Khamis, 25 Julai 2013

Utusan Online - Utara

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Seludup mercun cari duit raya

Posted: 24 Jul 2013 11:34 AM PDT

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

Shahidan Ladin (kanan) dan Sarjan Che Lah Ibrahim menunjukkan mercun di dalam sebuah kereta yang dirampas di Kompleks Unit Pencegah Penyeludupan Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu, kelmarin. - UTUSAN/SAFRIZAL AZMI

KUBANG PASU 24 Julai - Tindakan nekad seorang lelaki menyeludup masuk pelbagai jenis mercun dan bunga api yang hanya ditutup dengan kain hitam di dalam keretanya mengundang padah selepas dia ditahan dalam sekatan jalan raya petang semalam.

Suspek berusia 38 tahun yang memandu kereta jenis Proton Persona itu ditahan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Bukit Kayu Hitam ketika melalui Kilometer 1.3, Lebuh Raya Utara-Selatan, menghala ke Changlun, kira-kira pukul 4 petang.

Komander UPP Bukit Kayu Hitam, Asisten Supritendan Shahidan Ladin berkata, hasil pemeriksaan menemukan barangan tersebut yang dianggarkan bernilai RM9,000 di bahagian but dan tempat duduk belakang kereta itu yang bercermin gelap.

"Kami tak sangka dia berani bawa masuk bahan larangan itu dengan hanya menutupi dengan kain hitam di tempat yang mudah dilihat di dalam keretanya.

"UPP percaya pulangan lumayan dengan menjual mercun dan bunga api sempena Hari Raya Aidilfitri telah mendorong dia mengambil tindakan berani itu," katanya di sini semalam.

Menurut Shahidan, mercun dan bunga api yang dibeli dari negara jiran boleh dijual sehingga tiga kali ganda di pasaran tempatan menyebabkan penyeludup sanggup melakukan apa sahaja demi mendapat keuntungan segera.

Katanya, suspek yang dipercayai mahu menjual barangan berkenaan kepada ejen di Pulau Pinang cuba mengambil kesempatan menyeludup ketika waktu puncak memandangkan banyak kenderaan sedang keluar masuk menggunakan pintu sempadan Malaysia-Thailand di sini ketika itu.

"Suspek mungkin berasakan dia boleh meloloskan diri daripada sekatan jalan raya kerana kenderaan banyak tetapi dapat dikesan anggota bertugas," katanya.

Shahidan berkata, kes itu dirujuk kepada pihak Kastam Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967 yang boleh didenda sebanyak 10 kali ganda nilai barang dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Syiah tiada ruang di Perlis

Posted: 24 Jul 2013 11:34 AM PDT

Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
utusanperak@utusan.com.my

KANGAR 24 Julai - Kerajaan negeri menerusi agensi pihak berkuasa agamanya sentiasa menjalankan pemantauan rapi bagi memastikan tidak ada sebarang usaha daripada pihak tertentu mengembangkan ajaran atau fahaman Syiah di negeri ini.

Perkara itu berikutan fatwa yang diwartakan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pada 27 September tahun lalu bahawa ajaran dan fahaman Syiah bercanggah dan menyalahi ajaran Islam sebenar.

Mufti Perlis, Datuk Mursyid Diraja Dr. Juanda Jaya memberitahu, pemantauan tersebut penting kerana pengikut ajaran atau fahaman Syiah tidak boleh diberikan ruang menjalankan usaha-usaha mempengaruhi umat Islam di Perlis.

"Walaupun kedudukan Syiah di Perlis tidak membimbangkan dengan maklumat diterima jumlah ahlinya tidak melebihi lima orang, pemantauan ke atas usaha untuk mengembangkannya sentiasa dibuat untuk memastikan pengaruhnya tidak meluas.

"Ini kerana pihak berkuasa pernah merampas buku-buku berkaitan Syiah dari negara jiran di pintu sempadan," kata beliau dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Sehubungan itu, kata Juanda, umat Islam di negeri ini perlu berwaspada dengan percubaan golongan tersebut untuk mempengaruhi mereka menerusi pelbagai cara termasuk penyebaran risalah, buku dan ceramah.

"Pihak berkuasa juga memantau penceramah yang dijemput memberikan ceramah di masjid-masjid di seluruh negeri bagi mengelak pengaruh Syiah berleluasa.

"Begitu juga dengan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dari luar negara yang menyambung pengajian di negeri ini bagi mengelakkan penularan pengaruh Syiah," tambahnya.

Walau bagaimanapun, kata Juanda, hasil maklumat pihak berkuasa, tidak ada penuntut luar negara di negeri ini yang menjalankan aktiviti menyebarkan fahaman Syiah.

Polis tumpu 5 kawasan panas cegah jenayah

Posted: 24 Jul 2013 11:34 AM PDT

ALOR SETAR 24 Julai - Polis akan memberi tumpuan kepada lima lokasi panas di negeri ini dengan menambah jumlah anggota sukarelawan polis di kawasan itu bagi membantu mencegah berlakunya jenayah.

Sukarelawan polis itu akan dibahagikan mengikut jumlah yang sesuai di lima lokasi tersebut iaitu Kubang Pasu, Kulim, Kota Setar, Kuala Muda dan Langkawi.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, sukarelawan polis akan membantu anggota sedia ada dan mereka akan diberikan latihan yang secukupnya untuk melaksanakan tugas dengan baik.

"Ketika ini terdapat kira-kira 737 anggota sukarelawan polis di Kedah dan mereka telah menjalani kursus latihan asas polis di Langkawi.

"Pertambahan jumlah anggota sukarela ini kita dapat mantapkan lagi pencegahan jenayah di kawasan panas yang menjadi tumpuan iaitu Kubang Pasu, Kulim, Kota Setar, Kuala Muda dan Langkawi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Tamat Latihan Sukarelawan Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Komandan Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia Kedah, Supritendan Rozali Abd. Ghani.

Menurutnya, semua ketua polis daerah juga akan memberi latihan yang sesuai kepada sukarelawan polis yang ditempatkan di daerah masing-masing agar kemahiran mereka dapat ditingkatkan.

"Sukarelawan polis adalah keluarga kita dan saya bertanggungjawab ke atas mereka jadi saya mahu semua yang diberi tugas melaksanakannya dengan baik.

"Saya akan jaga kebajikan mereka dan apa yang polis terima akan saya cuba usahakan agar mereka juga dapat serta saya akan pantau tahap disiplin mereka," jelasnya.

Tambah Ahmad, jumlah anggota sukarelawan polis itu juga akan ditambah mengikut kekosongan yang ada.

0 ulasan:

Catat Ulasan