Rabu, 3 Julai 2013

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Kekalkan imej bersih Kuantan

Posted: 03 Jul 2013 11:41 AM PDT

Oleh FANSURINA ABDULLAH
utusanpahang@utusan.com.my

KUANTAN 3 Julai - Kesemua 1,633 peniaga pasar Ramadan di bandar ini diminta mematuhi peraturan dan syarat khas yang ditetapkan pihak berkuasa bagi mengekalkan imej bersih bandar Kuantan.

Pengerusi Jawatankuasa Perlesenan dan Peniaga Kecil Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Datuk Suhaimi Sulong (gambar) berkata, ini termasuklah menggunakan bekas makanan bertutup lutsinar ketika berniaga sepanjang bulan Ramadan nanti.

Menurutnya, kegagalan peniaga mematuhi arahan dan syarat khas yang dikenakan boleh mengakibatkan permit perniagaan mereka ditarik semula.

"Tindakan tegas itu dilakukan bukan sebagai membebankan peniaga sebaliknya untuk memastikan tahap kebersihan dapat dikekalkan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Taklimat dan Penyerahan Permit Perniagaan kepada peniaga terlibat di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata, pada tahun ini, jumlah peniaga di pasar Ramadan bertambah sebanyak 336 orang.

"Pertambahan 26.1 peratus ini jelas menunjukkan komitmen tinggi peniaga sepanjang bulan Ramadan nanti," jelasnya.

Katanya, pada tahun ini sebanyak 28 tapak pasar Ramadan diluluskan dengan sembilan tapak adalah di bawah pengurusan MPK manakala 19 lagi di bawah pengurusan lain seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan persatuan-persatuan.

"Terdapat empat pasar Ramadan yang baru dibuka pada tahun ini iaitu di RRM Kemunting Jalan Tanah Putih, Bukit Rangin, Taman Tas dan Kampung Pandan 2," ujarnya.

Sehubungan itu, Suhaimi berharap agar peniaga bukan sahaja mematuhi syarat yang ditetapkan, tetapi perlu menjaga amanah masing-masing.

Rancang bina 15,000 rumah mampu milik PR1MA

Posted: 03 Jul 2013 11:41 AM PDT

KUANTAN 3 Julai - Kerajaan negeri merancang membina sekurang-kurangnya 15,000 unit rumah mampu milik di bawah Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) peringkat negeri dalam masa lima tahun akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setakat ini sebanyak 1,698 unit rumah telah disiap dibina dengan 4,647 buah sedang dalam pelaksanaan.

"Sebanyak 6,672 unit pula sedang dalam perancangan. Projek ini akan memberi manfaat kepada penduduk berpendapatan rendah di negeri ini terutamanya golongan belia," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Zaili Besar (BN-Panching) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Terdahulu, menjawab soalan Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff (BN-Bebar) beliau berkata, selain membina rumah mampu milik, kerajaan negeri juga memberikan insentif kepada pemaju yang terlibat dalam pembangunan PR1MA di negeri itu.

"Kerajaan negeri mengenakan premium yang rendah bagi tanah kerajaan yang mahu dimajukan syarikat pemaju untuk projek PR1MA kerana kita mahu harga rumah berkenaan dapat dijual pada harga yang rendah," katanya.

Menurut beliau, selain projek PR1MA Pahang, kerajaan negeri dengan kerjasama syarikat korporat turut memperkenalkan Pusat Komuniti Perumahan Bersepadu seperti di Kampung Baru Salong (DUN Chini); Kampung Padang Rumbia (DUN Bebar); Bukit Kenau (DUN Pulau Manis) dan Kampung Pulau Serai serta Kuala Pahang (DUN Peramu Jaya).

Katanya, semua projek itu adalah inisiatif berterusan kerajaan negeri bagi memastikan semua rakyat dapat memiliki kediaman sendiri terutamanya golongan muda berpendapatan rendah.

"Selain menyediakan rumah mampu milik, kerajaan negeri juga mahu rakyat berupaya meningkatkan pendapatan mereka dengan memperkenalkan projek Agropolitan yang dibangunkan di bawah Wilayah Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

"Setiap projek ini bukan saja menyediakan rumah kepada peserta, bahkan menawarkan projek penternakan seperti biri- biri jenis Dorper yang mempunyai nilai pasaran yang tinggi," katanya.

14 projek TKPM keluarkan hasil pertanian bernilai RM16 juta

Posted: 03 Jul 2013 11:41 AM PDT

shafik fauzan, Lau Lee

KUANTAN 3 Julai - Sebanyak 14 daripada 18 projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di seluruh negeri ini telah mengeluarkan sebanyak 9,500 tan metrik hasil pertanian yang bernilai kira-kira RM16 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, jumlah itu melibatkan 168 peserta yang mengusahakan pelbagai projek pertanian dengan 100 peserta lagi masih di peringkat pelaksanaan projek.

Keluasan tanah yang telah dibangunkan pula adalah 4,845 hektar dengan 957 hektar telah mengeluarkan hasil," katanya pada sesi soal jawab sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Lau Lee (BN-Damak) yang ingin tahu maklumat dan status terkini TKPM di negeri itu.

Menurut Shafik Fauzan, sebanyak 68 orang berjaya mencapai matlamat penubuhan TKPM apabila pendapatan bersih mereka melebihi RM3,000 setiap bulan.

Pelaksanaan projek ini sangat mencabar terutama apabila peserta yang terpilih tidak menunjukkan prestasi yang baik.

Justeru setiap tahun, Jabatan Pertanian terpaksa mengadakan temu duga semula bagi menggantikan peserta yang bermasalah," katanya.

Menurut beliau, bagi kawasan yang dikosongkan, akan terbiar dan menyebabkan peserta baharu dipilih perlu mengeluarkan modal yang lebih untuk membersihkan kawasan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan