Selasa, 16 Julai 2013

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Masjid siap dalam masa terdekat

Posted: 15 Jul 2013 12:16 PM PDT

Oleh OTHMAN YAHAYA
utusanpenang@utusan.com.my

REEZAL Merican Naina Merican (kanan) dan Roslan Saidin (kiri) diiringi oleh Razak Awang (tengah) melawat Masjid Jamek Al-Zainal Abidin yang tergendala pembinaan di Permatang Setar, Pinang Tunggal, Pulau Pinang, kelmarin.

KEPALA BATAS 15 Julai - Kerja-kerja menaikkan taraf Masjid Jamek Al-Zainal Abidin, Permatang Setar, Pinang Tunggal di sini yang terbengkalai sejak sebulan lalu kerana masalah kewangan akan disambung semula dalam masa terdekat.

Jaminan itu diberikan oleh Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican semasa melawat masjid berkenaan semalam.

Menurutnya, beliau akan cuba mendapatkan peruntukan tambahan bagi menyiapkan masjid itu dengan kadar segera.

"Masalah ini akan diberi perhatian segera kerana masjid ini bakal digunakan oleh penduduk untuk menjalankan ibadah, selain dijadikan sebagai lokasi program-program yang dapat mengeratkan perpaduan dalam kalangan penduduk setempat," katanya.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin dan Ahli Jawatankuasa Masjid Jamel Al-Zainal Abidin Kampung Permatang Setar, Pinang Tunggal, Kepala Batas, Razak Awang.

Masjid baharu itu dibina bagi menggantikan masjid lama yang telah rosak dan dijadualkan siap sepenuhnya pada akhir tahun ini.

Akibat kekurangan peruntukan, kerja-kerja pembinaan telah dihentikan dan hanya kerangka asasnya berserta bumbung berjaya disiapkan.

Pembinaan semula salah sebuah masjid yang tertua dan terletak di tepi jalan menghala ke Kampung Pinang Tunggal itu pada awalnya melibatkan kos sebanyak RM400,000.

Sebahagian kos pembinaan itu disumbangkan oleh bekas Ahli Parlimen Kepala Batas, Tun Abdullah Ahmad Badawi manakala selebihnya daripada tabung masjid.

Pembesaran masjid itu akan membolehkan lebih 1,500 jemaah mengerjakan ibadah pada satu-satu masa berbanding sekarang yang hanya mampu menampung 700 orang.

Status Kuin diputus dalam sidang DUN

Posted: 15 Jul 2013 12:16 PM PDT

Oleh JAMLIAH ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

ALOR SETAR 15 Julai - Cadangan untuk menjadikan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) sebagai badan berkanun kerajaan negeri akan dibincangkan dalam mesyuarat Exco, Rabu ini sebelum diputuskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Mahathir (gambar) berkata, pihaknya akan membentangkan perkara tersebut dalam mesyuarat itu bagi tindakan selanjutnya.

"Kita kena bentangkan perkara ini dalam sidang DUN sebelum ia boleh diluluskan. Jadi saya akan bangkitkan perkara ini dalam mesyuarat Exco, Rabu ini dan kalau dipersetujui akan dimasukkan dalam sidang DUN akan datang," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kedah di sini hari ini.

Beliau mengulas tentang cadangan kerajaan negeri untuk menjadikan Kuin sebuah badan berkanun negeri, iaitu antara enam langkah bagi menambah baik Kuin dalam mengembalikan hak dan kebajikan kakitangan kolej tersebut yang diabaikan oleh kerajaan negeri Pas sebelum ini.

Langkah tersebut dilihat oleh banyak pihak sebagai terbaik dan diyakini mampu meningkatkan sistem pengurusan serta gerak kerja kakitangan kolej berkenaan.

Dalam perkembangan lain, kata Mukhriz, kerajaan negeri memandang serius usaha penyebaran ajaran sesat di pusat tahfiz dan pondok di Kedah.

"Kerajaan negeri sentiasa memantau semua pondok dan tahfiz untuk pastikan mereka tidak lari daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Jika didapati demikian berlaku, tindakan susulan yang tegas akan diambil," katanya mengulas tentang laporan sebuah akhbar baru-baru ini berhubung sebuah pusat tahfiz di Yan, Jerai yang dikenalpasti mengamalkan ajaran sesat.

Pembangunan pusat industri minyak bakal ubah landskap Jerlun

Posted: 15 Jul 2013 12:16 PM PDT

JERLUN 15 Julai - Penduduk Jerlun tidak perlu khuatir kepentingan mereka akan terjejas dengan cadangan membangunkan kawasan ini sebagai pusat industri minyak dan gas kerana pelaksanaannya kelak pasti mengambil kira segenap aspek serta tidak menganiaya mana-mana pihak.

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Othman Aziz berkata, penduduk perlu memberi keyakinan kepada kerajaan Kedah untuk menjayakan projek tersebut agar seluruh rakyat dapat menikmati manfaatnya.

"Saya yakin kerajaan Kedah tidak akan melakukan perkara yang merugikan penduduk. Saya menyeru masyarakat Jerlun supaya memberikan kerjasama dan sokongan tidak berbelah- bahagi terhadap pelaksanaannya nanti," katanya di sini hari ini.

Pembangunan Jerlun sebagai pusat industri minyak dan gas yang mengambil kesempatan daripada perjanjian dua hala Malaysia-Thailand adalah antara rancangan yang terkandung dalam manifesto Aku Janji Barisan Nasional (BN) Kedah sempena Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.

Othman berkata, projek itu merupakan bidang pembangunan baharu untuk dinikmati oleh rakyat pada masa hadapan, sejajar dengan peredaran zaman.

Kata beliau, pelaksanaannya akan mengubah landskap Jerlun dan negeri ini amnya dalam aktiviti ekonomi yang memberikan kelebihan kepada penduduk tempatan meningkatkan pendapatan, selain mewujudkan peluang pekerjaan.

"Saya berharap projek ini dapat dilaksanakan secepat mungkin demi kemajuan fizikal Jerlun dan faedahnya untuk dinikmati rakyat," ujar beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan