Khamis, 4 Julai 2013

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Pembeli tanggung sengsara

Posted: 03 Jul 2013 11:41 AM PDT

Oleh ABDUL YAZID ALIAS
kota@utusan.com.my

sebahagian daripada pembeli rumah kos rendah Blok E, Petaling Utama, PJS 1 memegang kain rentang mendesak Menteri Besarmenyelesaikan segera isu pembinaan rumah yang tertangguh sejak tujuh tahun di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Shah Alam, Selangor, semalam.

SHAH ALAM 3 Julai - Seramai 262 pembeli Blok E projek perumahan mampu milik dan kos rendah di Petaling Utama, Petaling Jaya Selatan 1 (PJS1) mendesak Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyelesaikan projek tersebut yang didakwa gagal disiapkan hampir tujuh tahun lalu.

Selain menyelesaikan kelewatan tersebut, mereka yang berhimpun di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini pagi ini turut meminta kerajaan negeri melunaskan janjinya yang menawarkan projek perumahan tersebut pada harga RM35,000 daripada harga asal RM70,000 seunit.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemberi Blok E PJS1, S. Sugumaran mendakwa, tawaran itu dibuat setelah pihak pemaju gagal menyiapkan projek tersebut mengikut tempoh yang ditetapkan selepas pihaknya menandatangani perjanjian sewa beli pada 2004.

Menurutnya, selain pengurangan harga rumah, kerajaan negeri turut menjanjikan penolakan kos tanggungan pembeli, sementara projek tersebut disiapkan.

"Asalnya, kami menandatangani perjanjian jual beli projek perumahan kos rendah di Blok E ini pada tahun 2004 dan jika diikutkan perjanjian tersebut, pemaju perlu menyiapkan projek itu dalam tempoh 36 bulan.

"Namun sejak 2007 hingga ke hari ini, Blok E gagal disiapkan oleh pemaju. Bagaimanapun pada 16 Jun 2011, dua Exco kerajaan negeri telah berjanji untuk membina rumah mampu milik dengan tawaran RM35,000," katanya ketika ditemui bersama-sama 100 pembeli lain di sini hari ini.

Tambah Sugumaran, sebelum ini pihaknya telah mengemukakan masalah tersebut kepada kerajaan negeri tetapi sehingga kini kerajaan negeri belum mengemukakan sebarang langkah penyelesaian bagi membela nasib para pembeli projek perumahan tersebut yang rata-ratanya terdiri daripada golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Malah beliau turut mempersoalkan status sebenar rancangan kerajaan negeri untuk mengambilalih tanah projek tersebut daripada pihak pemaju bagi membolehkannya diteruskan, sekali gus menyelesaikan masalah yang dihadapi para pembeli.

"Maka sebab itu kita berhimpun pada hari ini meminta kerajaan negeri dan Menteri Besar memberi perhatian terhadap masalah ini termasuk janji-janji yang dibuat sebelum ini.

"Malah kita menuntut satu tarikh daripada Menteri Besar supaya perbincangan mengenai perkara ini dapat diadakan secepat mungkin," jelasnya yang mengemukakan tuntutan itu kepada Setiausaha Sulit Menteri Besar, Mohamed Yasid Bidin.

Sementara itu, Mohamed Yasid menegaskan, pihaknya akan mencari tarikh sesuai supaya pertemuan itu dapat diadakan selain menyatakan kerajaan negeri sebenarnya telah maklum mengenai masalah yang dihadapi 276 pembeli tersebut.

Selain itu, jelas beliau, kerajaan negeri juga sebelum ini telah membawa perkara itu ke mahkamah berhubung pengambilalihan tanah tersebut supaya projek berkenaan dapat diteruskan oleh kerajaan negeri.

Bagaimanapun pada 15 Mei lalu katanya, mahkamah telah membuat keputusan tanah tersebut tidak boleh diambil alih oleh kerajaan negeri dan kekal di bawah pihak pemaju.

Tingkat keselamatan pelancong

Posted: 03 Jul 2013 11:41 AM PDT

Oleh SHEILA RANI CHANDRASEKARAN dan NURUL SHYAZWANIE MOHAMAD
kota@utusangroup.com

Mohamed Nazri Abdul Aziz (dua kanan) beramah mesra dengan beberapa pelancong luar negara sempena lawatan kerja di sekitar Kuala Lumpur menaiki perkhidmatan bas pelancongan, KL Hop On Hop Off bersama wakil-wakil media, di Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 3 Julai - Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mencadangkan bilangan anggota polis di beberapa kawasan tumpuan di sekitar Bukit Bintang ditingkatkan dalam usaha memastikan keselamatan masyarakat dan pelancong asing lebih terjamin.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, saranan itu amat perlu supaya kawasan-kawasan 'panas' yang dilaporkan sering berlaku kes jenayah seperti ragut, kecurian dan rompakan dapat ditangani dengan berkesan.

"Pihak kami menerima aduan kes kecurian dan ragut di tempat-tempat tumpuan pelancong di Bukit Bintang malah didapati orang ramai termasuk pelancong asing menjadi mangsa kejadian itu.

"Ia bukan satu perkara yang mudah, oleh itu, pihak kami akan berbincang dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Kementerian Wilayah Persekutuan untuk mencari langkah bagi meningkatkan keselamatan di kawasan terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena lawatan kerja di sekitar Kuala Lumpur menaiki perkhidmatan bas pelancongan, KL Hop On Hop Off bersama wakil-wakil media hari ini.

Beberapa kes melibatkan kumpulan penjenayah yang menjadikan hotel, restoran dan pusat beli-belah di ibu negara sebagai lokasi jenayah baru-baru ini menimbulkan kebimbangan orang ramai dan para pelancong.

Ditanya mengenai cadangan mengehadkan penunggang motosikal di Bukit Bintang bagi mengelakkan masalah jenayah tersebut berlarutan, Mohamed Nazri berkata, buat masa ini, langkah itu tidak perlu.

Dalam perkembangan lain katanya, kementerian menyasarkan kira-kira 26.8 juta pelancong asing ke negara ini dengan menjana anggaran pendapatan sebanyak RM65 bilion bagi tahun ini.

"Sempena Tahun Melawat Malaysia 2014, dianggarkan sasaran pengunjung asing ke negara ini adalah 28 juta dengan jumlah perbelanjaan pelancong asing sebanyak RM76 bilion," ujarnya.

Menurut beliau, sasaran itu mampu dicapai memandangkan setiap tahun negara ini menerima peningkatan kehadiran bilangan pelancong asing yang amat memuaskan.

Tingkat penguasaan bahasa Melayu

Posted: 03 Jul 2013 11:41 AM PDT

U. Thamotharan (tiga dari kanan) melihat murid tahun enam SJKT Ladang Raja Musa, S. Ratnavel menggunakan komputer selepas majlis penyerahan komputer oleh Pertubuhan Perinnbam Malaysia di sekolah berkenaan di Kuala Selangor, kelmarin.

KUALA SELANGOR 3 Julai - Pertubuhan Kebajikan dan Amal India Baru Malaysia (Perinnbam Malaysia) hari ini melancarkan projek Nambikai yang dikhaskan bagi membantu murid-murid sekolah rendah jenis Tamil (SJKT) menguasai bahasa Melayu serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dengan tumpuan kepada sekolah-sekolah di luar bandar dan estet.

Presidennya, U. Thamotharan berkata, usaha tersebut merupakan inisiatif bagi meningkatkan keyakinan pelajar-pelajar SJKT untuk bertutur dalam bahasa Melayu selaras dengan perkataan 'nambikai' yang sering diucapkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menunjukkan bahawa masyarakat India memberikan kepercayaan kepada negara.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya telah melawat sebanyak 527 buah SJKT di kawasan pedalaman dan didapati sebahagian daripadanya tidak mempunyai kemudahan lengkap pembelajaran termasuk kemudahan komputer.

Katanya, sekolah-sekolah yang dikenal pasti untuk dimasukkan dalam projek berkenaan akan diberikan bantuan set komputer, kerusi, meja serta kelengkapan lain untuk proses pembelajaran.

"Kita tidak menafikan bahawa pelajar-pelajar daripada SJKT tidak fasih berbahasa Melayu dan kurang pendedahan dari segi teknologi maklumat dan komunikasi.

"Kami akan membantu para pelajar tersebut secara berperingkat dengan memastikan kesemua mereka mengambil bahagian supaya dapat membina keyakinan diri dalam menulis, bertutur dan membaca bahasa Melayu serta mempunyai pengetahuan dalam ICT," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Penyampaian Komputer di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Raja Musa di sini hari ini.

Yang turut hadir Penyelia Kanan SJKT negeri Selangor, Danial Andalas dan Pengarah Projek Nambikai, N. Parthiban.

Thamotharan berkata, projek berkenaan akan menumpukan kepada murid tahun satu hingga lima sebagai kumpulan sasaran dengan menyediakan bantuan pengajaran meningkatkan penguasaan kemahiran lisan dalam bahasa Melayu, kemahiran membaca dan menulis serta kemahiran komputer dan perisian.

Sementara itu, Guru Besar SJKT Ladang Raja Musa, S. S. Pandian berkata, pihaknya gembira dan terharu apabila Perinnbam Malaysia menjadikan sekolah berkenaan sebagai sekolah perintis dalam membantu kerajaan ke arah generasi celik ICT dan menguasai bahasa kebangsaan.

"Kita berterima kasih kepada persatuan ini yang sudi menyalurkan bantuan kelengkapan pembelajaran kepada para pelajar.

"Bukan itu sahaja, baru-baru ini Kementerian Pendidikan juga telah meluluskan permohonan membina enam buah kelas baharu menjadikan keseluruhannya sebanyak 12 kelas.

"Saya berharap dengan adanya pertambahan kelas dan bantuan lain, para pelajar dapat belajar dan berusaha bersungguh-sungguh. Saya yakin mereka mampu menguasai bahasa Melayu dengan bantuan guru profesional," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan