Isnin, 1 Julai 2013

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


Harun tolak saranan Guan Eng

Posted: 01 Jul 2013 12:41 PM PDT

Oleh RADHUAN HUSSAIN
utusanterengganu@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 1 Julai - Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Ta ib menolak saranan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng agar Pas memboikot pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.

Beliau berpendapat, Pas tidak perlu memulaukan pilihan raya kecil itu sebaliknya wajar meletakkan calon dalam usaha merampas kerusi DUN berkenaan daripada Barisan Nasional (BN).

Harun menyifatkan saranan Guan Eng berhubung perkara itu hanya berdasarkan pandangan peribadi pemimpin DAP tersebut.

Beliau menegaskan, Pas mesti bersedia bersemuka dengan calon daripada parti lawan pada pilihan raya kecil itu kerana Pas tidak pernah memberikan kemenangan percuma kepada BN.

"Secara peribadi, Pas kena bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Kuala Besut dan saya tak fikir Pas akan boikot kerana dia (DAP) parti lain dan itu adalah pandangan dia (Guan Eng). Ikutkan saya, saya suka kita (Pas) lawan saja.

"Pas patut bertanding dan kita mesti lawan. Kita tidak pernah beri kemenangan percuma kepada BN," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Harun yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir diminta mengulas saranan Guan Eng supaya Pas memboikot pilihan raya kecil DUN Kuala Besut berikutan isu dakwat kekal yang didakwanya gagal ditangani oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Cadangan Setiausaha Agung DAP merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang itu di Kulaijaya, Johor semalam mengundang reaksi Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali bahawa pihaknya akan meneliti cadangan tersebut.

Mustafa berkata, Pas akan merujuk kepada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Pembangkang sebelum mengambil sebarang keputusan mengenai perkara tersebut.

Mengulas mengenai reaksi Mustafa itu, Harun bagaimanapun berkata, beliau tetap akan menyokong apa sahaja pendirian yang akan diputuskan oleh kepimpinan Pas.

"Sebagai ahli parti (Pas), saya tetap akur apa saja keputusan kepimpinan Pas, saya akan terima jika Pas berpendirian boikot (pilihan raya kecil DUN Kuala Besut)," tambahnya.

Pas Terengganu tidak endahkan saranan Setiausaha Agung DAP

Posted: 01 Jul 2013 12:41 PM PDT

KUALA TERENGGANU 1 Julai - Pas Terengganu tidak mengendahkan saranan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng supaya memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, sebaliknya berpendirian tegas akan bertanding di situ.

Pesuruhjaya Pas negeri, Abdul Wahid Endut berkata, tidak timbul soal memboikot PRK DUN Kuala Besut kerana Pas negeri bertekad mahu memenangi kerusi di DUN itu biarpun tewas majoriti 2,434 pada pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Beliau berkata, tiada istilah boikot ketika ini kerana Pas negeri tidak bercadang memberi laluan mudah kepada Barisan Nasional (BN) untuk memenangi kerusi itu dengan 'percuma'.

"Tidak timbul boikot PRK ini kerana baru-baru ini ada yang mahu boikot angkat sumpah di Parlimen tetapi akhirnya pergi juga angkat sumpah, jadi, kita tetap dengan keputusan kita yang akan letakkan calon Pas di DUN Kuala Besut.

"Kita juga telah bermesyuarat dan telah senarai pendek calon yang akan bertanding serta telah kerahkan jentera untuk buat persiapan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan muka depan akhbar Utusan Malaysia tentang kenyataan Guan Eng dalam majlis di Kulaijaya, Johor semalam, yang menyarankan agar Pas memboikot PRK DUN Kuala Besut ekoran isu dakwat kekal dalam PRU-13 yang didakwanya tidak ditangani oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kenyataan itu kemudian diulas Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali yang menyatakan cadangan Guan Eng itu akan diteliti di peringkat Majlis Presiden Pakatan Pembangkang sehingga menimbulkan persoalan adakah Pas akan memboikot PRK berkenaan.

Ditanya sama ada kenyataan Mustafa bersifat peribadi atau mewakili parti, Abdul Wahid berkata, beliau tidak tahu berkenaan perkara itu kerana masih belum berkesempatan menghubungi Setiausaha Agung Pas itu.

Bagaimanapun Abdul Wahid menegaskan, keputusan parti adalah mahu bertanding pada PRK berkenaan.

Menurutnya, Pas negeri telah pun menyenaraikan nama calon ketika ini dan akan mengumumkan mereka selepas SPR memaklumkan bila tarikh PRK akan dijalankan.

Abdul Wahid turut membayangkan calon anak tempatan akan diturunkan.

"Kita telah senarai tiga hingga empat orang dan terdiri daripada mereka yang pernah bertanding, mereka yang belum pernah bertanding, ada lelaki dan juga perempuan.

"Soal Ustaz Azhar Idrus adalah calon, saya tidak tahu tetapi beliau bukan dari Kuala Besut, beliau dari Ladang dan beliau juga saya difahamkan tidak minat untuk menyertai politik," katanya ketika menjawab khabar angin bahawa penceramah bebas popular itu bakal diletakkan sebagai calon.

Beliau turut menafikan kerusi DUN Kuala Besut akan diberikan kepada Parti Keadilan Rakyat (PRK).

"Saya telah berbincang dengan Azan Ismail (Pengerusi PKR Terengganu) tentang perkara ini dan saya rasa tidak ada masalah untuk beri laluan kepada Pas kerana pada asalnya kawasan itu ditandingkan Pas dan saya jamin tiada pertindihan akan berlaku kecuali calon bebas," jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan