Ahad, 14 Julai 2013

Utusan Online - Selatan

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Pusat aduan bazar Ramadan

Posted: 13 Jul 2013 09:51 AM PDT

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL-JABRI
pengarang@utusan.com.my

Abu Ubaidah Redza (tengah) menyerahkan cenderamata kepada seorang peniaga sambil diperhatikan oleh Mohd. Talal Abu Bakar (kiri) di Bazar Ramadan Ampangan, Seremban, kelmarin.

SEREMBAN 13 Julai - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri menempatkan kaunter khidmat pengguna di pasar besar dan bazar Ramadan di negeri ini bagi membolehkan orang ramai melaporkan sebarang kenaikan harga barangan atau penipuan daripada peniaga.

Pengarahnya, Mohd. Talal Abu Bakar berkata, kaunter khidmat pengguna itu ditempatkan di Pasar Ampangan, Pasar Kuala Pilah, Pasar Port Dickson dan Pasar Besar Seremban.

"Kaunter ini akan dibuka pada waktu pagi sepanjang bulan Ramadan dan di sini kita turut menyediakan penimbang untuk menyemak berat barangan yang dibeli oleh pengguna bagi mengelakkan mereka daripada ditipu.

"Sekiranya orang ramai berasa tidak puas hati dengan berat atau harga yang dikenakan oleh para peniaga, mereka boleh semak dengan menimbang semula berat barangan yang dibeli di kaunter yang disediakan supaya tindakan segera boleh diambil ke atas peniaga berkenaan," katanya ketika melawat Bazar Ramadan Ampangan sempena Ops Harga 2013 di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemudahan Awam dan Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Abu Ubaidah Redza.

Jelas Mohd. Talal, selain pasar-pasar terpilih di sekitar negeri ini, pihaknya turut menempatkan kaunter yang sama di beberapa bazar Ramadan terpilih di negeri ini pada sebelah petang.

"Bagi memudahkan pengguna kita turut mewujudkan kaunter seperti ini di Bazar Ramadan Seremban 2, Bazar Ramadan Senawang, Bazar Ramadan Ampangan, Bazar Ramadan Paroi , Bazar Ramadan Kuala Pilah, Bazar Ramadan Batu Kikir dan Bazar Ramadan Port Dickson.

"Selain itu, kita turut menempatkan kaunter khidmat pengguna di lokasi membeli-belah popular seperti di Nilai 3, Bahau Square dan Tampin Square," ujarnya.

Denda RM20,000 jika gagal patuhi kebersihan

Posted: 13 Jul 2013 09:51 AM PDT

KOTA KINABALU 13 Julai - Jabatan Kesihatan negeri tidak akan berlembut terhadap peniaga bazar Ramadan yang gagal mematuhi peraturan kebersihan dan mereka boleh didenda sehingga RM20,000 sekiranya gagal mematuhi peraturan itu.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Kota Kinabalu, James Philip Suradi berkata, pihaknya melakukan pemantauan berterusan di semua bazar Ramadan di sekitar bandar raya ini bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan kebersihan ditetapkan.

"Bagi memastikan kebersihan makanan yang dijual dan tidak menyebabkan keracunan, kita juga akan mengambil sampel makanan untuk diuji di makmal," katanya ketika ditemui selepas melakukan pemeriksaan di Bazar Ramadan Asia City di sini hari ini.

Yang turut hadir, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Denis John.

Menurut James, peniaga yang gagal mematuhi peraturan kebersihan ditetapkan boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut seksyen 13 B Akta Makanan.

"Bagaimanapun pendekatan kita pada masa ini bukan berbentuk hukuman, lebih kepada mendidik peniaga supaya mengutamakan kebersihan dan tidak hanya bermotifkan keuntungan semata-mata.

"Hasrat kita adalah untuk mewujudkan budaya kebersihan dalam kalangan para peniaga dari semasa ke semasa," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pengguna boleh mengemukakan aduan kepada pihaknya sekiranya mendapati ada peniaga yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

Tambahnya, para peniaga juga boleh menggunakan hak mereka untuk memboikot peniaga yang tidak mengutamakan kebersihan.

Umat Islam wajar syukuri nikmat Ramadan dalam aman

Posted: 13 Jul 2013 09:51 AM PDT

SEREMBAN 13 Julai - Umat Islam di negara ini wajar bersyukur kerana dapat menyambut kedatangan bulan Ramadan dalam suasana aman harmoni biarpun negara ini turut dihuni oleh masyarakat majmuk berbilang agama.

Yang Dipertua Persatuan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Negeri Sembilan (Pekerti), Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin berkata, kemeriahan Ramadan berkait rapat dengan suasana negara yang tenteram dengan rakyat menikmati kemakmuran hasil daripada usaha pucuk pimpinan rakyat dan rahmat daripada Allah.

Malah katanya, rakyat di negara ini juga perlu bersyukur kerana Malaysia terus mengecapi keamanan dan sewajarnya perlu bagi mereka mengekalkan keharmonian serta meningkatkan perpaduan sedia ada.

"Namun dalam kegembiraan menyambut Ramadan juga, kita tidak seharusnya melupakan cabaran, masalah dan musibah besar termasuk ancaman keselamatan dan perpaduan yang dihadapi beberapa negara Islam ketika ini.

"Tidak terkecuali kepada masyarakat yang memerlukan perhatian dan bantuan dalam apa jua aspek agar dapat bersama bergembira menyambut kedatangan bulan yang mulia ini," katanya ketika berucap pada Majlis Ihya Ramadan Al Mubarak 2013 di Dewan Pekerti di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar kedatangan bulan Ramadan kali ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk merebut peluang untuk mempertingkatkan amal ibadat dan diri umat Islam secara konsisten dan berdisiplin.

Apatah lagi katanya, kehadiran bulan Ramadan juga tersingkap pelbagai hikmah dan sejarah termasuklah terjadinya peristiwa Nuzul al-Quran, Lailatul Qadar dan sebagainya.

Pada majlis berkenaan, seramai 78 orang anak-anak yatim daripada lima buah sekolah diraikan dengan aktiviti keagamaan, majlis berbuka puasa bersama Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta solat sunat tarawih.

0 ulasan:

Catat Ulasan