Jumaat, 5 Julai 2013

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Habuk tanah ancam kesihatan

Posted: 05 Jul 2013 11:04 AM PDT

Oleh ALI MAHMOOD
utusanpahang@utusan.com.my

Penduduk membuat demonstrasi aman di hadapan air bertakung sambil mendesak MPT bertindak tegas terhadap pemaju perumahan dekat kediaman mereka supaya mematuhi peraturan pembinaan di Taman Mentakab Indah, Temerloh, Pahang, kelmarin.

TEMERLOH 5 Julai - Kesihatan lebih 300 keluarga di Taman Mentakab Indah kini terancam apabila kehidupan harian mereka terdedah kepada habuk tanah merah dan simen yang berterbangan dari tapak pembinaan perumahan bersebelahan.

Mereka yang ditemui Utusan Malaysia memberitahu, jika tidak ada tindakan segera boleh menyebabkan kesihatan mereka terancam seperti batuk dan gatal kerongkong berpanjangan akibat menyedut udara tercemar.

Sehubungan itu, mereka mendesak Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) mengambil tindakan tegas dengan memastikan pemaju berkenaan mematuhi peraturan dan syarat pembinaan supaya kehidupan penduduk lebih selamat.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk, Wan Mohd. Saidi Wan Zainudin berkata, selain faktor pencemaran udara, pemaju tersebut bersikap angkuh apabila meroboh benteng penahan banjir dan menutup longkang yang dibina oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

''Akibat tindakan pemaju yang tidak bertanggungjawab itu, jalan masuk utama ke taman perumahan ini sering dilanda banjir kilat apabila setiap kali hujan lebat.

''Malah, pemaju berkenaan menimbus longkang sedia ada sehingga menyebabkan air hujan tidak dapat mengalir dan akhirnya meresap dalam tanah dan merosakkan struktur permukaan jalan raya utama masuk ke taman tersebut," kata Wan Mohd. Saidi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan demonstrasi secara aman bersama penduduk di laluan utama taman tersebut di sini semalam.

Menurut beliau, mereka telah beberapa kali membawa masalah itu kepada MPT termasuk membuat laporan polis tetapi sehingga hari ini tidak ada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkuasa bagi menangani masalah tersebut.

Tambahnya, ini menimbulkan tanda tanya kepada penduduk, seolah-olah pemaju berkenaan sangat kebal daripada sebarang tindakan undang-undang dan MPT pula takut untuk mengambil tindakan walaupun pemaju tersebut secara terang-terangan tidak mematuhi peraturan.

''MPT seolah-olah tunduk dengan kehendak pemaju yang bukan sahaja merosakkan harta benda awam dan menceroboh tanah dan harta benda kerajaan.

''Pemaju juga tidak membina pagar penghadang hingga membolehkan kanak-kanak memasuki kawasan pembinaan dan secara tidak langsung mendatangkan bahaya seperti terpijak paku atau terkena serpihan bahan binaan yang mengancam keselamatan kanak-kanak berkenaan," kata beliau

Wan Mohd. Saidi mendesak MPT membaiki semula kerosakan jalan utama sebelum Ramadan dan mengarahkan pemaju perumahan bersebelahan menghentikan projek mereka sehingga benteng penahan banjir dan longkang yang ditimbus dibaik pulih semula.

Pelancong diminta jaga kebersihan Pulau Tioman

Posted: 05 Jul 2013 11:04 AM PDT

Mohd. Sharkar Shamsudin (tiga dari kanan) memegang beg plastik sebagai gimik pelancaran Kempen Kebersihan Pantai Pulau Tulai di Rompin, Pahang, baru-baru ini.

ROMPIN 5 Julai - Para pelancong yang menjalankan aktiviti perkelahan di pantai sekitar Pulau Tioman diminta tidak meninggalkan sisa-sisa makanan dan sampah sarap bagi memastikan kawasan berkenaan sentiasa bersih dan cantik.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, pelancong yang datang perlu mempunyai sikap bertanggungjawab dan sayangkan kawasan perkelahan berkenaan dengan tidak membiarkannya dipenuhi sampah sarap.

Katanya, mereka tidak boleh mengharap pihak lain yang menguruskan kebersihan pantai tetapi mereka sendiri yang sepatutnya perlu membawa balik sisa-sisa makanan dan sampah tersebut supaya dapat memberikan keselesaan kepada semua pelancong.

''Saya juga mengharapkan kerjasama daripada pengusaha pelancongan yang menguruskan resort dan calet menaja plastik sampah bagi memudahkan orang ramai yang datang berkelah membawa balik sampah untuk dilupuskan pihak berkuasa.

''Jika kita semua mempunyai sikap bertanggungjawab seperti itu, kebersihan pantai-pantai sekitar Pulau Tioman akan sentiasa terpelihara dan pastinya akan menarik lebih ramai lagi pelancong mengunjungi pulau ini yang pernah dikategorikan antara 10 pulau tercantik di dunia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen Kebersihan Pantai Pulau Tulai yang disertai oleh 150 sukarelawan yang menyertai Program Start In Tioman (SIT) di sini kelmarin.

Yang turut hadir Pengarah Kementerian Pelancongan Negeri Pahang, Idrus Yahya, Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Tioman (TDA), Datuk Hashim Mat Tahir dan Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser (PKBF), Ishak Mokhtar.

Mohd. Sharkar memuji penglibatan bersama pengusaha Damai Resort dan duta SIT, Kumpulan Wings yang sama-sama membantu agensi pelancongan negeri dan TDA bagi menjayakan usaha untuk memastikan kawasan perkelahan dan menyelam di sekitar Pulau Tioman sentiasa bersih dan bebas daripada sampah sarap.

Tambahnya, usaha Kumpulan Wings menaja beg plastik untuk memberikan kemudahan kepada para pelancong mengumpul dan membawa balik sampah adalah satu sumbangan yang begitu besar dan bernilai bagi memastikan kebersihan dan alam sekitar di pulau itu sentiasa terpelihara.

''Usaha bersama Damai Resort dan duta SIT, Wings menganjurkan kerja-kerja kesukarelaan yang membabitkan 150 sukarelawan termasuk para penyelam dan media membersihkan pantai Pulau Tulai, kawasan air terjun dan memungut sampah di dasar laut jeti Kampung Salang wajar dicontohi oleh sektor swasta dan mereka yang terbabit dengan sektor pelancongan di Pulau Tioman.

''Apabila ramai pelancong datang kerana tertarik dengan keindahan dan kebersihan pulau ini tentunya akan membawa keuntungan dan sumber ekonomi kepada para pengusaha dan juga penduduk tempatan," katanya.

MDJ sediakan 303 tapak bazar Ramadan di Jerantut

Posted: 05 Jul 2013 11:04 AM PDT

Wan Norizan

JERANTUT 5 Julai - Majlis Daerah Jerantut (MDJ) menyediakan 303 tapak Bazar Ramadan di tiga lokasi sekitar bandar ini.

Setiausahanya, Wan Norizan Wan Badaruzzaman berkata, sebanyak 205 tapak disediakan di Dataran MDJ manakala 48 di kawasan Terminal Bas Inderapura dan 50 lagi di Simpang 410 di sini.

"Kita telah kekalkan tiga lokasi tapak Bazar Ramadan di bandar ini dan kadar sewa telah ditetapkan sebanyak RM200 di Dataran MDJ dan kawasan Terminal Bas Inderapura manakala RM150 di Simpang 410.

"Kos penyelenggaraan dan kutipan sampah pula ditetapkan sebanyak RM25 bagi peniaga makanan dan minuman biasa manakala RM60 bagi peniaga air kelapa, tebu dan masakan yang menggunakan arang selain deposit RM100," katanya di sini semalam.

Beliau berkata, terdapat sedikit peningkatan terhadap permintaan tapak niaga berbanding tahun lepas dan MDJ akan menyusun zon makanan mengikut cara lebih sistematik bagi memudahkan orang ramai.

Menurutnya, semua peniaga akan diberi taklimat oleh pihak Jabatan Kesihatan, Jabatan Agama Islam Pahang cawangan Jerantut dan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan cawangan Jerantut sebelum memulakan perniagaan pada 1 Ramadan nanti.

"Kita amat mementingkan kebersihan makanan dan kawasan sekitar gerai mereka, peniaga yang ingkar akan dikenakan kompaun RM30 seperti yang dilakukan sebelum ini," ujarnya.

Wan Norizan memberitahu, pihaknya akan bertindak tegas terhadap pemilik gerai yang menjual tapak kepada orang lain termasuk menyenaraihitamkan mereka pada masa akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan