilaksanakan dengan betul dan mengikut jadual, ia akan menyaksikan kemunculan sebuah Malaysia Baru.

    ''Sebuah negara yang bukan sahaja maju dari segi ekonomi dengan kemakmuran yang dikongsi setiap strata dan segmen rakyat tetapi juga sebuah watan dengan tradisi demokrasi serta perbezaan pendapat yang membina dan membugar," katanya.

    Dalam masa sama, kata Najib, kerajaan tetap komited dengan program islah dan pembaharuan dalam semua bidang dan aspek kehidupan bernegara kerana ia merupakan kehendak dan aspirasi rakyat yang mahukan kehidupan yang lebih baik untuk mereka dan anak-anak mereka.

    Kata beliau, ia juga merupakan usaha kerajaan demi generasi masa depan Malaysia yang berhak membesar dalam suasana harapan dan bukannya kemuraman.

    ''Kita tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak yang mahu menggagalkan matlamat mulia ini," katanya.

    Begitu pun tambah Najib, kerajaan percaya untuk membina sebuah Malaysia yang baharu, negara tidak boleh terus terperangkap dengan bebanan sejarah lampau.

    Kerana itu kata beliau, di bawah PTP bagi mengimbangkan Keselamatan Kebangsaan dan Kebebasan Individu seperti yang terjamin dalam Perlembagaan Negara misalnya, kerajaan telah mengambil inisiatif untuk memansuhkan tiga proklamasi darurat yang berkuatkuasa semenjak lebih empat dekad yang lalu.

    Dengan semangat yang sama katanya, kerajaan juga telah mengumumkan pemansuhan beberapa Akta yang berkaitan Keselamatan dan Ketenteraman Awam seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Kediaman Terhad, Akta Buang Negeri dan Seksyen 27 Akta Polis yang telah digantikan dengan Akta Perhimpunan Aman 2011.

    Katanya, langkah itu bagi menjamin kebebasan individu untuk berhimpun secara aman seperti yang diperuntukkan undang-undang tertinggi negara, Perlembagaan Persekutuan.

    "Usaha ini akan diteruskan dalam sesi Parlimen tahun depan bagi memansuhkan ISA dan membentang rang undang-undang baru yang akan menggantikannya serta meminda AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti) serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan," katanya.

    Full content generated by Get Full RSS.

    Kekalkan perpaduan - TPM

    Posted:

    Kekalkan perpaduan - TPM

    Kekalkan perpaduan - TPM

    KUALA LUMPUR 31 Dis. - Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengajak seluruh mengajak rakyat Malaysia untuk terus mengamalkan perpaduan, sikap hormat menghormati antara kaum dan mengukuhkan kerjasama bersesuaian dengan semangat 1Malaysia.

    Kata Timbalan Perdana Menteri, rakyat Malaysia juga seharusnya berbangga kerana keistimewaan negara yang berupaya mengekalkan serta mengukuhkan kemerdekaan dan keharmonian di kalangan penduduk pelbagai agama, bangsa dan budaya.

    Justeru kata beliau, perpaduan yang dikecapi itu tidak boleh dipandang mudah kerana tanpa usaha dan persefahaman antara rakyat berbilang kaum dan agama, ia tidak mungkin akan tercapai.

    ''Marilah kita bersama-sama mengukuhkan yang sedia utuh, merapatkan yang renggang dan meningkatkan persefahaman antara satu sama lain.

    ''Sesungguhnya perpaduan dan keamanan yang dibina di atas semangat persefahaman dan penerimaan antara kaum adalah pra syarat utama untuk negara kita terus berkembang maju," katanya dalam perutusan sempena sambutan tahun baru 2012 di sini, hari ini.

    Full content generated by Get Full RSS.

    Utusan Online - Timur

    Utusan Online - Timur


    Warga emas dapat lesen motosikal

    Posted:

    Warga emas dapat lesen motosikal

    Warga emas dapat lesen motosikal

    Oleh SAMSUL BAHARI MOHAMEDpengarang@utusan.com.my


    Sebahagian warga emas menunjukkan tanda bagus apabila berjaya memiliki lesen motosikal pada Program Satu Komuniti Satu JPJ di Jeli, Kelmarin.


    JELI 31 Dis. - Seramai lebih 150 warga emas di Kampung Ayer Lanas di sini gembira apabila berjaya memiliki lesen motosikal selepas lulus ujian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di kampung itu melalui program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ).

    Bagi Jusuh Awang, 62, ia menjadi hari yang amat bermakna dalam hidupnya apabila menerima lesen tersebut daripada pegawai JPJ memandangkan selama ini dia tidak pernah terfikir untuk memilikinya.

    "Saya orang kampung, duit tidak cukup, jadi bila boleh dapat lesen lebih murah melalui program seperti ini amat bermakna kepada saya dan rakan-rakan yang turut menerimanya.

    "Selama berpuluh tahun saya menunggang motosikal tetapi tidak pernah memiliki lesen. Jadi, bermula hari ini saya membawa lesen motosikal ke mana sahaja," katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia pada Majlis Penutupan Program SKSJ di Sekolah Kebangsaan Ayer Lanas di sini, semalam.

    Program tersebut dirasmikan Setiausaha Politik Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Azmi Setapa.

    Hadir sama, Pengarah Korporat dan Penyelidikan JPJ, Zamri Ali dan Pengarah JPJ Kelantan, Ab. Ghani Che Kassim.

    Seorang lagi penerima, Mohamed Noor Daud, 65, berkata, ujian mendapatkan lesen motosikal yang dilakukan pada SKSJ lebih mudah berbanding ujian di sekolah memandu biasa.

    "Semua ciri keselamatan itu memang ada dan perlu dilakukan, cuma saya rasa ujiannya tidak seperti di sekolah memandu kerana banyak prosedur perlu diselesaikan terlebih dahulu.

    Full content generated by Get Full RSS.

    Terima kunci rumah sebagai rezeki tahun baru

    Posted:

    Terima kunci rumah sebagai rezeki tahun baru

    Terima kunci rumah sebagai rezeki tahun baru


    Mohd. Nasir Ibrahim Fikri (kanan) bersama sebahagian penerima kunci rumah Projek Awam Kos Rendah Banggol Peradong di Kuala Terengganu, kelmarin.


    KUALA TERENGGANU 31 Dis. - Impian 10 penduduk sekitar kawasan Parlimen Kuala Nerus untuk memiliki kediaman sendiri akhirnya tercapai apabila menerima kunci rumah masing-masing semalam.

    Lebih manis, kunci itu diserahkan dua hari sebelum bermulanya tahun baru oleh Ahli Parlimen kawasan berkenaan, Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri.

    Menurut Mohd. Nasir, kesemua 10 penduduk itu merupakan penerima terakhir bagi Projek Awam Kos Rendah (PAKR) Banggol Peradong di sini yang siap sejak 2006 lalu.

    Katanya, penyerahan kunci untuk penduduk di kawasan itu dilakukan secara berperingkat-peringkat sejak Mei tahun sama dan sepanjang tempoh itu, seramai 260 penerima ditawarkan untuk menduduki rumah tersebut.

    "Bagaimanapun, tidak semua penerima itu bersetuju untuk menduduki rumah berkenaan atas pelbagai alasan termasuk tidak mampu kerana ia dijalankan mengikut kaedah perjanjian sewa-beli untuk tempoh tiga tahun pertama sebelum boleh dimiliki sepenuhnya," katanya pada majlis penyerahan kunci rumah PAKR Banggol Peradong di pejabatnya di sini, semalam.

    Sebanyak 238 unit rumah dibina di kawasan itu dan setiap satunya dianggarkan bernilai RM30,000.

    Dalam pada itu, beberapa penerima yang ditemui nyata gembira dan menyifatkan penyerahan kunci tersebut sebagai rezeki tahun baru.

    Menurut penyelia tapak pembinaan, Mohd. Nasri Mohd. Napis, 33, dia bersyukur kerana berpeluang memiliki rumah sendiri setelah hampir dua tahun menunggu untuk berbuat demikian.

    "Sebelum ini saya hanya menumpang di rumah keluarga mertua dan adik-beradik lain," katanya.

    Full content generated by Get Full RSS.

    Kad OKU baru lebih selamat

    Posted:

    Kad OKU baru lebih selamat

    Kad OKU baru lebih selamat

    KUALA TERENGGANU 31 Dis. - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri akan memperkenalkan kad keahlian orang kurang upaya (OKU) baharu bercirikan keselamatan dan lebih tahan lama untuk kegunaan kira-kira 10,000 ahlinya yang berdaftar tahun ini.

    Pengarahnya, Zuhaimi Omar berkata, kad keahlian OKU baharu yang bersaiz dan bercirikan seperti kad pengenalan diri itu mula diperkenalkan Ogos lalu bagi menggantikan kad berbentuk plastik.

    Katanya, kini, lebih 1,000 ahli menukar kad keahlian tersebut dan yang lain dijangka selesai menukarnya menjelang Julai tahun depan.

    Menurutnya, OKU boleh mengunjungi semua pejabat Kebajikan Masyarakat negeri dan daerah serta di 40 Pusat Khidmat Komuniti di seluruh daerah bagi memudahkan penukaran kad keahlian OKU yang baharu.

    "Saya harap semua OKU dapat menukar segera kad keahlian OKU lama kepada baharu yang diberikan secara percuma," katanya di sini, kelmarin.

    Pada masa sama, Zuhaimi juga mahu OKU yang belum mendapat keahlian dengan JKM boleh berbuat demikian kerana banyak manfaat apabila mendaftar sebagai ahli.

    Ini kerana, katanya, banyak kemudahan yang disediakan kerajaan kepada golongan tersebut dan kini lebih 30 kemudahan yang boleh dimanfaat ahli antaranya tambang pengangkutan.

    Katanya, masih ramai OKU tidak mendaftar dengan JKM walaupun pelbagai usaha termasuk turun padang dan hebahan untuk daftarkan mereka.

    Full content generated by Get Full RSS.

    Harian Metro: BeritaUtama

    Harian Metro: BeritaUtama


    Sedia tiga pusat urut

    Posted: 31 Dec 2011 07:00 AM PST

    KLANG: Jaraknya tidak sampai 500 meter dari balai Islam dan balai polis, namun sebuah rumah pelacuran dikesan beroperasi secara bebas dan menjadi 'port' rahsia untuk lelaki hidung belang dari tanah besar memuaskan nafsu bersama 'adik' daripada pelbagai negara.

    Golongan itu biasanya memberikan pelbagai alasan kepada keluarga, terutama isteri, seperti kononnya untuk memancing ke pulau berkenaan bagi mengaburi aktiviti gelap mereka.
    Difahamkan, rumah pelacuran itu mengenakan caj antara RM100 hingga RM180 bergantung kepada rupa paras dan fizikal gadis berkenaan.

    Lebih mengejutkan, lelaki berkenaan bukan saja membabitkan eksekutif muda, malah warga emas dan pesara yang masih tidak insaf serta gemar mencari keseronokan dunia dengan dibelai gadis muda, terutama dari Thailand, China dan Indonesia.
    Selain itu, ada lelaki membawa kekasih gelap ke pulau berkenaan untuk memadu kasih kerana percaya lokasi itu selamat berikutan didiami sebahagian besar penduduk bukan Islam.
    Bagi lelaki gatal yang mahukan khidmat urut batin atau lebih dikenali sebagai 'ping-pong', tiga pusat urut dikesan kira-kira dua kilometer dari pusat pelacuran yang beroperasi di kawasan rumah kedai.

    Sebagai pelengkap pakej pulau maksiat, sekurang-kurangnya dua pusat perjudiannya menggunakan mesin slot, manakala kedai menjual nombor ekor haram serta judi mahjong yang dimain secara terbuka turut beroperasi di situ.
    Perkembangan itu tidak menggembirakan penduduk tempatan, khususnya yang beragama Islam, kerana ia menjejaskan nama baik dan kredibiliti pulau itu di kalangan pelancong dalam dan luar negeri.

    Abdul Hisham Hamzah, 55, berkata, walaupun penduduk bukan beragama Islam tidak ambil kisah perkembangan itu, namun bagi individu sepertinya, situasi itu sesuatu yang kurang enak kerana ia menjejaskan imej masyarakat Melayu di mata penduduk tempatan.
    "Sebagai seorang Muslim, saya terpanggil untuk bersuara tetapi tiada kuasa untuk mencegah sekalipun melihat pasangan Melayu berkelakuan mencurigakan dan bermalam di sini," katanya kepada Metro Ahad.
    Abdul Hisham orang pertama memperdengarkan azan dari Balai Islam Pulau Ketam yang diasaskannya pada 1990, namun selepas 2007 tiada lagi suara azan berkumandang hingga kini, malah aktiviti agama juga kian terhad.
    Menurutnya, pulau berkenaan bakal muncul sebagai pulau pelancongan dan jika kegiatan maksiat tidak dikawal, ia pasti sukar dibanteras selepas pulau itu dibangunkan sepenuhnya.
    "Memang penguatkuasaan sukar dilakukan di sini tetapi jika aktiviti agama rancak dijalankan, saya yakin pelancong yang datang ke sini pasti segan-silu untuk melakukan maksiat kerana mereka pasti berfikir dua kali untuk berbuat demikian," katanya.
    Sementara itu, tinjauan Metro Ahad sekitar pulau berkenaan mendapati pusat pelacuran itu beroperasi di tingkat bawah bangunan rumah kedai tiga tingkat.
    Pelanggan didapati masuk menerusi pintu depan premis itu yang ditutup separuh bagi mengaburi pihak berkuasa, terutama polis dan imigresen, sebelum memadu kasih kira-kira sejam.
    Tinjauan turut mendapati sekurang-kurangnya tiga pusat urut menggunakan pekerja dari China dan Thailand, namun pekerja yang menawarkan perkhidmatan mengurut pada harga antara RM40 hingga RM50 itu tidak menawarkan perkhidmatan seks kecuali khidmat 'ping-pong' atau urut batin.
    Bagaimanapun, jika ada individu berminat, mereka boleh menawarkan khidmat itu dengan bayaran antara RM100 hingga RM150, asalkan tembelang mereka tidak pecah kerana kebanyakan pelanggan adalah penduduk tempatan yang kehadiran mereka ke rumah urut mudah dikesan isteri masing-masing.
    Seorang tukang urut hanya mahu dikenali sebagai Non, 28, berkata dia bekerja di pusat urut berkenaan hanya untuk menyara diri dan dua anaknya di Thailand dan tidak berhasrat melakukan maksiat atau mengganggu rumah tangga orang lain.
    "Kebanyakan pelanggan adalah penduduk tempatan dan pulau ini kecil saja. Jika kami melakukan sesuatu pasti padah menimpa, maklumlah anak dan isteri mereka boleh mencari kami bila-bila masa," katanya.
    Ditanya sama ada beliau menawarkan perkhidmatan seks, Non berkata, ada kalanya dia dan rakan lain hanya menyediakan perkhidmatan 'ping-pong' untuk memuaskan nafsu lelaki kerana tidak mahu menghampakan mereka, manakala jika pengunjung luar ia bergantung pada tawaran.
    "Kami hanya mencari makan mengikut cara kami dan tauke hanya ambil RM10 bagi setiap pelanggan yang menggunakan khidmat tukang urut di sini, malah penginapan juga disediakan," katanya.
    Non berkata, kebanyakan tukang urut di situ tidak suka suasana kerja di tanah besar kerana sering dipaksa dan dipermainkan sindiket, selain mengelak dicekup pihak berkuasa yang kerap melakukan operasi penguatkuasaan.



    Full content generated by Get Full RSS.

    Tak terjejas dek fitnah

    Posted: 31 Dec 2011 07:00 AM PST

    "PEREMPUAN itu buat cerita saja. Bila minta bukti tak tunjuk, malah bila ditanya keluarga Riza, mereka tidak pernah menghantar rombongan meminang kepada sesiapa pun," jelas pelakon yang mula dikenali melalui drama bersiri Juvana, Izreen Azminda mengenai gosip mengatakan pelakon itu merampas tunangan orang.

    Malah, bakal tunang Izreen juga dikatakan lelaki bermasalah dan mempunyai anak luar nikah. Pelbagai tuduhan dan tohmahan melanda pasangan itu selepas Izreen mengumumkan dia akan bertunang dengan Mohammad Riza Baharuddin (Riza) yang juga orang produksi.


    Dalam dakwaan itu, Riza dikaitkan masih menjadi tunangan Rafeda yang juga pengurus produksi. Malah, Riza dikatakan pernah berkahwin dengan Julia Daud yang juga bekas isteri pelakon Badrul Muhayat tetapi wanita itu ditinggalkan ketika sarat mengandung anak pertama.

    Malah, Rafeda juga didakwa pernah bercuti ke luar negara bersama Riza serta masih menyimpan foto dan video sebagai bukti. Selain itu, mereka dikatakan hampir mempunyai anak luar nikah namun mengambil keputusan menggugurkannya kerana Riza masih bergelar suami Julia.


    Izreen yang bakal bergelar tunangan Riza pada hari ini menyifatkan dakwaan itu usaha menjatuhkan Riza dan dirinya. Pun begitu, sebagai pelakon yang baru meningkat naik, Izreen akui tertekan tapi menganggap ia isu negatif yang perlu diletak ke tepi.


    Dia turut dilontar soalan tidakkah terdetik di hati perasaan marah atau cuba menyelidik dengan lebih mendalam latar belakang bakal tunangnya? Apatah lagi kisah panas kedua pasangan berkenaan terus dicanang dalam laman sesawang sehingga setiap inci kisah silam Riza dibongkar.

    "Saya sebenarnya dapat tahu pasal hal ini kelmarin (Khamis). Bila diberitahu teman rapat mengenainya dan membaca tuduhan itu, perkara pertama terlintas ialah, kenapa ini boleh berlaku dan apa tujuannya? "Namun bila difikirkan semula, mungkin ada yang tidak puas hati dengan kami. Riza mungkin ada sejarah silam tapi sebagai manusia biasa, dia patut diberi peluang kedua.


    "Pun begitu, saya tidak mahu mengiyakan atau menidakkan mengenai masa silamnya. Yang penting, saya percayakan tunang saya. Saya ada bercakap dengannya pasal isu ini dan meminta dia berterus terang jika ada perkara yang cuba disembunyikan daripada saya.

    "Secara jujur, keluarga saya belum tahu mengenai isu ini tapi sebaik saja mereka tahu, mungkin selepas membaca artikel ini, saya akan berdepan dan menjelaskan perkara sebenar.


    "Saya harap sangat satu hari nanti Tuhan akan tunjukkan kebenaran, siapa benar dan siapa salah," katanya tenang.


    Ketika dihubungi SELEBRITI kelmarin, pelakon yang turut membintangi drama Tentang Dhia ini menyifatkan dalam hubungan perlu ada kepercayaan. Walaupun pasangan pernah mempunyai sejarah hitam, ia tidak bermakna pasangan itu akan mengulanginya.


    "Harapan saya biar pertunangan ini yang pertama dan terakhir buat saya. Jika berjalan lancar, saya harap peminat doakan yang terbaik untuk kami.


    "Saya tidak mahu lagi cerita kontroversi dipaparkan di media dan jika ada masalah, biar diselesaikan antara kami saja.


    "Lakonan cinta pertama saya dan Riza pun tidak menghalang jika saya terus bergiat dalam bidang ini. Tambahan pula dia juga orang dalam industri ini dan tahu selok-belok bidang ini.


    "Kalau boleh, saya mahu fokus dengan karier dan tidak mahu lagi dikaitkan dengan kontroversi. Saya tidak nafikan kadangkala kontroversi boleh membantu menaikkan nama artis, tapi pada masa sama ia boleh buat saya 'down' dan memberi kesan kepada kerjaya saya.


    "Apapun, saya anggap semua itu perkara biasa yang harus ditempuh," katanya yang berharap dapat mendirikan rumah tangga sebelum sambutan Aidilfitri depan.


    Majlis pertunangan yang diadakan di rumah keluarga Izreen di Alor Setar hari ini hanya dihadiri beberapa teman rapat dan keluarga terdekat serta berlangsung secara sederhana.



    Full content generated by Get Full RSS.