Sabtu, 6 Julai 2013

Utusan Online - Pahang

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Stadium mini setiap daerah

Posted: 06 Jul 2013 10:33 AM PDT

Oleh Shahrinnahar Latib
nahar.latib@utusan.com.my

KUANTAN 6 Julai - Kerajaan negeri bercadang membina stadium mini di seluruh daerah di negeri ini berikutan sambutan daripada orang ramai khususnya golongan belia terhadap aktiviti sukan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohd. Johari Hussain (gambar) berkata, pembinaan stadium mini itu diharap dapat memberi galakan kepada golongan belia yang gemar bersukan.

"Berdasarkan peruntukan sebuah stadium mini, sejumlah RM10 juta diperlukan untuk kos pembinaan dan kerajaan negeri melalui Jabatan Belia dan Sukan (JBS) berusaha memohon peruntukan daripada kerajaan Pusat melalui Kementerian Belia dan Sukan.

"Bagi saya sebaiknya seluruh daerah di Pahang mempunyai stadium mini untuk perkembangan sukan," katanya ketika ditemui selepas sesi soal jawab sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang baru-baru ini.

Menurut beliau, bagi daerah yang sudah mempunyai kemudahan sukan, kerajaan negeri akan menaik taraf kemudahannya.

Sementara itu katanya, kerajaan negeri menyambut baik cadangan untuk menaik taraf Kompleks Sukan Bandar Maran seperti yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luit, Nurhidayah Mohamad Shahaimi.

"Dengan mengambil kira perkembangan sukan khususnya bola sepak, kemudahan sukan itu menjadi keutamaan khususnya belia," katanya.

RM38j bina jalan Pos Sinderut, Kitom

Posted: 06 Jul 2013 10:33 AM PDT

Wan Rosdy Wan Ismail (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan beras kepada seorang penduduk Orang Asli selepas merasmikan Kursus Pengendalian Lepas Tuai di Kampung Tual sempena program publisiti media ke projek FAMA di Kuala Lipis, Pahang, baru-baru ini.

KUALA LIPIS 6 Julai - Masyarakat Orang Asli di Pos Sinderut dan Pos Kitom bakal menikmati kemudahan jalan raya apabila projek bernilai RM38 juta dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek yang dibiayai kerajaan Persekutuan itu melibatkan laluan sepanjang 57 kilometer.

"Pembinaan tersebut yang kini dalam proses pembinaan bermula dari persimpangan Sungai Koyan sehingga ke Kampung Bukit Long di Pos Sinderut manakala projek yang sama di Pos Kitom masih di peringkat pembukaan tender," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Pengendalian Lepas Tuai di Kampung Tual sempena program publisiti media ke projek Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarah FAMA, Sharifah Hashim dan Pengarah Kanan Komunikasi Korporat FAMA, Noor Azian Mustapa.

Kursus tersebut melibatkan 60 peserta dari kalangan penduduk tempatan Orang Asli di kampung tersebut.

Dalam pada itu, Wan Rosdy yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri berkata, kursus dilaksanakan agensi kerajaan itu dapat membantu masyarakat Orang Asli dalam usaha meningkatkan pendapatan.

Pusat panggilan MPK tingkat mutu perkhidmatan

Posted: 06 Jul 2013 10:33 AM PDT

KUANTAN 6 Julai - Penubuhan pusat panggilan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) yang diperkenalkan mulai 1 Julai lalu sebagai usaha menambah baik mutu perkhidmatan khusus dalam pengurusan berkaitan aduan orang ramai.

Yang Dipertuanya, Datuk Zulkifli Yaacob berkata, MPK merupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) kedua mewujudkan pusat panggilan tersebut selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang berfungsi menyelesaikan aduan awam dengan lebih efisien, adil dan cepat.

"Pengoperasian pusat panggilan ini dilihat dapat memberi keberkesanan ke atas pengendalian aduan awam kerana setiap aduan yang diterima akan diberi maklum balas dalam tempoh 24 jam.

"Selain menyalurkan maklumat yang tepat, kewujudan perkhidmatan terbaharu daripada MPK ini dapat meningkatkan kadar penyelesaian dan mengurangkan aduan berulang yang diterima selain mengeratkan hubungan MPK dan masyarakat di bandar ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Pelancaran Pusat Panggilan MPK dan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2012 yang disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail kelmarin.

0 ulasan:

Catat Ulasan