Khamis, 18 Julai 2013

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Tambah rumah mampu milik

Posted: 16 Jul 2013 11:49 AM PDT

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

SEREMBAN 16 Julai - Kerajaan negeri akan memperkemas Aku Janji Barisan Nasional (BN) yang dibuat dalam pilihan raya umum lalu termasuk menambah bilangan rumah mampu milik untuk kesejahteraan rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan (gambar) berkata, kerajaan telah mengenal pasti beberapa lokasi sesuai di negeri ini untuk didirikan rumah mampu milik bagi kemudahan rakyat berpendapatan sederhana dan rendah.

"Semua Aku Janji yang dibuat lalu berada dalam radar kita, khususnya berkaitan aspek mensejahterakan rakyat yang menjadi keutamaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohamad menegaskan, pada penggal ke-13 ini tiada dasar baharu yang dibuat kerajaan negeri sebaliknya meneruskan dasar yang dibuat pada penggal ke-12 lalu serta mengemaskan gerak kerja dan kecekapan bertindak.

"Ada banyak Aku Janji yang dibuat dan semuanya merupakan dasar yang telah kita buat, malah banyak yang telah kita laksanakan," jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, tambah beliau, bermula selepas perayaan Aidilfitri ini struktur mesyuarat Majlis Tindakan Negeri (MTN) akan diubah untuk menjadikannya lebih efisien dalam menyelesaikan permasalahan rakyat.

Dalam masa sama, melalui jawatankuasa baharu itu, kapasiti dan tugas yang dipertanggungjawab kepada pemimpin akar umbi dapat dipantau Pegawai Daerah sebelum dibawa ke mesyuarat pembangunan daerah sehingga isu itu dikumpulkan dan dibentangkan pula dalam MTN.

"Ini merupakan mesyuarat yang akan membincangkan masalah rakyat secara lebih besar dan mempunyai forum yang luas.

"Jika dahulu masalah yang diterima tidak diselaras, contohnya berkaitan jalan raya. Exco berbincang di bawah portfolio dan kadang-kala tindakan tidak dibuat segera," katanya.

MBMB kesal Ikhlas salah maklumat

Posted: 16 Jul 2013 11:49 AM PDT

MELAKA 16 Julai - Notis arahan berpindah kepada 46 peniaga di Dataran 1Malaysia Klebang dekat sini, bertujuan menempatkan mereka ke satu kawasan yang lebih sempurna yang dilengkapi pelbagai infrastruktur awam.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Abu berkata, arahan tersebut bukan penganiayaan atau penindasan yang didakwa oleh sesetengah peniaga termasuk kenyataan Presiden Ikatan Kecil dan Sederhana (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah.

Menurutnya, kenyataan Ikhlas jelas tidak bersandarkan fakta dan tanpa merujuk terma-terma lesen sementara dikeluarkan MBMB selain terdapat beberapa maklumat salah disiarkan di tiga akhbar tabloid.

Sebaliknya, kata beliau, semua bentuk tindakan itu dibuat berlandaskan peraturan dan syarat-syarat MBMB yang mengeluarkan lesen sementara kepada 46 peniaga terbabit.

Menurutnya, arahan berpindah ke lokasi baharu itu adalah untuk tempoh sebulan dan bukan dengan notis yang singkat seperti yang didakwa sebelum ini.

"MBMB memberi tempoh sebulan iaitu dari 3 Julai hingga 3 Ogos untuk peniaga berpindah ke lokasi baharu berdasarkan notis yang diberikan kepada penganjur iaitu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Klebang Besar.

"Kita arahkan berpindah ke lokasi baharu itu kerana lokasi asal tidak ada infrastruktur awam selain persekitaran berdebu serta kotor selain khemah yang digunakan tidak seragam hingga mencacatkan pemandangan.

"Lokasi baharu di pintu masuk berdekatan logo Dataran 1Malaysia sudah ada infrastruktur lebih baik, kemudahan air, jalan raya untuk berniaga berbanding di kawasan berpasir di tempat lama," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi memberi penjelasan berhubung kenyataan Mohd. Ridzuan yang membidas MBMB berikutan arahan berpindah kepada 46 peniaga di kawasan tersebut.

Sambil melahirkan rasa dukacita dengan kenyataan Mohd. Ridzuan yang tidak merujuk terlebih dahulu kepada MBMB, Zainal berkata, MBMB sebelum ini tidak bercadang membuka perniagaan di kawasan tersebut.

Ujarnya, kawasan itu tidak ada kelengkapan infrastruktur awam seperti tandas, air dan sebagainya bagi membolehkan aktiviti perniagaan sesuai dijalankan di situ.

"Tetapi MBMB beri lesen sementara untuk berniaga atas pertimbangan permintaan JKKK Klebang Besar selaku penganjur tetapi beberapa syarat yang harus peniaga patuhi," katanya.

Jelasnya, antara syarat-syarat yang dipersetujui antara MBMB dan penganjur ialah setiap peniaga dibenarkan menjual barangan makanan kering yang dibungkus, bukan dimasak di situ dan tapak berniaga mesti dikosongkan selepas waktu berniaga.

Walau bagaimanapun, katanya, seluruh peniaga tidak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan MBMB.

Pesalah syariah bulan Ramadan bakal didakwa di mahkamah

Posted: 16 Jul 2013 11:49 AM PDT

JOHANI Hassan menyampaikan sumbangan kepada masyarakat Orang Asli dalam program Ihya Ramadan di Kampung Orang Asli Panchor, Rompin, malam semalam.

JEMPOL 16 Julai - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) akan bertindak sekiranya ada individu beragama Islam tidak menghormati bulan Ramadan dengan makan di khalayak ramai.

Pengarahnya, Datuk Johani Hassan memberitahu, sebelum ini pihaknya menahan individu yang melakukan perbuatan berkenaan dan diberi khidmat nasihat supaya timbul kesedaran terhadap mereka kesalahan itu adalah salah di sisi agama.

Katanya, pendekatan itu sudah tidak sesuai ketika ini dan pihaknya berpendapat kaedah baharu iaitu pesalah akan terus didakwa di mahkamah berkuat kuasa tahun ini adalah kaedah terbaik dalam mengurangkan jenayah syariah tersebut.

"Sebelum ini kita memberi khidmat nasihat selain menakut-nakutkan mereka dengan cara memberitahu mereka bakal dibawa menaiki van jenazah jika melakukan kesalahan sama.

"Walau bagaimanapun, kita dapati langkah itu tidak lagi proaktif dan kita mula menggunakan kaedah baharu iaitu pesalah akan terus didakwa di mahkamah berkuat kuasa tahun ini," katanya ketika ditemui dalam program Ihya Ramadan di Kampung Orang Asli Panchor, Rompin, dekat sini malam tadi.

Katanya, untuk tahun lalu sahaja bahagian penguat kuasa JHEAINS telah menahan sebanyak 10 individu kerana didapati makan di khalayak ramai dalam bulan Ramadan.

Individu tersebut berumur di antara 20 sehingga 50 tahun dan ditahan di beberapa kawasan dan kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 114 Enakmen Jenayah Syariah dengan denda RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua- duanya sekali.

"Walaupun Ramadan tahun ini baru masuk hari ke tujuh namun kami sentiasa mengadakan pemantauan tanpa mengira masa dan tempat dan sehingga kini belum ada sebarang tangkapan dibuat," katanya.

Dalam majlis itu, Johani turut menyampaikan barang keperluan harian kepada beberapa penduduk kampung.

Johani menjelaskan, tahun ini pihaknya akan menumpukan kegiatan penguatkuasaan di beberapa buah lokasi meliputi kedai makan 24 jam atau kaunter pandu laju.

"Kita harap umat Islam di negeri ini dapat mematuhi peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan. Pihak kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak sebaliknya penguatkuasaan akan dijalankan secara berterusan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan