Khamis, 4 Julai 2013

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


850 unit PPR atasi masalah rumah

Posted: 03 Jul 2013 11:41 AM PDT

KANGAR 3 Julai - Kerajaan negeri akan membina 850 unit rumah baharu di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) untuk memastikan rakyat negeri ini yang belum memiliki rumah dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Perkhidmatan Bandar, Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil negeri, Mat Hassan berkata, dengan pembinaan itu, ia menjadikan keseluruhan rumah PPR di negeri ini berjumlah 2,078 unit.

"Kesemua rumah ini bakal ditawarkan kepada rakyat yang berkelayakan dengan pendapatan isi rumah di bawah RM1,500 melalui program sewaan," kata beliau dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke-13, di sini hari ini.

Menjawab soalan Chan Ming Kai (PKR-Indera Kayangan) mengenai program PPR, Mat berkata, setakat ini, sebanyak 1,228 unit rumah PPR di Sena dan Bintong telah siap dan dalam proses untuk diduduki oleh penyewa yang layak.

"Sebanyak 200 unit PPR sedang dibina di Kampung Wai dan 150 lagi di Simpang Empat, manakala 500 unit di Arau telah mendapat kelulusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, cuma menunggu masa untuk dibina," kata beliau.

Di samping itu, kata Mat, lima projek Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) telah siap dibina dan sedang dalam proses untuk diduduki oleh pemohon yang layak.

"Kerajaan negeri juga mahu menjalankan projek usahasama dengan pemaju bagi untuk membangunkan rumah mampu milik di negeri ini kerana mendapat permintaan yang tinggi," tambahnya.

Mat berkata, pihaknya juga sedang menjalankan temu duga semula ke atas penyewa untuk memastikan penyewa tidak menyalahgunakan rumah masing-masing atau ia diduduki pemohon yang tidak layak.

Sementara itu, kata beliau, pendekatan baharu juga digunakan untuk mengatasi masalah rumah-rumah PAKR yang terbiar atau kosong di Rancangan Perumahan Awam.

"Ini termasuk mengiklankan rumah berkenaan," katanya.

Perak bakal tubuh Majlis Masyarakat Penyayang bantu OKU

Posted: 03 Jul 2013 11:41 AM PDT

IPOH 3 Julai - Perak bakal menubuhkan Majlis Masyarakat Penyayang dalam usaha membantu serta mengupaya penglibatan golongan kurang upaya (OKU) ke arah pembangunan negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir (gambar) berkata, majlis yang diletakkan di bawah kerajaan negeri dengan penglibatan pertubuhan berkaitan OKU itu antara lain akan meneliti langkah terbaik membantu golongan berkenaan dalam bidang pekerjaan, sukan dan pendidikan.

"Perbincangan ini masih di peringkat awal lagi. Kita akan umumkan juga pengerusinya dalam masa terdekat iaitu seorang yang sangat prihatin dengan nasib golongan OKU.

"Majlis ini akan diletakkan di bawah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Integrasi Nasional negeri, Datuk Rusnah Kassim dan insya-Allah, akan ada peruntukan untuknya," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Sementara itu ketika mengulas pergolakan di Mesir, Zambry berkata, pihaknya sentiasa memantau perkembangan pelajar tajaan kerajaan negeri di sana.

Beliau berkata, pihaknya telah menghubungi kedutaan di Mesir malah sedia bekerjasama dengan Wisma Putra dan Kerajaan Persekutuan sekiranya terdapat keperluan untuk membawa pulang pelajar ke Malaysia.

"Namun, setakat ini, kita belum menerima apa-apa laporan," katanya.

Dalam pada itu, beliau mahu rakyat mengambil iktibar daripada pergolakan di Mesir terhadap usaha untuk menumbangkan kerajaan melalui protes di jalan raya.

"Mereka berjaya menggulingkan sebuah kerajaan dianggap zalim dan diktator untuk membentuk kerajaan lebih demokratik yang dipilih oleh rakyat iaitu Mohammed Mursi. Namun, hari ini, melalui jalan demokrasi, mereka mahu menumbangkan pemimpin yang dipilih itu menerusi demonstrasi jalanan.

"Namun, dalam konteks Barisan Nasional (BN), kita sentiasa menjaga keamanan negara dengan sebaik- baiknya kerana kehidupan bernegara ini sangat penting," katanya.

Ketika ditanya sama ada Perak juga akan mengadakan larangan tazkirah sewaktu solat tarawih seperti di Pahang; Zambry berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah sebagai Pengerusi Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.

Dua hospital swasta beri perkhidmatan berkualiti

Posted: 03 Jul 2013 11:41 AM PDT

KANGAR 3 Julai - Pembinaan dua buah hospital swasta di Pengkalan Assam di sini dan Kuala Perlis dijangka mampu memberikan perkhidmatan kesihatan dan perubatan yang berkualiti kepada rakyat negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan dan Prasarana Awam, Kemajuan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Jafperi Othman memberitahu, Pusat Pakar Perlis (Perlis Specialist Centre) di Pangkalan Assam mempunyai 70 buah katil dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2015.

"Sementara itu Hospital Perlis di Kuala Perlis pula dijangka beroperasi pada tahun depan dengan mempunyai kemudahan 18 buah kati," kata beliau menjawab soalan Khaw Hock Kong (BN-Titi Tinggi) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-13 di sini.

Dalam soalannya, Hock Kong berkata, kerajaan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) berjanji untuk merealisasikan perancangan pembinaan hospital daerah dan hospital swasta bagi memberikan akses perubatan lebih berkualiti.

Hock Kong turut bertanya mengenai pembinaan Hospital Padang Besar memandangkan penduduk khususnya di Titi Tinggi akan bertambah pada masa akan datang.

Menjawab soalan tersebut, Jafperi menjelaskan, perancangan pembinaan Hospital Padang Besar telah dimasukkan ke dalam senarai keutamaan.

Sehubungan itu, kata beliau, sejumlah peruntukan telah kenalpasti bagi penyediaan reka bentuk sebuah hospital yang mempunyai 108 katil dan lengkap dengan kuarters.

"Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Kerajaan Pusat bagi memastikan impian masyarakat di kawasan Perlis Utara akan menjadi kenyataan," tambahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan