Sabtu, 13 Julai 2013

Utusan Online - Kota

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Juadah untuk 1,500 jemaah

Posted: 13 Jul 2013 09:51 AM PDT

Oleh THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com.my

MUHYIDDIN Yassin melawat gerai Pizza Pah Food di tapak Festival Ramadan Putrajaya di kawasan Kiblat Walk sepanjang laluan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Kompleks Perbadanan Purtajaya, Presint 3, Putrajaya, baru-baru ini. Turut kelihatan Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Aseh Che Mat. - BERNAMA

PUTRAJAYA 13 Julai - Festival Ramadan Putrajaya yang dianjurkan Perbadanan Putrajaya (PPj) bukan sahaja menyediakan pelbagai program menarik tetapi turut menawarkan juadah berbuka puasa untuk 1,500 jemaah setiap hari.

Festival yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 10 Julai lalu itu turut menyediakan agihan bubur lambuk dan perkhidmatan bayaran zakat fitrah secara pandu lalu.

Program lain yang diadakan ialah solat tarawih bersama Imam Samy Ahmed Abd. Rahman El-Feky dari Mesir di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin serta tadarus al-Quran dari awal Ramadan hingga 26 Julai ini.

Turut diadakan ialah jualan Kiblat Walk sepanjang bulan Ramadan, jualan makanan untuk berbuka puasa dan perayaan Aidilfitri serta pameran.

Festival yang julung-julung kali diadakan di Putrajaya itu menggabungkan aktiviti keagamaan, perniagaan dan juga hiburan bercirikan Islam seperti persembahan artis dan muzik tradisional bagi memeriahkan suasana Ramadan di Putrajaya.

Aktiviti sampingan yang turut diadakan ialah pertandingan kuiz untuk pelajar sekolah dan ceramah motivasi pekerja.

Orang ramai yang mahu mendapat maklumat lanjut mengenai festival tersebut boleh melayari laman sesawang www.ppj.gov.my/ramadhan untuk keterangan lanjut.

180,000 orang kunjungi Ekspo Keibubapaan

Posted: 13 Jul 2013 09:51 AM PDT

KUALA LUMPUR 13 Julai - Kira-kira 180,000 pengunjung dijangka hadir ke Ekspo Keibubapaan 2013 yang berlangsung di Pusat Pameran Mid Valley di sini, selama tiga hari bermula semalam.

Ekspo barangan ibu dan anak terbesar di Malaysia itu dianjurkan syarikat penerbitan majalah Inggeris, Today Publishing Sdn. Bhd. yang menyediakan sebanyak 265 ruang pameran untuk pelbagai produk ibu dan bayi.

Pengurus ekspo itu, Kok Jian Teing berkata, pelbagai program disediakan untuk ibu bapa dan kanak-kanak bagi memeriahkan lagi ekspo berkenaan di samping tawaran harga yang menarik untuk produk dijual.

"Kami menyediakan bermacam-macam aktiviti antaranya pertandingan mewarna, permainan 'musical chair' dan 'hoola hoop' yang sesuai untuk kanak-kanak.

"Selain itu, ekspo ini turut menganjurkan beberapa seminar keibubapaan untuk pengunjung yang boleh dimanfaatkan dan dipraktikkan di rumah," katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Ekspo tahunan yang dibuka pada pukul 10 pagi hingga 9.30 malam itu turut menyediakan sebanyak 12,000 beg cenderahati kepada pengunjung serta cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah berupa produk ibu dan bayi.

Sementara itu, pengunjung, Hafiza Ishak, 27, berkata, ekspo tersebut memudahkan para ibu bapa mencari produk yang sesuai dan berkualiti untuk anak-anak.

"Bagi ibu bapa yang bakal menimang cahaya mata pertama, ekspo sebegini banyak memberi pendedahan berkenaan penjagaan dan produk bayi yang perlu disediakan," katanya.

Dalam pada itu, Wan Mohd. Izran Wan Mohd. Said, 26, berkata, ekspo tersebut menjadi lokasi terbaik kepada para ibu bapa membuat perbandingan harga serta produk yang ingin dibeli.

Kilang ubah waktu rehat

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH
kota@utusangroup.com.my

WAN Noorulazhar Mohd. Hanafiah menunjukkan pekeliling jadual kerja baharu bagi bulan Ramadan yang dikeluarkan oleh sebuah kilang semikonduktor di Banting sewaktu hadir di pejabat Utusan Malaysia di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 12 Julai - Sebuah syarikat semikonduktor berstatus multinasional yang beroperasi di Telok Panglima Garang di Banting, Selangor didakwa menindas pekerja beragama Islam dengan mengubah jadual waktu rehat sepanjang Ramadan tanpa perbincangan.

Presiden Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Barat Semenanjung, Wan Noorulazhar Mohd. Hanafiah mendakwa, syarikat itu bertindak meminda jadual pekerja syif malam dengan mempercepat waktu rehat pertama dan melewatkan waktu rehat kedua.

Berikutan itu, dakwanya, pekerja syarikat semikonduktor nombor satu di Asia dan ketiga dunia itu terpaksa bekerja dalam tempoh lapan jam tanpa henti sebelum menunggu waktu rehat kedua.

Tambah beliau, arahan itu dikeluarkan menerusi surat pekeliling bertarikh 2 Julai lalu yang meminta pekerja syif pukul 7 petang mengambil rehat pertama pukul 7.15 petang berbanding 10 malam sebelum ini dan rehat kedua pukul 4 pagi bersekali sahur.

"Tetapi masalahnya mereka terpaksa bekerja selama 12 jam dan menerusi jadual baharu itu juga semua pekerja terpaksa bekerja selama lapan jam tanpa henti," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Wan Noorulazhar, tindakan itu jelas melanggar Akta Kerja 1955 di bawah Seksyen 60A (1) yang tidak membenarkan pekerja bekerja lebih lima jam berturut-turut tanpa rehat kurang daripada 30 minit.

Katanya, penindasan itu turut bertentangan dengan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994) yang mensyaratkan majikan perlu memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semua pekerjanya semasa bekerja.

Tambah beliau, jika pekerja tidak mendapat rehat yang cukup dan dipaksa bekerja di bawah tekanan tinggi pelbagai kemungkinan buruk boleh berlaku di tempat kerja.

Dalam pada itu, beliau turut kecewa dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) yang didakwa gagal menangani masalah tersebut meskipun aduan rasmi dan bukti telah diserahkan.

"Kami ada berhubung dengan JTK tetapi mereka minta pekerja berbincang dengan majikan, masalahnya pekerja terbabit tidak mempunyai kesatuan dan majikan boleh berbuat sesuka hati termasuk memecat mereka kerana tidak berpuas hati," katanya.

Dalam masa sama, beliau merayu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat campur tangan dalam isu itu kerana majoriti pekerja di syarikat terbabit ialah wanita dan mereka perlu berdiri sepanjang tempoh 12 jam bekerja.

0 ulasan:

Catat Ulasan