Isnin, 8 Julai 2013

Utusan Online - Kota

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Keselamatan dipertingkat

Posted: 08 Jul 2013 10:52 AM PDT

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
utusankota@utusan.com.my

Ahmad Phesal Talib (dua dari kanan) memperkatakan sesuatu ketika mengiringi Tengku Adnan Tengku Mansor (tiga dari kiri) merasmikan Jejantas Berbumbung dari stesen transit aliran ringan (LRT) Sultan Ismail ke Stesen Monorel Medan Tuanku, di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 8 Julai - Jejantas berbumbung menghubungkan antara bangunan ke bangunan lain di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Raja Laut yang bakal dibina Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dijangka mampu mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, cadangan pembinaan jejantas berbumbung pertama yang dijangka bermula tahun hadapan itu melibatkan pusat beli-belah Sogo ke Kompleks Pertama.

Menurutnya, setelah kerja-kerja pembinaan jejantas berkenaan siap kerja-kerja akan diteruskan ke bangunan -bangunan lain di kawasan berhampiran.

"Pembinaan jejantas berbumbung di kawasan tumpuan ini juga secara tidak langsung dapat meningkatkan jumlah penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan orang ramai.

"Antara bangunan yang terlibat termasuklah bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Bank CIMB, IJM Corporation Berhad dan Menara DBKL.

"DBKL juga akan mengadakan perbincangan dengan pihak hotel di kawasan ini bagi membenarkan jejantas berbumbung dibina bagi kemudahan orang ramai," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengiringi Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor merasmikan Jejantas Berbumbung dari Stesen transit aliran ringan (LRT) Sultan Ismail ke Stesen Monorel Medan Tuanku, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. J. Loga Bala, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Adnan Mohd. Ikhsan dan Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusop.

Jejantas Berbumbung sepanjang 680 meter itu memulakan kerja-kerja pembinaan pada 22 Julai 2011 dan siap pada 31 Mac lalu.

Peniaga bazar serah memorandum

Posted: 08 Jul 2013 10:52 AM PDT

Faizal Abdul Rahman menunjukan memorandum berhubung bantahan terhadap tindakan DBKL menjadikan Jalan Bonus 6, lorong berhampiran Tuanku Abdul Rahman sebagai tapak baharu Bazar Ramadan di Kuala Lumpur, semalam. - Utusan/FARAH AIN BAHAMAN

KUALA LUMPUR 8 Julai - Kurang sehari lagi umat Islam di negara ini menyambut bulan Ramadan.

Namun isu pengagihan tapak Bazar Ramadan di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India di sini terus menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan peniaga. Buktinya, seramai kira-kira 20 peniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman hari ini menyerahkan memorandum bantahan terhadap tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang didakwa tidak mengendahkan aduan mereka.

Memorandum itu diserahkan oleh wakil peniaga, Faizal Abdul Rahman, kepada pegawai DBKL di Lobi Menara KL, di sini hari ini.

Antara isi kandungan memorandum tersebut termasuklah bantahan terhadap hasrat DBKL menjadikan Jalan Bonus 6, lorong berhampiran Jalan Tuanku Abdul Rahman dijadikan tapak Bazar Ramadan baharu.

Faizal berkata tindakan DBKL itu hanya menjejaskan peniagaan mereka kerana tapak bazar itu benar-benar terletak di hadapan gerai.

"Tidak cukup dengan itu seluruh Bazar Ramadan di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman ini akan sesak dan menyempitkan laluan orang ramai.

"Bayangkan lorong sempit ini hendak diletakkan sebanyak 12 tapak bazar baharu lagi dan saya percaya kesesakan lebih berganda apabila orang ramai mula membuat persiap menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti,"jelasnya.

Sementara itu di lokasi sama, kira-kira 20 pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) turut melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan DBKL menempatkan mereka di tapak bazar baharu yang tidak strategik.

Wakil peniaga IKS, Zainun Johan 45, berkata, bukan sahaja tindakan DBKL menempatkan peniaga di tapak yang tersorok di Jalan Bonus 5, tetapi turut mengurangkan kouta daripada 30 kepada 20 petak.

Menurutnya, apa yang dikesalkan mereka terdiri daripada peniaga makanan seperti biskut, kuih muih yang mempunyai tarikh luput.

"Sedangkan tapak bazar di laluan utama dikuasai peniaga yang menjual pakaian dan aksesori yang tidak mempunyai tarikh luput,"katanya.

Rakannya, Siti Noorikah Mahbob, 30, turut kesal apabila salah seorang pegawai yang ditemui meminta mereka meneruskan sahaja perniagaan kerana petak telah diberikan.

Perasaan sama turut dikongsi pengusaha bakeri, Mouzi Mohd. Noor, 40, yang menyifatkan tindakan DBKL seolah-olah mahu membunuh peniaga Melayu, berbanding begitu menjaga 'kebajikan' peniaga warga asing yang semakin ramai berniaga di situ.

PPZ-MAIWP catat kutipan RM177.93 sehingga Jun

Posted: 08 Jul 2013 10:52 AM PDT

KUALA LUMPUR 8 Julai - Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mencatat kutipan zakat keseluruhan memberangsangkan iaitu sebanyak RM177.93 juta dengan jumlah pembayar zakat sebanyak 94,562 orang sehingga Jun lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, jumlah itu meningkat sebanyak 20 peratus berbanding kutipan bagi tempoh sama tahun lalu iaitu RM150.28 juta daripada sebanyak 83,234 pembayar.

Daripada jumlah itu, tambah beliau, zakat pendapatan menunjukkan perolehan tertinggi iaitu RM140.6 juta atau 80 peratus daripada jumlah keseluruhan kutipan.

"Ini dibantu oleh sistem PPZ-MAIWP yang menawarkan bayaran melalui potongan gaji dan bayaran secara dalam talian," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Maskot Ustaz Amil dan Kaunter Bergerak PPZ-MAIWP di sini hari ini.

Maskot Ustaz Amil merupakan kaedah baharu PPZ-MAIWP menggunakan media baharu iaitu Youtube, Facebook, Twitter dan portal PPZ bagi memberi pendedahan kepada orang ramai terutama golongan belia mengenai kewajipan menunaikan zakat.

Kaunter Bergerak PPZ-MAIWP pula bertujuan menambah saluran kaunter zakat di seluruh Wilayah Persekutuan secara bergerak terutama di kawasan yang terletak jauh dari kaunter tetap PPZ-MAIWP.

Dalam majlis itu, Abdul Hakim turut mengedarkan sebanyak 1,000 salinan cakera padat dan risalah zakat kepada pengguna tol Sungai Besi.

Tambah beliau, pihaknya yakin mampu memperoleh kutipan terbesar sepanjang Ramadan ini bagi mencapai sasaran sebanyak RM430 juta kutipan zakat tahun ini.

0 ulasan:

Catat Ulasan