Ahad, 1 Januari 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


149 penduduk termasuk 73 warga emas di Besut cemas kampung dilanda banjir kilat

Posted: 01 Jan 2012 02:19 AM PST

KUALA LUMPUR: Seramai 149 penduduk termasuk 73 warga emas di Pusat Penempatan Warga Tua Nurul Saadah, Kampung Tok Dor, dekat Besut, Terengganu menyambut kedatangan tahun baru dalam suasana cemas dan sedih apabila kampung mereka dilanda banjir kilat kira-kira jam 2 pagi tadi.

Banjir akibat limpahan Sungai Tok Dor yang bermula 12.30 pagi itu menyebabkan sebuah sekolah rendah, masjid, surau, beberapa kedai makan dan penempatan warga emas dimasuki air deras sedalam antara 1 hingga 2 meter.

Keadaan itu mengakibatkan kerosakan termasuk pagar sekolah, peralatan masjid, jalan raya dan kenderaan apabila ditenggelami air.

Tinjauan Bernama ke kampung itu pagi ini mendapati penduduk sibuk membaiki dan mengemas rumah masing-masing yang rosak ditenggelami air banjir kilat.


Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Tok Dor Zuhdi Ariffin, 48, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Masjid Kampung Tok Dor berkata masjid itu dimasuki air sedalam 0.6 meter menyebabkan permaidani, almari, langsir dan cermin pecah.


Beliau berkata buat masa ini, 76 penduduk ditempatkan di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Anak Ikan yang terdiri daripada 14 keluarga, termasuk 42 kanak-kanak, manakala semua warga emas terbabit dipindahkan ke tingkat atas pusat penempatan berkenaan yang sebelum ini dijadikan surau.

Pengerusi Pusat Penempatan Warga Tua Nurul Saadah Harun Hussin berkata mereka terpaksa berjalan sendiri dengan memegang tali yang diikat untuk ke surau ekoran pihak berkaitan sukar ke situ untuk menghulurkan bantuan kerana jalan masuk ditenggelami air sedalam 2 meter.

"Melalui telefon mudah alih, saya hanya mampu mengarahkan mereka berjalan dengan memegang tali dan tangan bersama-sama ke tempat selamat," katanya sambil menambah penghuni pusat itu terpaksa menyelamatkan diri dengan duduk di atas kerusi sebelum air surut pada kira-kira 6 pagi tadi.

Tinjauan Bernama mendapati kerja-kerja membersih Masjid Kampung Tok Dor dilakukan pukul 12 tengah hari dengan bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat dari daerah Besut.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir di Segamat terus menurun dengan hanya 75 orang daripada 14 keluarga masih berada di empat pusat pemindahan melibatkan Kampung Spangloi, Kampung Batu Badak, Kampung Sanglang dan Kampung Pogoh petang ini.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara, paras air Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat dan Sungai Bekok di Empangan Bekok, Batu Pahat masing-masing masih melebihi paras amaran pada 8.94 meter dan 17.16 meter.

Di KELANTAN, seramai 26 orang daripada enam keluarga di dua kampung di Pasir Puteh dipindahkan ke pusat pemindahan banjir berikutan hujan lebat yang diikuti angin kencang sejak malam tadi.

Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh Kaharuddin Yahya berkata mereka ditempatkan di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Kamil dan Sekolah Kebangsaan Bukit Awang.

"Ini berikutan rumah kediaman mereka di Kampung Wakaf Bunut,dan Bukit Awang di naiki air antara satu hingga dua meter," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata jumlah itu tidak termasuk seorang mangsa yang lumpuh dan dihantar ke Hospital Tengku Anis untuk rawatan.

Kaharuddin berkata beberapa jalan ditutup kepada kenderaan ringan iaitu laluan dari Pasir Puteh ke Jerteh, Pasir Puteh ke Semerak dan Pasir Puteh ke Kota Baharu.

Seorang mangsa, Che Abdulah Che Mat, 72, berkata halaman rumahnya dinaiki air hampir setinggi paras dada pukul 3 pagi tadi.

Abdullah, yang lumpuh kedua-dua belah kaki, berkata beliau dan isterinya terpaksa berpindah apabila paras air memasuki rumah mereka sedalam antara 0.1 hingga 0.2 meter.

Sementara itu, Pejabat Pengairan dan Saliran Pasir Puteh ketika dihubungi berkata paras air di Sungai Semerak pada 10 pagi ini di tahap berjaga-jaga iaitu 2.4 meter. -- BERNAMA



Full content generated by Get Full RSS.

Modul baru I-Smart bantu pelatih PLKN lemah menulis dan membaca

Posted: 01 Jan 2012 12:38 AM PST

KUCHING: Satu modul baru, I-Smart, akan diperkenalkan dalam program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bermula tahun ini untuk membantu pelatih yang menghadapi masalah menulis dan membaca, kata Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara Datuk Dr Tiki Lafe.

Beliau berkata peruntukan modul kecil itu akan bergantung kepada jumlah pelatih yang didapati menghadapi masalah itu.

"Pelatih yang kita dapati mempunyai masalah membaca atau menulis akan diberikan latihan khas atau kelas khas oleh pelatih," katanya kepada pemberita selepas melancarkan siri latihan PLKN 9/2012 di sini hari ini.

Dr Tiki berkata purata lima peratus pelatih yang dipilih menyertai latihan itu didapati menghadapi masalah membaca dan menulis.


Beliau berkata satu lagi modul sampingan iaitu untuk membantu pelatih yang menghadapi masalah berat badan berlebihan, sedang dibangunkan dan mungkin diperkenalkan pada sesi latihan PLKN akan datang pada April tahun ini.


Sementara itu, Jabatan Latihan Khidmat Negara dalam kenyataan menyatakan 140,000 pelatih terlibat dalam siri 9/2012 yang dijalankan di 82 kem di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 3,580 pelatih adalah dari Sarawak, dan 498 daripada mereka dipilih menjalani latihan di kem-kem di Semenanjung. -- BERNAMA



Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan