Jumaat, 5 Julai 2013

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


8 premis makanan diarah tutup

Posted: 04 Jul 2013 11:22 AM PDT

Oleh OPAT RATTANACHOT
uspetani@utusan.com.my

Seorang kakitangan Jabatan Kesihatan Daerah Kuala Muda menunjukkan kawasan dapur sebuah premis makanan yang kotor dan diarahkan tutup dalam pemeriksaan di sekitar bandar Sungai Petani, Kedah, kelmarin.

SUNGAI PETANI 4 Julai - Sebanyak lapan premis menjual makanan di sekitar bandar ini diarahkan tutup kerana gagal menepati kriteria kebersihan yang ditetapkan dalam satu pemeriksaan semalam.

Pegawai Kesihatan Persekitaran, Jabatan Kesihatan Daerah Kuala Muda, Asif Yahya berkata, arahan itu dikeluarkan selepas pemeriksaan mendapati premis terbabit tidak mencapai tahap kualiti kebersihan ditetapkan.

Beliau berkata, seramai 36 pegawai daripada Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Muda, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) dan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Cawangan Sungai Petani menyertai operasi tersebut.

"Sebanyak 27 premis diperiksa dan lapan daripadanya diarahkan ditutup. Dalam pemeriksaan itu, kita juga menemui satu premis yang dipercayai mempunyai infestasi tikus.

"Kesalahan lain adalah pengendali makanan tidak mendapatkan suntikan anti tifoid, tidak memakai apron dan penutup kepala semasa memasak," jelasnya kepada pemberita di sini.

Beliau memberitahu, lapan premis berkenaan diarahkan tutup selama 14 hari di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 yang mana mereka perlu mengambil tindakan seperti yang disyorkan agar meningkatkan tahap kebersihan premis makanan.

Katanya, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Muda akan menjalankan operasi pemeriksaan premis bagi memastikan peruntukan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dari semasa ke semasa.

Sehubungan itu, peniaga dinasihati supaya mematuhi peraturan dan menjaga kebersihan premis demi kesihatan dan keselamatan pelanggan.

Dana RM32 juta bantu usahawan perladangan

Posted: 04 Jul 2013 11:22 AM PDT

KEPALA BATAS 4 Julai - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) mengumpul dana khas peladang sebanyak RM32 juta bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Saipolbahari Suib berkata, dana khas itu diwujudkan untuk membantu ahli Nafas yang memerlukan pinjaman bagi menjalankan perniagaan berasaskan pertanian.

Beliau berkata, dana yang diwujudkan sejak Januari lalu boleh memberi pinjaman kepada ahli untuk menjalankan perniagaan di sektor pertanian dengan kadar faedah sebanyak 6.5 peratus.

"Setakat ini hampir RM1.5 juta telah dipinjamkan kepada ahli melalui dana tersebut.

"Ahli Nafas boleh membuat pinjaman dengan memohon melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Sebanyak 850,000 peladang menganggotai 276 PPK dan 14 PPN di seluruh negara.

Sementara itu, Saipolbahari menyarankan PPK dan PPN menceburi bidang lain dan bukan hanya tertumpu dalam perladangan sahaja sebagai usaha mengembangkan perniagaan pertubuhan masing-masing.

"Sebagai contoh di Pulau Pinang, PPK atau PPN boleh menjalankan industri pembangunan hartanah termasuk perumahan dan pelancongan bagi mengembangkan peniagaan yang mempunyai potensi di sini.

"Usaha itu akan membantu menambah keuntungan pertubuhan dan merupakan salah satu usaha membantu ahli yang belum memiliki rumah kos rendah dan sederhana dengan harga lebih murah," katanya.

Selain itu, Saipolbahari berkata, lebih 5,000 produk yang dihasilkan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) telah dipatenkan di bawah jenama Cap Peladang akan dipasarkan secara meluas pada musim perayaan ini.

Beliau berkata, usaha itu bertujuan menaik taraf ekonomi pengusahanya selain mengembangkan perniagaan mereka di bawah satu jenama.

"Kita mahu meningkatkan daya saing pengusaha produk tempatan dalam pasaran untuk menghasilkan produk berkualiti tinggi bagi memenuhi permintaan di pasaran," katanya.

Penduduk bosan masalah banjir kilat sejak 30 tahun

Posted: 04 Jul 2013 11:22 AM PDT

ALOR SETAR 4 Julai - Kira-kira 400 penduduk di Taman Perumahan Awam Kuala Kedah di sini hidup dalam kebimbangan apabila masalah banjir kilat sejak 30 tahun lalu masih berlaku di kawasan itu.

Difahamkan setiap kali hujan lebat dalam tempoh satu jam, kawasan perumahan itu akan mula dinaiki air termasuk dalam kejadian terbaharu awal pagi ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Taman Perumahan Awam Kuala Kedah, Abu Hasan Nor berkata, rumah penduduk di kawasan itu mula dimasuki air kira-kira pukul 3 pagi setelah hujan lebat melanda kawasan tersebut.

"Dahulu apabila hujan, air akan mengalir ke kawasan sawah berhampiran, namun kawasan itu sekarang dijadikan kawasan perumahan, itu yang menyebabkan berlakunya banjir kilat.

"Selain itu, masalah perparitan dan saluran sungai Tok Pasai yang terbengkalai juga menyebabkan berlakunya air bertakung dan tidak dapat mengalir keluar," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Abu Hasan berkata, masalah yang berlaku itu menimbulkan kesusahan kepada penduduk setiap kali musim hujan apabila mereka perlu sentiasa bersedia kerana bimbang berlakunya banjir.

Seorang penduduk, Md. Judin Abd. Rahman, 67, yang menjalankan perniagaan kedai runcit terpaksa berdepan dengan kerugian hampir RM500 apabila kedainya dimasuki air menyebabkan beberapa barang rosak.

"Jualan juga terjejas disebabkan tidak dapat keluar membeli bekalan ikan," katanya.

Sharifah Noor Hafiza Syed Md. Tahir, 38, berkata, dia mula menyedari rumahnya dimasuki air setelah dikejutkan ibunya, Sharifah Rodiah Syed Akir, 57, kira-kira pukul 2 pagi.

"Air masuk ke dalam rumah menerusi kawasan dapur dan hadapan. Apabila bangun saya segera angkat barang-barang dan letak di tempat lebih tinggi untuk elak daripada rosak," katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Haris Fadzilah Husain yang turun padang meninjau masalah tersebut memberitahu, pihaknya sudah memaklumkan mengenai masalah perparitan yang berlaku kepada MBAS.

Beliau berkata, MBAS diharap dapat menaik taraf sistem perparitan di kawasan tersebut dan akan memaklumkan kepada Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) memantau saluran di Sungai Tok Pasai.

"Kita faham masalah yang dihadapi oleh penduduk sekarang dan berharap agar masalah ini dapat diselesaikan segera," katanya.

Selain Taman Perumahan Awam Kuala Kedah, kawasan lain yang dilanda banjir kilat termasuklah Taman Sri Putra, Taman Desarina, Kampung Sungai Batang mukim Pengkalan Kundur dan Jalan Pegawai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan