Sabtu, 13 Julai 2013

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Harga ayam RM13 sekilo di Raub?

Posted: 13 Jul 2013 09:51 AM PDT

Oleh ALI MAHMOOD
utusanpahang@utusan.com.my

RAUB 13 Julai - Bahagian Penguatkuasaan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri diminta menyiasat aduan pengguna tentang terdapat sesetengah peniaga di negeri itu dipercayai menjual ayam sehingga RM13 sekilogram.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Usahawan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, walaupun pihaknya belum menerima aduan rasmi setakat ini, beliau berharap bahagian tersebut tidak memandang ringan dan perlu mengambil tindakan tegas terhadap peniaga terbabit.

Katanya, penguat kuasa perlu menjalankan pemeriksaan sama ada kenaikan harga ayam berpunca daripada pembekal, pemborong atau perbuatan peniaga itu sendiri yang mengambil kesempatan menaik harga ayam sehingga sekali ganda.

''Tindakan mereka itu melampau kerana mengambil kesempatan di bulan Ramadan memandangkan permintaan terhadap ayam terutamanya bagi keperluan umat Islam sekarang ini adalah tinggi.

"Walaupun pada masa ini ayam bukan barang kawalan, peniaga tidak sepatutnya mengambil kesempatan menaikkan harga ketika bulan Ramadan ini," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Menurut beliau, peniaga jangan memikir untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda tetapi mereka juga perlu juga bertimbang rasa terhadap pengguna yang terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar jika harga ayam naik dan bulan puasa ini.

Katanya, pada masa sekarang ayam dijual antara RM8.50 hingga RM9 sekilogram di negeri ini berbanding sekitar RM7.60 hingga RM7.80 sen sekilogram sebelum ini.

Tambah beliau, kenaikan harga ayam dikatakan berpunca daripada pembekal dan pemborong yang menaikkan harga ayam selain bekalannya dikatakan berkurangan berikutan banyak permintaan yang meningkat pada bulan puasa dan hari raya tidak lama lagi.

Shahiruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong menasihati para peniaga supaya mematuhi peraturan termasuk mempamerkan tanda harga serta menggunakan alat penimbang yang sah dalam urusan perniagaan.

Katanya, tindakan tegas mengikut akta kawalan harga dan pencatutan boleh diambil ke atas peniaga yang menaikkan harga barang yang bertujuan mengaut untung berlebihan.

Mahu pagar roboh di SK Galing diperbaiki segera

Posted: 13 Jul 2013 09:51 AM PDT

Awi Shahadan (kanan) menunjukkan zink yang dijadikan pagar sementara setelah pagar konkrit Sekolah Kebangsaan Galing roboh akibat banjir yang masih belum diperbaiki di Kuantan, baru-baru ini.

KUANTAN 13 Julai - Kalangan ibu bapa Sekolah Kebangsaan (SK) Galing di sini mahu pihak berkuasa mengambil langkah segera membaik pulih pagar konkrit sekolah itu yang rosak teruk sejak lapan bulan lalu.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut, Awi Shahadan berkata, banjir besar yang melanda daerah ini pada Disember tahun lalu turut mengakibatkan pagar sekolah tersebut rosak teruk dan gagal dibaiki sehingga kini.

Menurutnya, masalah itu telah dimaklumkan kepada agensi kerajaan terlibat supaya tindakan segera diambil bagi mengelak perkara lebih buruk berlaku khususnya melibatkan soal keselamatan murid sekolah tersebut.

"Sejak kejadian itu, ibu bapa murid di sini bimbang dengan soal keselamatan anak-anak mereka yang menjadikan padang bersebelahan pagar konkrit itu sebagai kawasan permainan.

"Namun pihak sekolah telah mengeluarkan arahan larangan bermain di padang tersebut bagi mengelak perkara lain timbul," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Menurut Awi, ketika ini pagar sementara dibina di kawasan tersebut namun tidak dapat bertahan lama kerana sering digunakan laluan masuk murid ke sekolah itu.

Tambahnya, sejak kejadian itu, berlaku beberapa kecurian seperti alat pemadam kebakaran yang dipercayai dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Inilah yang kami bimbangkan. Mula-mula curi alat tersebut dan kemudian apatah lagi yang akan diambil di sekolah itu. Saya berharap pihak terbabit ambil perhatian sewajarnya demi keselamatan murid serta sekolah ini," ujarnya.

Ariff dicari bantu siasatan polis

Posted: 13 Jul 2013 09:51 AM PDT

Noor Ariff

JERANTUT 13 Julai - Polis sedang mengesan Noor Ariff Irman Hamzah, 36, bagi membantu siasatan beberapa kes samun sejak April lalu melibatkan beberapa buah kampung di daerah ini.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Azid Ismail berkata, alamat terakhir Noor Ariff adalah di Nombor 23, Lorong 8, Taman Pelangi di sini.

Beliau berkata, pihaknya menerima banyak laporan berkenaan kes samun di beberapa buah kampung seperti Kampung Tebing Tinggi dan Kampung Bukit Dinding.

"Orang ramai yang mengetahui di mana Noor Ariff berada diminta segera menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut 09-2662222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya di sini hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan