Rabu, 17 Julai 2013

Utusan Online - Kota

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Port kaki ponteng puasa

Posted: 16 Jul 2013 11:49 AM PDT

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
kota@utusangroup.com.my

Dua orang lelaki dipercayai beragama Islam sedang mengambil lauk ketika waktu tengah hari di sebuah kedai makan berdekatan Istana Budaya, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Safiyana Salim

KUALA LUMPUR 16 Julai - Jika sekali imbas, pintu pagar sebuah kedai makan berdekatan Istana Budaya di Tasik Titiwangsa dekat sini tertutup rapat seolah-olah tidak beroperasi dan dikunci dari dalam.

Namun, semua itu hanya helah pengusaha kedai terbabit untuk mengaburi mata orang ramai dan pihak berkuasa, sedangkan mereka tanpa segan silu menjual nasi campur kepada umat Islam ketika bulan Ramadan.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi terbabit hari ini mendapati, kedai makan Melayu itu beroperasi seawal pukul 12 tengah hari dan berkemungkinan lebih awal, menjadi tumpuan kaki ponteng puasa.

Lebih mengejutkan, kedai tersebut bukan sahaja membenarkan pelanggan beragama Islam membungkus makanan masing-masing tetapi turut menyediakan kerusi dan meja kepada orang ramai yang mahu menjamu selera di situ.

Malah, ketika tinjauan dilakukan, jurugambar sempat merakamkan aksi seorang lelaki dan seorang wanita yang sedang membuka pintu pagar untuk melangkah masuk ke dalam kedai tersebut.

Lagak mereka dan beberapa lagi pelanggan lain yang sedang menjamu selera di situ seolah-olah sudah biasa dan langsung tidak menghiraukan kawasan sekeliling.

Difahamkan, kedai terbabit memang popular bagi kalangan kaki ponteng puasa kerana terlepas daripada tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa.

Tambahan pula, lokasinya boleh dikatakan agak tersorok kerana jalan di hadapan kedai kurang dilalui orang biarpun berada di bahagian belakang Istana Budaya.

DBKL belanja RM12 juta mencantikkan Jalan Alor

Posted: 16 Jul 2013 11:49 AM PDT

KUALA LUMPUR 16 Julai - Kawasan Jalan Alor yang merupakan 'syurga makanan Cina' di Bukit Bintang akan dinaik taraf ke taraf antarabangsa bagi menarik lebih ramai pelancong asing.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membelanjakan kira-kira RM12 juta untuk tujuan itu, dengan membangun dan mengindahkan lagi kawasan itu.

Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, cadangan menaik taraf yang melibatkan kerjasama kira-kira 100 peniaga dan penjaja di kawasan tersebut dijangka dapat meningkat imej Kuala Lumpur kerana mempunyai tempat makan tepi jalan yang ada daya tarikan tersendiri, bersih, tersusun dan mempunyai landskap yang indah.

"Walaupun Jalan Alor sememangnya sudah popular tanpa perlu dipromosikan lagi namun tidak bermakna keadaan di jalan itu adalah memuaskan kerana kita juga ada menerima aduan daripada pelbagai pihak terutama pelancong yang tidak berpuas hati apabila mereka terserempak dengan tikus dan lipas di situ disebabkan persekitaran yang kotor dan tidak terjaga," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan sesi penerangan dan soal jawab dengan kira-kira 50 peniaga gerai makan, penjaja, wakil pengusaha hotel dan pemilik bangunan di Jalan Alor dan Tengkat Tong Shin di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Esa Mohd. dan Timbalan Ketua Pengarah Perlaksanaan Projek dan Penyelenggaraan DBKL, Datuk Mohd. Najib Mohd.

Ahmad Phesal berkata, kerja-kerja menaik taraf tersebut akan bermula November ini dan dijangka siap Ogos tahun hadapan itu tidak memerlukan para peniaga di situ berpindah sementara ke tempat lain.

"Namun kerjasama mereka diperlukan bagi menangani pelbagai isu yang peru ditangani.

"Ini termasuklah mereka perlu melatih pekerja asing, yang dijadikan pembantu kedai, menitikberatkan soal kebersihan diri dan tidak membuang sampah merata-rata, menjaga persekitaran, meningkatkan kualiti makanan dan layanan dan sebagainya lagi bagi membolehkan pelancong menikmati suasana makan malam mereka yang terbaik di negara ini," katanya.

Mengenai sikap pendatang asing yang gemar membuang sampah merata-rata, Ahmad Phesal berkata beliau akan berbincang dengan pihak kedutaan terutamanya Bangladesh dan Myanmar mengenai perkara tersebut dan jika pendatang ini masih berdegil, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang lain.

"Begitu juga pelbagai masalah pengemis yang suka menyelongkar timbunan sampah yang telah diikat, masalah penagih dan pengedar dadah yang sentiasa berkeliaran di jalan itu, masalah longkang yang tersumbat, masalah letak kereta, kesesakan jalan raya dan sebagainya, kita akan atasi bagi memastikan Jalan Alor tetap menjadi pilihan dan perhatian kalangan pelancong.

"Lebih-lebih lagi tahun hadapan merupakan Tahun Melawat Malaysia 2014 yang sedikit sebanyak Jalan Alor ini menjadi daya tarikan utama di kalangan pelancong," katanya.

Menurut beliau, pelbagai kemudahan akan disediakan termasuk perabot yang sesuai, kemasan lantai, kanopi, payung sehinggalah pencahayaan yang lebih menarik mengikut pelbagai konsep yang bercitarasakan tempatan.

"Di samping kerja-kerja mengecat bangunan, kami juga akan mereka bentuk susun atur dan ruang makan dan membina sistem pembuangan air buangan yang lebih efisien," katanya.

Semua ini, kata Ahmad Phesal adalah sebahagian daripada usaha DBKL bagi menjadikan Jalan Alor dan beberapa lokasi seperti Jalan Kenanga di Kenanga Wholesale Centre (KWC) yang dikenali sebagai jalan fesyen Kuala Lumpur, Jalan Chow Kit dan Jalan Petaling yang berpotensi besar untuk dinaik taraf bagi menarik lebih ramai pelancong datang ke Kuala Lumpur.

Bukit sampah halang jalan

Posted: 16 Jul 2013 11:49 AM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

Barangan lusuh yang telah dimasukkan ke dalam guni disusun sehingga menutupi sebahagian jalan di luar premis oleh pengusahanya sehingga mengganggu laluan di Jalan Merdeka Ria 1, Kampung Baru Ampang, Ampang, Selangor. - UTUSAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH)

KUALA LUMPUR 16 Julai - "Semakin lama keadaan semakin teruk."

Itu kata penduduk yang tinggal berdekatan sebuah premis pengumpulan barang lusuh di kawasan perindustrian kecil di Jalan Merdeka Ria 1, Kampung Baru Ampang dekat sini.

Barang lusuh yang dikumpulkan bukan sahaja membukit tetapi penduduk yang ditemui mendakwa pengusaha pusat itu kelihatan tidak menghiraukan orang lain apabila barang-barang itu melimpah sehingga ke tengah jalan sekali gus mengganggu orang lain.

Selain itu, kata mereka, kawasan itu sangat kotor dan berbau.

Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi itu berdasarkan aduan seorang pembaca baru-baru ini mendapati dakwaan tersebut berasas.

Jalan berdekatan dengan premis itu terhalang oleh barang-barang lusuh yang dilambakkan sehingga menutup sebahagian laluan.

Utusan Malaysia difahamkan, walaupun laluan tersebut jarang digunakan penduduk dari beberapa taman perumahan berhampiran, namun itu tidak bermakna Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) selaku pihak berkuasa tempatan kawasan itu tidak perlu mengambil berat mengenai perkara itu.

Keadaan premis yang kelihatan kotor dan memualkan itu ternyata mencemarkan pemandangan bagi sesiapa yang melalui kawasan tersebut.

Menurut seorang penduduk berdekatan, yang enggan nama dan gambarnya dirakamkan, premis tersebut telah lama beroperasi di kawasan perindustrian itu.

"Dahulu keadaannya tidak teruk seperti hari ini. Akibat kurang pemantauan mungkin pemilik premis tidak ambil kisah mengenai keadaan ini.

"Saya berharap pihak MPAJ datang ke sini dan menyiasat premis tersebut. Adakah mempunyai permit atau sebaliknya.

"Jika mempunyai lesen sekalipun pemilik premis perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan," ujarnya.

0 ulasan:

Catat Ulasan