Rabu, 3 Julai 2013

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


Teck Meng minta siasat

Posted: 03 Jul 2013 11:41 AM PDT

Oleh KAMIL MASLIH
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 3 Julai - Ahli Parlimen Simpang Renggam, Liang Teck Meng menjelaskan, pendedahan beliau mengenai dakwaan bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki 20 akaun bank luar negara adalah untuk mendapatkan pengesahan sama ada berlaku atau tidak campur tangan asing dalam politik negara.

Menurut Teck Meng, campur tangan asing adalah satu perkara yang tidak boleh dipandang ringan oleh kerajaan dan memerlukan siasatan telus bagi menjaga keselamatan serta kedaulatan negara.

"Saya memberi contoh bagaimana Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang mendapat dana asing dan bagaimana bekas Naib Presiden (Indonesia), Jusuf Kalla yakin ada kuasa asing dan syarikat-syarikat luar yang memberi dana untuk perhimpunan bantahan.

"Dalam internet juga ada tuduhan Anwar memiliki 20 akaun di luar negara yang berjumlah ratusan juta semasa dia menjadi Timbalan Perdana Menteri dan sembilan akaun itu berada di Israel National Bank, Malaysia tiada hubungan diplomatik dengan Israel jadi apa kaitan Anwar dengan Israel?

"Isu-isu campur tangan asing ini yang saya minta penjelasan dan jawapan konkrit dari kerajaan, sekiranya benar ada kuasa ketiga hendak menumbangkan kerajaan, kita tidak boleh memperlekehkan perkara keselamatan dan kedaulatan ini," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Teck Meng menggemparkan sidang Dewan Rakyat apabila membuat pendedahan berhubung dakwaan Anwar mempunyai 20 akaun di luar negara dengan jumlahnya mencecah RM332 juta.

Tegas Teck Meng, tindakan pembangkang yang mahu mengheret beliau ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Ahli Parlimen atas pendedahan itu adalah bertujuan menghalang kerajaan daripada melakukan siasatan mengenai campur tangan asing dalam politik di negara ini.

"Saya mendapat maklumat daripada internet, Anwar boleh cakap benda ini tiada dalam WikiLeaks tetapi saya memohon siasatan daripada kerajaan mengenai campur tangan kuasa asing dalam politik di negara ini," katanya yang turut bimbang kuasa asing ada kaitan dengan pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah.

Katanya, beliau tidak gentar untuk dihadapkan ke jawatankuasa itu namun, perkara yang lebih utama adalah tindakan kerajaan untuk menyiasat dakwaan tersebut bagi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

Anwar nafi miliki 20 akaun bank di luar negara

Posted: 03 Jul 2013 11:41 AM PDT

KUALA LUMPUR 3 Julai - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan pendedahan Ahli Parlimen Simpang Renggam yang diperoleh dari WikiLeaks, mendakwa beliau mempunyai 20 akaun bank di luar negara.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, terus menyalahkan blogger UMNO atas pendedahan tersebut.

"Saya sudah semak, tiada langsung laporan itu di WikiLeaks. Ini dimulakan oleh blogger UMNO dan Simpang Renggam (Liang Teck Meng) membaca teks yang diedarkan UMNO.

"Ia (dakwaan) tidak berasas. Dia kata daripada WikiLeaks, bila diperiksa, ia (maklumat) daripada blogger UMNO, pasport pun lain, nombor pun lain dan semua lain," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.

Semalam, Teck Meng membuat pendedahan berhubung dakwaan Anwar mempunyai 20 akaun di luar negara dengan jumlahnya mencecah AS$66 juta (RM209 juta) dan SG49 juta (RM123 juta).

Beliau berkata, 20 akaun tersebut masing-masing terdapat di bank-bank di Israel, Amerika Syarikat, Singapura serta China dan kesemua maklumat itu diperoleh daripada internet seperti didedahkan oleh WikiLeaks.

Kata beliau, setiap akaun mempunyai maklumat terperinci termasuk nama pemegang, jawatan, nombor pasport, jenis, nombor, tarikh akaun dibuka dan tarikh matang.

Dalam pada itu, Anwar turut memberi peluang kepada Teck Meng untuk membuat penjelasan berhubung pendedahan tersebut.

Menurutnya, sekiranya gagal berbuat demikian, beliau akan merujuk perkara itu kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Ahli Parlimen.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan