Ahad, 7 Julai 2013

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Kontraktor perunding ditegur

Posted: 06 Jul 2013 10:33 AM PDT

Oleh OPAT RATTANACHOT
uspetani@utusan.com.my

SUNGAI PETANI 6 Julai - Kerajaan negeri Kedah memandang serius kelewatan projek pembinaan Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Puteri Jaya bernilai RM25 juta yang gagal disempurnakan sejak dua tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kerja Raya dan Pengangkutan negeri, Datuk Tajul Urus Md. Zain berkata, masalah tersebut dikesan berikutan kegagalan kontraktor perunding menyediakan laluan dari jalan utama ke pintu pagar sekolah.

"Semua bangunan sekolah sudah siap malah kemudahan memang lengkap. Namun, wujud satu masalah dalam kalangan kontraktor perunding yang gagal menyediakan jalan sempurna ke sekolah. Masalah kecil sebegini telah menyebabkan sekolah tidak boleh dibuka dan terpaksa ditangguhkan lebih dua tahun.

"Kita agak kesal kerana masalah kecil sebegini tidak dapat diselesaikan. Sepatutnya kontraktor perunding perlu lebih serius menjalankan tugas mereka agar segala perancangan dapat berjalan dan sekolah dapat dibuka mengikut tempoh yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas melawat projek pembinaan sekolah itu semalam.

Yang hadir sama ialah Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah, Samsudin Bakar dan Jurutera Daerah Kuala Muda/Sik, Saiddin Saad.

Tajul Urus berkata, bagi mengatasi masalah tersebut, pihaknya mengarahkan kontraktor perunding bekerjasama dengan JKR dan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) untuk menyiapkan segera jalan.

Kariah Tasek Gelugor dapat masjid baru RM4 juta

Posted: 06 Jul 2013 10:33 AM PDT

TIMBALAN Pegawai Kemajuan Negeri Pulau Pinang, Abdul Aziz Shaari (kanan) menyampaikan dokumen penyerahan masjid kepada Pengerusi Masjid Jamek Tasek Gelugor Pulau Pinang, Khairul Annuar Musa sambil disaksikan Shabudin Yahaya (tengah) di Pulau Pinang, semalam.

PULAU PINANG 6 Julai - Ketibaan Ramadan tahun ini amat bermakna bagi kariah Tasek Gelugor di sini apabila penantian mereka selama lapan tahun untuk memiliki masjid baharu kini terlaksana.

Malah, Masjid Jamek Tasek Gelugor yang dibina dengan kos RM4 juta itu, berupaya menampung 1,100 jemaah pada satu-satu masa.

Menurut Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Shabudin Yahaya, perancangan pembinaan masjid itu dibuat pada 2005 bagi menggantikan masjid lama yang berusia hampir 100 tahun selain tidak mampu menampung bilangan jemaah yang meningkat.

"Saya membawa permohonan ini kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meluluskan peruntukan sebanyak RM1.5 juta untuk menggantikan masjid lama yang hanya berkapasiti 700 jemaah itu.

"Namun, jumlah itu masih belum mencukupi kerana Jabatan Kerja Raya menganggarkan kos pembinaan masjid itu adalah RM4 juta dan permohonan sekali lagi dibuat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM1.5 juta," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan masjid tersebut hari ini.

Pihak Jabatan Agama Islam Pulau Pinang turut menyalurkan peruntukan sebanyak RM700,000 dan baki selebihnya dikutip oleh jawatankuasa kariah masjid daripada orang ramai.

Jelas beliau, bagi mendekatkan masjid itu dengan golongan muda, pihak jawatankuasa kariah akan memasang perkhidmatan Wi-fi di dalam kawasan masjid selain membina kiosk-kiosk perniagaan bertujuan menjana pendapatan kepada masjid.

Sementara itu Pengerusi Kariah Masjid, Khairul Anuar Musa berkata, pihaknya bersyukur kerana kerajaan memberikan peruntukan untuk membina masjid baharu yang lebih selesa tersebut.

Jelasnya, pembinaan masjid itu diharap dapat meningkatkan syiar Islam di kawasan tersebut serta memberi kemudahan kepada penduduk sekitar untuk beribadat dengan lebih selesa.

Beri tumpuan pembangunan Padang Besar

Posted: 06 Jul 2013 10:33 AM PDT

KANGAR 6 Julai - Kerajaan diminta supaya memberikan tumpuan terhadap pembangunan di Padang Besar supaya tidak lagi dijadikan sebagai transit semata-mata kepada pelancong dari Thailand untuk masuk ke negara ini

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Titi Tinggi, Khaw Hock Kong berkata, ini kerana dengan jumlah pelancong yang masuk menerusi pintu sempadan di Padang Besar boleh menjana ekonomi kepada penduduk tempatan.

''Apa yang menyedihkan sehingga kini mereka sekadar lalu sahaja sebab tidak merasakan pekan ini boleh menawarkan sesuatu yang diperlukan termasuk membeli-belah," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sehubungan itu, katanya, keperluan infrastruktur di pekan ini perlu ditingkatkan.

Beliau berkata, ini penting kerana akan mampu memberikan daya tarikan kepada pelancong untuk singgah.

''Pekan ini perlu berubah wajah supaya tempat pertama yang dilihat oleh pelancong sebagai pintu masuk ke negara ini akan diterokai terlebih dahulu sebelum menjelajah ke negeri lain," katanya.

Hock Kong berkata, kerajaan juga perlu mengkaji semula kemudahan kad lawatan atau lebih dikenali sebagai 'Kad 117' yang pernah diperkenalkan untuk rakyat Thailand memasuki pekan sempadan terutama bagi melawat keluarga dan membeli-belah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan