Rabu, 3 Julai 2013

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Henti tabiat perbodohkan rakyat

Posted: 02 Jul 2013 11:13 AM PDT

Oleh Ainol Amriz Ismail
utusanN9@utusan.com.my

SEREMBAN 2 Julai - Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan mahu tabiat memperbodohkan serta memperdaya rakyat untuk membenci kerajaan dihentikan, sebaliknya mengingatkan pembangkang supaya menerima hakikat tewas pada pilihan raya umum lalu.

Kata beliau, amat menyedihkan apabila rakyat dirosakkan pemikiran dengan pelbagai helah dan tohmahan yang dibuat golongan berkepentingan, sedangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa melakukan transformasi untuk mensejahterakan serta menyatupadukan rakyat bagi berhadapan cabaran luar yang lebih besar.

''Cukuplah gerakan pembangkang untuk memecah belahkan rakyat. Pembangkang ada agenda tersirat dan muslihat. Sudah kalah dalam pilihan raya umum maka terimalah hakikat, jangan pula tidak mengakuinya," tegasnya dalamprogram bersama rakyat di Taman Satria, Senawang dekat sini malam tadi.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Rembau yang juga Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Mohd. Ghazali Abd. Wahid.

Kata Mohamad, rakyat sepatutnya tidak dipesongkan pemikirannya kerana keadaan itu akan hanya membawa kepada kehancuran dalam sebuah negara yang harmoni dan membangun.

''Rahsia kemenangan BN pada pilihan raya umum lalu disebabkan elemen dalam memperkukuhkan asas perpaduan selain kesungguhan bekerja serta memperlihatkan pembangunan insan secara jelas.

''Maka teras perpaduan yang sudah wujud itu haruslah terus disepakati dan bukan dihancurkan dengan tohmahan dan fitnah. Kita harus hidup dalam sebuah pasukan yang membina negara maju," ujar beliau.

Sehubungan itu katanya, agenda membangunkan negeri, ekonomi, modal insan, pendidikan, kemakmuran dan sebagainya yang terdapat dalam Aku Janji BN Negeri Sembilan lalu akan dilaksanakan tanpa ada keciciran demi mensejahterakan rakyat.

''Ingatlah apabila musnahnya perpaduan, maka ekonomi akan menguncup kerana waktu itu rakyat sibuk bersengketa sesama sendiri. Jika ini berlaku, ramailah nanti akan menganggur, dibuang kerja dan mendapat kehidupan yang susah.

''Akhirnya kelak, nikmat kesejahteraan yang telah dan sedang dikecapi akan berkecai dan amat susah apabila kita telah mempunyai negara yang ekonominya meleset untuk dibangunkan semula," ujarnya.

Pelantikan Penghulu Luak Gunung Pasir disempurnakan

Posted: 02 Jul 2013 11:13 AM PDT

Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menerima sembah pelantikan kepada Hanizam Harun yang membawa gelaran Dato' Orang Kaya Mempasir Setiawan pada Majlis Istiadat Kejadian Penghulu Luak Gunung Pasir ke-18 di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah Negeri Sembilan semalam. Turut berangkat sama, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud diiringi Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz (kiri). - UTUSAN/Abd. Razak Aid

KUALA PILAH 2 Julai - Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini berkenan menerima menghadap Penghulu Luak Gunung Pasir ke-18, Hanizam Harun, 50, bagi menyempurnakan pelantikan beliau menyandang jawatan berkenaan.

Majlis penuh istiadat itu berlangsung di Istana Besar Seri Menanti dekat sini selepas Hanizam yang merupakan Penolong Pengarah (Siasatan) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) negeri menyandang jawatan berkenaan pada 25 Jun 2011 bagi menggantikan penyandang terdahulu, Allahyarham Harun Bidin yang meninggal dunia pada 29 Januari 2011.

Hanizam yang memegang gelaran Dato' Orang Kaya Mempasir Setiawan melalui jawatan berkenaan sebelum ini telah melalui istiadat kerjan yang disempurnakan pada 26 Februari tahun lalu.

Pada 14 Jun lalu, satu istiadat menyembah maklum pelantikan Hanizam kepada Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz telah dilakukan, sekali gus menetapkan tarikh untuk menghadap Tuanku Muhriz, seperti mana majlis menghadap itu disempurnakan hari ini.

Hanizam dilahirkan pada 30 Ogos 1963 di Kluang, Johor merupakan anak keempat daripada sembilan beradik dan ayahnya, Allahyarham Harun Maarof datang dari suku Seri Lemak Minangkabau manakala ibunya, Mahya Peral dari suku Tanah Datar.

Beliau mendapat pendidikan darjah enam di Sekolah Kebangsaan Gunung Pasir, Seri Menanti di sini sebelum ke peringkat menengah di Sekolah Menengah Tunku Besar Burhanuddin, Seri Menanti dan Sekolah Menengah Za'ba di sini serta berkelulusan ijazah Sarjana Muda (Perakaunan) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Yang turut berangkat pada Majlis Menyempurnakan Kejadian Penghulu Luak Gunung Pasir ke-18 itu, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud serta dua anakanda, Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al-'Abidin Tuanku Muhriz.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin; Anak Raja Bergelar; pembesar Istana serta ahli rombongan Luak Gunung Pasir.

Dalam titah Tuanku Muhriz, baginda menyeru Hanizam menjaga keharmonian dan kesejahteraan rakyat baginda di Gunung Pasir serta menjalinkan hubungan baik antara sesama luak.

''Hendaklah kamu menjalankan peraturan adat yang dipakai dengan adil, bijaksana serta bertanggungjawab.

''Bermuafakatlah dalam menyelesaikan apa juga permasalahan agar adat yang disanjung ini sentiasa terpelihara, bak kata adat 'duduk sorang bersempit-sempitan, duduk ramai berlapang-lapangan," titah baginda.

Pada masa yang sama juga, baginda menasihatkan semua pihak supaya mendapat rujukan tepat berhubung pemakaian gelaran Dato'-Dato' Penyandang Adat.

''Pemakaiannya seharusnya berbeza penggunaan serta pemakaian gelaran Dato'-Dato' Kurnia yang beta kurniakan saban kali sambutan Hari Keputeraan beta. Beta juga berasa mashgul tentang penggunaan gelaran Cik Puan oleh isteri-isteri Dato' Penyandang Pusaka Adat yang tidak sepatutnya berlaku kerana ia dikhususkan untuk isteri-isteri Penghulu Luak," titah Tuanku Muhriz.

Melaka sasar pelaburan asing meningkat RM5 bilion

Posted: 02 Jul 2013 11:13 AM PDT

MELAKA 2 Julai - Kerajaan negeri sedang berusaha untuk meningkatkan nilai pelaburan asing yang menanam modal di negeri ini daripada nilai RM2.5 bilion kepada RM5 bilion dalam tempoh dua tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, usaha tersebut perlu dilaksanakan berikutan kedudukan

Melaka berada di tangga kelapan daripada jumlah nilai pelaburan asing.

Menurutnya, beliau melihat minat pelabur asing melabur di negeri ini amat kurang walaupun kerajaan negeri menyediakan pelbagai kemudahan untuk mereka menanam modal.

''Kalau hendak dibandingkan dengan beberapa negeri lain, saya lihat Melaka dapat menyediakan banyak kemudahan dari segi logistik, geografi, infrastruktur serta beberapa kemudahan lain kepada syarikat yang melabur di negeri ini.

''Saya akan melihat dari pelbagai aspek mungkin dari segi birokrasi serta aspek perundangan yang mungkin menjadi halangan kepada pelabur datang ke Melaka," katanya di sini semalam.

Justeru kata Idris, beliau akan berbincang untuk menyelesaikan sebarang masalah yang timbul kerana jika ada halangan kepada pelabur untuk melabur di negeri ini, tindakan itu akan merugikan semua pihak.

Sehubungan itu katanya, lawatannya ke Jepun menyertai misi perdagangan diketuai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed bermula hari ini akan digunakan untuk melihat peluang kerajaan negeri mempelawa pelabur dari negara matahari terbit itu melabur di Melaka.

''Ini adalah pengalaman pertama saya sejak menjadi Ketua Menteri pada 7 Mei lalu apabila diberi peluang menyertai misi perdagangan di Jepun," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan