Khamis, 4 Julai 2013

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


Salah takrif nilai demokrasi

Posted: 04 Jul 2013 11:22 AM PDT

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 4 Julai - Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tan Sri Dr. Rais Yatim menyifatkan pergolakan terbaharu di Mesir diakibatkan oleh nilai demokrasi yang telah disalah takrif dan disalah amal.

"Apa yang dibangkitkan oleh Arab Spring adalah asakan luaran menerusi suara media atas tindakan apa yang 'dianggap sah atau yang benar di sisi negara itu.

"Berbeza dengan yang berkaitan Arab Spring, pergolakan di Mesir ini bukan terbit dari dalam tapi akibat asakan pengaruh luar serta nilai-nilai baharu yang bercanggah dengan aspirasi asas negara itu tadi," kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Mesir, kata beliau, adalah contoh terbaharu dan terdekat dengan negara ini di mana kepimpinan sesebuah negara yang sah, tidak diterima ekoran faktor psikologi yang meluas di pihak yang tidak terikat dengan undang-undang.

"Trend ini sangat bahaya. Soalnya sekarang Rusia yang mana walaupun wujud keadaan autokrasi dalam negara itu, namun tidaklah menjadi keadaannya seperti Mesir. Ini kerana faktor kedalaman (cintakan negara) yang kuat (dalam kalangan rakyat Rusia).

"Tetapi kita negara-negara Islam tidak ada perkara ini. Jadi, senang sangat diperkotak-katikkan dengan nilai sosial media dan luaran asing," kata beliau.

Mengenai UIAM, Rais berkata, beliau mempunyai beberapa pandangan khusus mengenai masa depan universiti itu yang sejak 30 tahun lalu menjadi universiti perdana.

"Saya berpendapat UIA perlu menjadi pertama, institusi terbaik dalam perkara perbankan dan komersial Islam; kedua, universiti terbaik menerusi tamadun dan pembinaan tamadun dan ketiga, penasihat terbaik dalam hal ehwal produk halal dan akhirnya menjadi universiti penyelidikan ulung bagi dunia Islam," katanya.

Kata beliau: "Saya akan cuba berganding bahu dengan golongan cerdik pandai UIAM untuk menjayakan misi ini."

Sementara itu, Utusan Malaysia difahamkan, Rais telah dilantik sebagai penasihat kerajaan bertaraf menteri berkaitan sosiobudaya untuk negara ini berkuat kuasa 1 Julai lalu.

Menurut sumber, pelantikan itu memfokuskan bidang kerja Rais dalam menyampaikan serta menyediakan laporan yang dicadangkan kepada Perdana Menteri berhubung pentadbiran dan hal ehwal rakyat berhubung kebudayaan, kemasyarakatan dan keharmonian hidup di negara ini.

Siaran langsung pengiraan undi PRK Kuala Besut

Posted: 04 Jul 2013 11:22 AM PDT

KUALA LUMPUR 4 Julai - Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat ini untuk membenarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan proses pengiraan undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut nanti.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, usaha itu bagi membolehkan seluruh rakyat Malaysia menyaksikan proses penuh pilihan raya yang dijalankan dengan telus dan adil.

"RTM adalah media kerajaan dan kita patut dibenarkan untuk berada di dalam bilik pengiraan undi nanti sehinggalah keputusan diumumkan, sudah pasti kita akan mencari kaedah terbaik untuk membuat liputan terbaik kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Seminar Media dan Pilihan Raya Umum 2013 anjuran Gerbang Maklumat Selatan-Selatan (SSIG) dan Bahagian Pengurusan dan Analisis Maklumat (BPAM) Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas peranan media selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Mei lalu, Ahmad Shabery berkata, industri tersebut menjadi ejen penting dalam membentuk budaya politik yang baik di negara ini.

Katanya, media arus perdana mahupun alternatif harus memainkan peranan mendidik masyarakat serta ahli politik untuk menerima keputusan PRU Ke-13 yang lalu selain menghormati antara satu sama lain.

"Walaupun terdapat banyak aduan tentang pengendalian pilihan raya dan yang tidak bersetuju dengan SPR tetapi akhirnya rakyat menerima hakikat berdasarkan sistem yang ada.

"Sebagai contoh, sistem pilihan raya di Amerika Syarikat yang berbeza daripada sistem yang diamalkan di negara ini dan terdapat beribu-ribu aduan mengenai kecacatan sistem itu oleh pengundi namun rakyat negara itu boleh menerima keputusan pilihan raya dengan baik," katanya.

Pada masa sama, Ahmad Shabery berkata, masyarakat yang kini melalui era perkembangan media sosial harus dididik supaya dapat membezakan maklumat yang benar atau sebaliknya.

"Ada yang menyebar sesuatu dengan tidak mahu dikenali, macam dulu ada surat layang. Ini beri impak yang berat. Rakyat harus bezakan mana yang benar dan tidak benar. Mana nak percaya. Kalau penulis tidak sanggup paparkan nama dia, maka keadaan itu sesuatu yang sukar dipercayai dan tidak perlu diambil berat," katanya.

Diminta mengulas tentang persidangan DUN Pulau Pinang yang dikatakan tidak mengadakan sesi soal jawab dan cubaan menghalang wartawan Utusan Malaysia membuat liputan, Ahmad Shabery menyifatkan keadaan itu sesuatu yang malang.

"Kalau benar, amat malang sebab dibuat oleh parti yang melaungkan kebebasan media dan perkara itu diuar-uarkan sebelum dapat kuasa. Namun warna sebenar dapat dilihat apabila mendapat kuasa.

"Tentang sesi soal jawab pula, ini adalah perkembangan menarik. Ini memaparkan warna sebenar pembangkang. Sesi soal jawab penting kerana di Parlimen sendiri ada sesi ini bagi memudahkan wakil kerajaan menjawab isu serta dasar penting," katanya.

Terdahulu ketika berucap, Ahmad Shabery berkata, media di negara ini berhadapan dengan cabaran lebih getir apabila wujud media sosial yang lebih pantas dan terkini yang lebih digemari masyarakat.

Katanya, oleh kerana itu, RTM sendiri memulakan langkah progresif menyiarkan berita-berita bersifat 'real time' atau secara langsung bagi membolehkan masyarakat menerima maklumat tepat dan cepat seperti liputan sidang Dewan Rakyat.

"Rakyat boleh lihat apa yang berlaku pada masa itu dan ini merupakan penanda aras yang baharu dari aspek keterbukaan media dan kita juga bersifat adil kepada wakil pembangkang," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan