Ahad, 7 Julai 2013

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


Tindakan The Star 'melaga-lagakan' Sharizat, Syed Ali dipersoal

Posted: 07 Jul 2013 10:23 AM PDT

KUALA LUMPUR 7 Julai - Tindakan kolumnis akhbar The Star, Joceline Tan yang dilihat sengaja mahu melaga-lagakan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dengan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menimbulkan persoalan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, artikel Joceline itu seolah-olah memperlihatkan kemungkinan akhbar tersebut mempunyai agenda untuk mewujudkan 'publisiti negatif' terhadap pemilihan UMNO akan datang.

"Apakah pihak The Star mempunyai niat untuk mewujud dan mencorakkan persepsi buruk terhadap UMNO?

"Kita juga meminta pengurusan The Star menjelaskan mengenai perkara ini benar atau tidak. Setahu kita ada pihak terutamanya pakatan pembangkang yang cemburu terhadap kestabilan dalam UMNO justeru mereka cuba menggunakan pemilihan parti akan datang untuk mewujudkan provokasi bagi memecah-belahkannya," kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Joceline dan seorang lagi wartawan The Star dalam artikel bertajuk Give up post, Shahrizat told yang disiarkan akhbar berbahasa Inggeris itu hari ini menyentuh kenyataan Syed Ali yang meminta Ketua Wanita UMNO itu memberi laluan kepada muka baharu menerajui pergerakan tersebut.

Dalam pada itu tambah Mohd. Puad, pihaknya yakin terdapat dalang dalam kalangan pakatan pembangkang yang cuba mencetuskan huru-hara dalam UMNO.

"Kita harap kepimpinan UMNO akan ambil tindakan tegas terhadap dalang-dalang yang mahu mencetuskan huru-hara dalam proses pemilihan parti yang akan datang ini," katanya.

Pas tegur Karpal Singh

Posted: 07 Jul 2013 10:23 AM PDT

Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my

Takiyuddin Hassan

KOTA BHARU 7 Julai - Pas meminta Pengerusi DAP, Karpal Singh tidak memberi kata dua terhadap rakan parti dalam pakatan pembangkang, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya menyokong hasratnya untuk meminda Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan berhubung status agama kanak-kanak di bawah usia 18 tahun.

Penolong Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menyifatkan tindakan Karpal memberi kata dua itu adalah bertentangan dengan konsep perkongsian di antara ketiga-tiga parti itu dalam pakatan pembangkang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, sebagai peguam 'senior', Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu sewajarnya menghormati peruntukan perlembagaan yang telah lama dipertahankan.

"Sebagai satu pakatan tidak patut Karpal memberikan kata dua kepada rakan-rakannya. Sebagai salah satu rakan kongsi cara ini tidak betul.

"Kedua, Karpal seorang peguam kanan yang selalu mempertahankan perlembagaan. Tiba-tiba dia sendiri bangkitkan cadangan supaya peruntukan perlembagaan yang telah lama wujud dipinda, ini menunjukkan dia tidak menghormati perlembagaan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai desakan Karpal supaya Ahli Parlimen Pas dan PKR menyokong cadangannya untuk meminda Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan berhubung status agama kanak-kanak di bawah usia 18 tahun.

Karpal masih tidak berpuas hati terhadap kerajaan berhubung isu tersebut biarpun pembentangan Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 telah ditarik balik sambil menyifatkannya tidak memadai.

Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 adalah untuk mengelakkan 'salah tafsir' berhubung kebenaran menukar agama kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun.

Takiyuddin berkata, perkara tersebut bukan perkara baru malah undang-undang yang sama telah diluluskan pada tahun 1993.

"Seksyen 95 dalam Akta Pentabdiran Agama Wilayah Persekutuan 1993 menyatakan dengan jelas orang bukan Islam yang berusia 18 tahun ke atas tidak perlu keizinan untuk masuk Islam, kalau kurang daripada 18 tahun boleh masuk Islam dengan keizinan bapa atau ibu atau penjaga, ia sama dengan rang undang-undang yang mahu dibentangkan itu.

"Perkara ini sudah lama dan telah ditafsirkan oleh mahkamah dalam beberapa kes sebelum ini, jadi kenapa sekarang baru hendak bising, saya minta Karpal terima undang-undang yang telah diluluskan oleh Parlimen ini," katanya yang juga seorang pengamal undang-undang.

Tambahnya, Karpal sewajarnya membincangkan perkara itu dalam pakatan pembangkang terlebih dahulu sebelum mahu membawanya ke Parlimen.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan