Sabtu, 20 Julai 2013

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Seronoknya sahur sambil berkonvoi

Posted: 19 Jul 2013 10:25 AM PDT

Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN
utusanN9@utusan.com.my

Sebahagian ahli kumpulan motosikal Negeri Sembilan Scram Revolution (N9 SR) bersahur di Jempol, kelmarin ketika mengikuti program kembara Indahnya Ramadan anjuran Majlis Belia Malaysia.

JEMPOL 19 Julai - Bersahur ketika menyertai konvoi bermotosikal merupakan pengalaman berharga yang tidak mungkin dapat dilupakan 15 ahli kumpulan motosikal Negeri Sembilan Scram Revolution (N9 SR) dari Seremban.

Aktiviti bersahur itu merupakan sebahagian program kembara Indahnya Ramadan anjuran Majlis Belia Malaysia di sini semalam.

Menurut seorang ahli kumpulan, Syed Roslan Syed Rahimi, 32, kumpulan tersebut ditubuhkan bagi mengumpul penggemar motosikal jenis Scrambler, khususnya di negeri ini.

''Hari ini kami dapat pengalaman baharu apabila berpeluang bersahur di luar setelah berkonvoi sejauh 80 kilometer.

''Pada awalnya kami memang sangat teruja apabila dijemput menyertai kembara Ramadan. Namun tidak dinafikan perasaan risau juga ada dalam diri kerana perlu 'berjalan' jauh seawal pagi,'' jelasnya.

Bagi Mohd. Zairi Suhaimi, 33, ini merupakan pengalaman pertama bersahur di luar dan pastinya sesuatu yang menggembirakan.

''Biasanya kami berkonvoi dan berbuka puasa di luar, namun bersahur agak sedikit mencabar.

''Untuk menunggang motosikal di awal pagi pastinya memerlukan rehat yang cukup. Kami bergerak pagi kerana perlu tiba di Jempol kira-kira pukul 3 pagi untuk bersahur bersama penduduk di sini.

"Apabila menunggang motosikal di awal pagi, kami mendapat pengalaman baharu. Rupa-rupanya seronok bersahur beramai-ramai setelah berkonvoi,'' katanya lagi.

Sementara itu, Amirah Hanis Nor Jee, 19, pula memberitahu, walaupun dia merupakan peserta tunggal wanita, namun tetap berbangga apabila mampu melibatkan diri dalam kumpulan tersebut.

"Saya minat motosikal berkuasa tinggi dan suka mencuba sesuatu yang baharu. Apabila mengetahui tentang konvoi ini akan bersahur di Jempol, saya sangat teruja dan segera mendaftarkan diri.

"Biasanya saya hanya bersahur di rumah dan dalam keadaan sederhana. Namun kali ini suasana bersahur sangat meriah apabila kami disambut oleh penduduk di sini. Saya harap dapat merasai pelbagai pengalaman baharu dalam kumpulan ini di masa akan datang,'' jelasnya lagi.

Belia disaran lakukan kerja sukarela

Posted: 19 Jul 2013 10:25 AM PDT

JEMPOL 19 Julai - Golongan belia perlu bangkit membuktikan bahawa mereka bukan golongan yang lemah dengan tidak menjadikan kehadiran Ramadan sebagai alasan untuk duduk di rumah tanpa melakukan kerja-kerja sukarela.

Menurut Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Wan Salwati Abdullah, alasan bahawa kehadiran Ramadan memerlukan belia mengehadkan aktiviti adalah tidak tepat.

"Belia merupakan golongan muda yang pastinya mempunyai tenaga yang kuat. Kehadiran Ramadan tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak menjalankan aktiviti malah mereka boleh mengadakan pelbagai aktiviti dengan cara berbeza.

"Walaupun belia sering dikaitkan dengan aktiviti sukan tetapi ramai yang terlupa persatuan belia juga banyak melibatkan diri dalam program kebajikan. Kehadiran Ramadan boleh dijadikan bonus untuk mereka mempelbagaikan aktiviti kemasyarakatan menerusi idea baharu," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Beliau yang juga Presiden Majlis Belia Negeri Sembilan berkata, MBM telah menganjurkan kembara Indahnya Ramadan iaitu konvoi menjelajah beberapa daerah di negeri ini.

"Konvoi yang melibatkan lebih 50 belia itu telah melawat seorang belia yang sakit di Seremban pada malam semalam. Konvoi ini diteruskan ke daerah Jempol pagi semalam dengan pengisian bersahur bersama penduduk Kampung Bukit Kelulut.

"Pada majlis itu, kita telah sampaikan sumbangan barang keperluan harian kepada 15 belia atau anak-anak belia yang susah. Konvoi ini berakhir di Jelebu pada malam semalam dengan acara berbuka puasa," katanya.

Beliau memberitahu, program tersebut pastinya dapat merapatkan hubungan antara belia dan golongan susah.

"Kita bawa belia sama-sama jelajah kerana kita mahu mereka mendapat pengalaman yang baharu. Ia juga membuktikan bahawa golongan belia bukan golongan yang sukar mendekati masyarakat," jelasnya.

Markas 1 Briged pindah ke Bukit Hitam

Posted: 19 Jul 2013 10:25 AM PDT

SEREMBAN 19 Julai - Markas 1 Briged di Rasah dekat sini akan dipindahkan ke lokasi baharu di Bukit Hitam berhampiran Kem Sunggala di Port Dickson dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Serentak dengan perpindahan itu juga, briged itu akan dikenali sebagai 1 Briged Armour.

Panglima 1 Briged, Brig. Jen. Datuk Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan berkata, peruntukan sebanyak RM118 juta telah diluluskan oleh kerajaan bagi pembinaan kem baharu di kawasan seluas 68 hektar itu.

"Majlis pecah tanah kem berkenaan dijangka dilakukan tahun depan dan pembinaan akan mengambil masa antara 24 hingga 36 bulan.

"Ini akan menjadi markas briged armour yang lengkap dengan pelbagai kemudahan terkini termasuk perumahan untuk anggota semua pangkat," katanya dalam sidang media selepas Perbarisan Serah Menyerah Tugas Panglima 1 Briged di Kem Senawang dekat sini kelmarin.

Pada majlis itu, Sheikh Mokhsin menyerahkan tugas Panglima 1 Briged yang dipegangnya selama satu tahun tujuh bulan kepada penggantinya, Brig. Jen. Datuk Adnan Abu Bakar.

Sheikh Mokhsin bertukar sebagai Pengarah Infantri Markas Tentera Darat di Kuala Lumpur mulai semalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan