Khamis, 25 Julai 2013

Utusan Online - Politik

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Politik


Bukti rakyat yakin pemimpin BN

Posted: 25 Jul 2013 12:06 PM PDT

Oleh HISYAMUDDIN AYUB
utusansabah@utusan.com.my

KOTA KINABALU 25 Julai - Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut membuktikan keyakinan rakyat kepada barisan kepemimpinan parti itu.

Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Sapawi Ahmad berkata, BN bukan sahaja dapat menambah majoriti dalam PRK tersebut, malah membuktikan barisan kepemimpinan muda parti itu diterima baik oleh masyarakat.

Katanya, kemenangan itu juga memperlihatkan sokongan padu rakyat terhadap barisan kepemimpinan BN yang mampu meneruskan agenda pembangunan berterusan, selain mempertahankan kesejahteraan, keharmonian dan kemakmuran negara.

"Ketika pasukan UMNO Sabah turun membantu jentera parti di Kuala Besut, kita sudah melihat petanda positif masyarakat terhadap sokongan tidak berbelah-bahagi kepada parti ini dan perkara itu telah dibuktikan semalam menerusi kemenangan kepada calon BN," katanya di sini hari ini.

Mengulas tentang sumbangan UMNO negeri dalam PRK tersebut, Sapawi berkata, UMNO Sabah turut menghantar rombongan bagi membantu calon BN di pusat daerah mengundi (PDM) Seberang Barat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sipitang berkata, pendekatan yang dilaksanakan oleh UMNO Sabah ternyata membantu calon BN untuk mencatatkan kemenangan di PDM tersebut dengan majoriti 353 undi.

Jelasnya, calon BN memperoleh 805 undi bagi kawasan PDM tersebut manakala Pas 452 undi.

"Ini merupakan satu keputusan yang membanggakan kepada jentera UMNO Sabah yang turut sama turun padang. Kami berpuas hati dengan keputusan yang dicapai di kawasan yang dibantu oleh jentera UMNO negeri," katanya yang merupakan Pengarah Kempen UMNO Sabah ke Kuala Besut.

Tambahnya, apa yang lebih menarik apabila Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Musa Aman turut turun padang dan membantu kempen calon BN di PDM tersebut.

"Pendekatan yang kita lakukan ialah terus mendampingi rakyat dan menerangkan segala usaha yang dilakukan oleh BN dalam membela nasib orang ramai, agama, bangsa dan negara," katanya.

CEC DAP: David Dass desak Weng Keong jawab tujuh soalan

Posted: 25 Jul 2013 12:06 PM PDT

SEREMBAN 25 Julai - Naib Pengerusi DAP Cawangan Ladang Paroi, David Dass mendesak agar Pengarah Pilihan Raya DAP, Pooi Weng Keong tampil mendedahkan butiran terperinci tentang pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP hujung tahun lalu.

Berikutan itu, David turut mengajukan tujuh soalan kepada Weng Keong untuk dijawab secara jujur ketika dia memegang kuasa menyelia pemilihan berkenaan.

Soalan itu ialah:

1) Dari mana datangnya 574 perwakilan yang diarah mengundi khusus untuk enam pemimpin DAP?

2) Adakah benar undian 574 perwakilan itu dimasukkan ke dalam kotak khas?

3) Adakah benar 574 perwakilan itu duduk di tempat khas ketika pemilihan itu dijalankan?

4) Mengapakah jumlah keseluruhan undian tidak selaras antara rekod undian keseluruhan dengan jumlah rekod perwakilan?

5) Mengapa jumlah undian yang diperoleh calon tidak dipapar di papan elektronik?

6) Mengapa jumlah undi rosak tidak didedahkan?

7) Mengapa begitu sukar untuk memberikan nama penuh wakil yang mengundi?

Menurut David, parti DAP yang membawa prinsip cekap, bertanggungjawab dan telus sepatutnya mampu menjawab semua soalan berkenaan.

"Saya sudah penat bertanyakan soalan ini kepada Lim Kit Siang (Penasihat DAP), Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP), malah Karpal Singh (Pengerusi DAP) yang langsung tidak mahu dan ambil peduli untuk menjawabnya.

"Tetapi ingat ini adalah soalan sah dan sebagai ahli, saya mempunyai hak untuk bertanya kerana ini merupakan parti yang telus melainkan pemimpin ada sesuatu yang mahu disorokkan," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau turut mendakwa bahawa 574 perwakilan itu diarahkan untuk mengundi enam pemimpin berkenaan.

"Saya mengesyaki kesemua 574 perwakilan itu datang dari Pulau Pinang dan dibawa khas untuk memastikan enam pemimpin terbabit kekal berkuasa," jelasnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya berhubung status keahliannya, David memberitahu, dia masih menganggap dirinya sebagai ahli seumur hidup parti itu sungguhpun Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Tan Kok Wai telah memberitahu tentang pemecatan keahliannya.

"Saya telah memberikan notis tujuh hari kepada mereka, setakat ini DAP tidak memberikan sebarang notis tentang pemecatan saya, maka saya anggap kenyataan Kok Wai tidak sah dan masih ahli seumur hidup DAP dan memegang jawatan sedia ada," tegasnya yang turut akan memfailkan kes terhadap Kok Wai berhubung kenyataan untuk memecatnya.

0 ulasan:

Catat Ulasan