Jumaat, 5 Julai 2013

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Harga getah semakin tidak menentu

Posted: 04 Jul 2013 11:22 AM PDT

Oleh amran mulup
utusanmelaka@utusan.com.my

HASAN Rahman (dua dari kanan) menyapu bahan rangsangan lateks pada pokok getah sebagai perasmian kempen penggunaan bahan rangsangan lateks peringkat negeri di Kampung Pondok Kempas, Selandar, Jasin, semalam.

JASIN 4 Julai - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil dan Perusahaan Getah (RISDA) akan merangka beberapa langkah untuk membantu pekebun kecil seluruh negara mulai tahun hadapan jika harga komoditi getah di pasaran terus jatuh sehingga 31 Disember ini.

Pengarah RISDA Melaka, Awiskarni Zukarnaini berkata, harga komoditi itu semakin tidak menentu sejak awal tahun ini dan pada 1 Julai lalu jatuh pada harga RM6.92 sekilogram.

Menurutnya, RISDA tidak dapat meramalkan sejauh mana harga komoditi boleh bertahan dan mampu melonjak pada harga RM19 sekilogram yang disifatkan sebagai harga yang cukup melegakan kepada seluruh pekebun kecil di seluruh negara.

Sehubungan itu, katanya, RISDA akan terus menyalurkan skim Bantuan Khas Akibat Kejatuhan Harga Getah (BKKH) sebanyak RM160 juta untuk diagih-agihkan kepada 320,000 pekebun kecil seluruh negara sehingga hujung tahun ini.

"Kerajaan akan menentukan langkah yang bakal dilaksanakan untuk membantu pekebun kecil meningkatkan pendapatan jika harga komoditi di pasaran terus jatuh.

"Antara langkah yang akan diambil seperti meningkatkan produktiviti hasil getah, melatih anak pekebun kecil menjadi usahawan dan menggalakkan pekebun kecil menanam tanaman kontan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam majlis pelancaran kempen penggunaan bahan rangsangan lateks peringkat negeri di Kampung Pondok Kempas, Selandar di sini hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman dan turut dihadiri Pengarah Bahagian Pengembangan dan Pemindahan Teknologi RISDA, Zahari Mat Amin.

Mengulas lanjut, Awiskarni berkata, kerajaan melalui RISDA akan melakukan sesuatu untuk membantu penoreh mengelak daripada pendapatan mereka di berada di bawah paras kemiskinan.

Beliau menambah, keadaan harga komoditi itu yang tidak menentu di pasaran dipengaruhi oleh kemelesetan ekonomi di Eropah yang menyebabkan permintaan semakin berkurangan.

"RISDA mengharapkan keadaan harga yang tidak menentu ini bersifat sementara dan tidak akan mencecah sehingga paras merugikan pengeluaran malah harganya mampu melonjak kembali," ujarnya.

Melaka wujud perbadanan tumpu pelaksanaan teknologi hijau

Posted: 04 Jul 2013 11:22 AM PDT

MELAKA 4 Julai - Kerajaan negeri meluluskan cadangan mewujudkan Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) yang akan bertindak sebagai agensi peneraju utama bidang berkenaan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Md. Yunos Husin berkata, penubuhan itu merupakan inisiatif yang akan memberi penumpuan secara menyeluruh tentang teknologi hijau dengan mentransformasikan Perbadanan Hang Tuah Jaya (PHTJ) kepada PHTM.

Menurutnya, cadangan itu mendapat kelulusan dalam mesyuarat Exco yang lalu dan kajian sedang dilakukan dari segi enakmen seterusnya dibawa dalam mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

"Kewujudan PTHM ini juga menjadikan Melaka, negeri pertama di Malaysia selepas di peringkat kementerian iaitu Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia).

"Perbadanan ini lebih berfokus mengenai pelaksanaan teknologi hijau yang mana PHTM sebagai urus setia atau pihak yang menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diputuskan kerajaan negeri dalam hal-hal berkaitan bidang itu.

"Majlis Teknologi Hijau (MTH) iaitu badan tertinggi yang diwujudkan sebelum ini pula akan merangka dan menasihat tentang teknologi hijau ini sekali gus mempercepat prosesnya di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Hijau Perlaksanaan Projek Penjimatan Kos, Pengurusan Bangunan Dengan Kontrak Prestasi Tenaga (EPC) negeri 2013, di Ayer Keroh, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PHTJ, Kamarudin Md. Shah dan Presiden Pertubuhan Syarikat-syarikat Perkhidmatan Tenaga Malaysia (MAESCO), Ar. Zulkefli Umar.

Md. Yunos berkata, seminar itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan pendidikan mengenai teknologi hijau melibatkan beberapa aspek seperti kecekapan tenaga dan pengurusan bangunan supaya dapat meminimumkan impak negatif kepada persekitaran dan memulihara alam sekitar untuk jangka panjang.

Menurutnya, dalam blueprint Melaka Maju Negeriku Sayang Negeri Bandar Teknologi Hijau sejumlah 185 indikator yang saling menyokong telah dipilih bagi memenuhi misi negeri ini.

"Kita menyasarkan supaya negeri ini menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 dan ini akan memberi tekanan kepada sumber alam semula jadi dan impak kepada perubahan iklim.

"Oleh itu, bagi meminimumkan kesan tersebut, inisiatif perlu dilakukan menerusi penggunaan teknologi hijau," katanya.

Tambahnya, dalam sektor tenaga, kerajaan negeri juga menyasarkan pelan tindakan kecekapan tenaga dengan mengurangkan pengunaan tenaga elektrik sebanyak 10 peratus berbanding 2005 menjelang 2020.

Tapak warisan semakin pupus

Posted: 04 Jul 2013 11:22 AM PDT

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 4 Julai - Warisan kebangsaan dilihat berdepan dengan ancaman kepupusan disebabkan oleh pembangunan yang semakin pesat dan rakus.

Datuk Bandar Melaka Bandaraya Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Abu (gambar) berkata, pembangunan yang tidak mengambil kira kewujudan tapak-tapak warisan di negara ini mampu mempercepatkan lagi kepupusan warisan kebangsaan.

"Oleh yang demikian, kerajaan negeri melalui Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) telah mengambil langkah mewartakan beberapa kawasan di negeri ini.

"Ini termasuklah Sungai Melaka, masjid-masjid, kampung warisan, hutan dan monumen agar kekal untuk tatapan generasi akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dan merasmikan penutupan Seminar Warisan Kebangsaan 2013 di Hotel Ramada di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Perzim, Datuk Khamis Abas.

Dalam seminar yang berlangsung selama dua hari itu sebanyak 12 kertas kerja telah dibentangkan oleh ahli-ahli akademik dari dalam dan luar negara termasuk Singapura, Nepal dan Vietnam.

Menurut Zainal, seminar anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Perzim itu dilihat sebagai platform terbaik bagi mendapatkan input penting yang boleh digunakan sebagai usaha memulihara warisan kebangsaan di negeri ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan