Isnin, 15 Julai 2013

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


1,100 rumah dibina di Jengka

Posted: 15 Jul 2013 12:16 PM PDT

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanktn@gmail.com

Sharuddin Yusof (tiga kanan) menunjukkan pelan struktur rumah yang bakal dibina pada majlis prapelancaran projek Taman Jengka Indah Fasa 1, Bandar Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang, kelmarin.

KUALA KRAU 15 Julai - Sebuah syarikat swasta, PUM Global Resources Sdn. Bhd., memperuntukkan sebanyak RM300 juta untuk membina sebanyak 1,100 unit rumah di Bandar Tun Abdul Razak Jengka di sini.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Sharuddin Yusof berkata, projek yang dijangka siap sepenuhnya pada 2018 dikenali sebagai Taman Jengka Indah dan akan dibangunkan dalam beberapa fasa tersebut merupakan pembangunan hartanah bercampur di tapak seluas 40 hektar.

Menurutnya, harga rumah yang dijual adalah kompetitif dengan tawaran fasa pertama bermula dari RM197,000 sehingga RM332,000.

"Lokasi tapak Taman Jengka Indah sangat strategik kerana terletak di antara Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Jaya dan Sekolah Maahad As-Sultan Ahmad Shah Ad-Dini hanya lima minit ke pusat bandar,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam majlis prapelancaran projek Taman Indah Fasa 1 di Nadi Kota Bandar Tun Abdul Razak Jengka di sini semalam.

Menurutnya, taman perumahan itu dirancang dengan teliti serta mengambil kira permintaan dan keperluan masyarakat setempat.

Katanya, pelbagai kemudahan lain akan dibangunkan seperti premis perniagaan, tapak hotel, stesen minyak dan kawasan rekreasi selain berdekatan dengan Universiti Teknologi Mara cawangan Pahang serta Hospital Jengka.

"PUM Global turut menyediakan tapak surau, dewan serbaguna, tapak sekolah dan tadika untuk kegunaan penduduk di kawasan perumahan tersebut," katanya.

Ramadan medan terbaik satukan umat Islam

Posted: 15 Jul 2013 12:16 PM PDT

Ismail Abdul Muttalib (dua dari kanan) berbuka puasa bersama penduduk sempena program ziarah Ramadan di Felda Jengka 2, Maran, Pahang, kelmarin.

MARAN 15 Julai - Bulan Ramadan menjadi medan terbaik kepada masyarakat Islam yang berlainan fahaman politik supaya kembali bersatu demi meningkatkan syiar Islam di negara ini.

Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib berkata, pertelagahan sesama sendiri termasuk berkaitan mempertahankan akidah umat Islam serta soal yang remeh telah meletakkan imej agama itu tidak dihormati oleh pihak lain.

"Golongan tertentu sudah mula berani mempersenda dan mempertikaikan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan kerana melihat umat Islam tidak lagi bersatu malah kelihatan lemah serta dimudah diprovokasi.

"Orang Islam di negara ini merupakan majoriti tetapi masih ada yang lebih mementingkan politik kepartian sempit tanpa memikirkan imej serta kedudukan Islam yang semakin dipandang rendah akibat kesilapan sendiri,' katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata demikian ketika berucap dalam majlis Ziarah Ramadan di Masjid Felda Jengka 2 di sini semalam.

Ismail berkata, dalam bulan yang mulia ini, umat Islam seharusnya bermuhasabah dan bersatu hati untuk mempertahankan kedudukan serta kesucian agama itu daripada dipermainkan oleh pihak terbabit.

"Jangan mudah terperangkap dengan agenda pihak tertentu yang mahu melemahkan agama Islam supaya memudahkan usaha mereka menguasai negara ini," ujarnya.

Rakyat Pahang perlu pulihara alam sekitar

Posted: 15 Jul 2013 12:16 PM PDT

Tengku Fahd Mua'adzam Sultan Ahmad Shah (kanan) sambil disaksikan Sultan Ahmad Shah menerima cenderamata daripada Ismail Mohamed Said (dua dari kiri) pada majlis penutup kursus kepimpinan belia Daerah Temerloh di Masjid Abu Bakar, Temerloh, kelmarin.

TEMERLOH 15 Julai - Yayasan Alam Sekitar Sultan Ahmad Shah (Saset) mahu rakyat negeri ini memupuk semangat dan rasa tanggungjawab supaya lebih peka terhadap usaha memulihara alam sekitar di negeri ini.

Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Mua'adzam Sultan Ahmad Shah berkata, yayasan itu memberi fokus terhadap usaha menggerakkan minda rakyat supaya bersama menjayakan apa jua program pemuliharaan alam sekitar.

Menurutnya, walaupun misi utama yayasan berkaitan pemulihan alam sekitar tetapi program meningkatkan sosioekonomi rakyat serta kursus kepemimpinan berkualiti tidak diabaikan.

"Ini kerana peningkatan ekonomi dan pengetahuan serta kualiti kepemimpinan saling berkait yang dapat membantu usaha meningkatkan kualiti alam sekitar.

"Matlamat utama Saset yang ditubuhkan pada 2011 adalah memupuk semangat cintakan alam sekitar dan memuliharanya supaya Pahang menjadi destinasi pelancongan menarik dan berkelas dunia,'' katanya.

Tengku Fahd berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada penutup Kepimpinan Belia daerah Temerloh membabitkan 200 peserta anjuran Saset dan Institut Kemajuan Desa (Infra) di Masjid Abu Bakar di sini semalam.

Berangkat mencemar duli ke majlis tersebut ialah Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin; Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ismail Mohamed Said; Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abd. Ghani dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail.

Katanya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan, badan korporat dan pemimpin setempat perlu berganding bahu menyokong usaha itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan