Isnin, 15 Julai 2013

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


UMNO Tasek Gelugor hulur bantuan

Posted: 14 Jul 2013 11:10 AM PDT

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my

Shabudin Yahaya (dua dari kanan) bersama Omar Abd. Hamid (kanan) melihat sebahagian barangan keperluan harian untuk disumbangkan kepada penduduk dalam kawasan DUN Permatang Berangan, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, semalam.

TASEK GELUGOR 14 Julai - UMNO Bahagian Tasek Gelugor meneruskan tradisi menyampaikan sumbangan Ramadan kepada hampir 1,500 ibu tunggal, anak yatim dan fakir miskin di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) pada minggu pertama Ramadan tahun ini.

Ketua UMNO Bahagian yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Shabudin Yahaya berkata, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM150,000 bagi menyediakan beras dan barangan keperluan harian untuk diagihkan kepada mereka yang kurang berkemampuan itu.

"Budaya menyumbang kepada golongan memerlukan ini adalah tradisi yang diamalkan sekian lama dan biarpun nilainya tidak seberapa, niat ikhlas untuk membantu itu yang utama.

"Tahun ini bantuan diperuntukkan kepada 1,500 penerima dan saya harap sumbangan ini dapat meringankan tanggungan mereka di bulan puasa," katanya kepada pemberita di Kampung Pengkalan Batu di sini hari ini.

Beliau sebelum itu menyampaikan sumbangan Ramadan kepada hampir 600 penerima dalam DUN Permatang Berangan.

Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan, Omar Abd. Hamid.

Bagi seorang penerima, Hassan Abdullah, 76, dia amat bersyukur kerana terpilih untuk menerima sumbangan tersebut dan berterima kasih di atas keprihatinan UMNO.

Jelasnya, sumbangan beras, gula, minyak masak dan beberapa barangan lain amat bermakna kerana dapat meringankan bebannya untuk menghadapi Ramadan kali ini.

"Barangan yang diterima ini dapatlah digunakan untuk persiapan berbuka puasa dan bersahur setiap hari sepanjang Ramadan sekali gus meringankan beban saya yang tidak berupaya untuk bekerja kerana masalah kesihatan," katanya yang menetap di Kampung Pokok Machang.

Sementara itu, Wan Chik Awang, 60, pula memberitahu, setiap tahun dia menerima sumbangan barangan yang dapat membantu menyediakan juadah berbuka puas dan bersahur.

"Saya sudah tidak larat nak bekerja, jadi sumbangan beras dan barangan dapur ini bolehlah digunakan untuk berbuka puasa," katanya.

Kuliah agama di Sri Mentaloon diteruskan

Posted: 14 Jul 2013 11:10 AM PDT

PULAU PINANG 14 Julai - Kerajaan Kedah tidak berhasrat menghentikan kuliah agama di kediaman rasmi Menteri Besar di Sri Mentaloon, Alor Setar yang diperkenalkan oleh bekas Menteri Besar, Tan Sri Azizan Abdul Razak ketika Pas memerintah negeri itu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, walaupun kerajaan Kedah kini sudah bertukar tangan, beliau komited untuk memastikan majlis ilmu terus disuburkan di negeri berkenaan.

"Kita teruskan tradisi ilmu dengan mengekalkan kuliah subuh dan ceramah yang diadakan Azizan di kediaman rasmi Menteri Besar dan pagi tadi program tersebut telah dilangsungkan.

"Ketika saya melawatnya tadi, saya laporkan kepada Azizan mengenai perkara itu dan mendengar respons beliau walaupun suaranya tidak begitu jelas," katanya kepada pemberita selepas meluangkan masa kira-kira 20 minit melawat Azizan yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang semalam.

Mukhriz yang melawat Pesuruhjaya Pas negeri itu buat kali ketiga berkata, beliau mendapati keadaan Azizan semakin baik berbanding sewaktu mula-mula mendapatkan rawatan dahulu dan berharap proses pemulihan berjalan lancar.

Azizan, 73, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau sebelum ini menjalani pembedahan memotong kedua-dua belah kakinya akibat komplikasi penyakit kencing manis pada awal Mei lalu.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, Azizan terpaksa melepaskan jawatan Menteri Besar Kedah yang disandangnya berikutan kekalahan pembangkang kepada Barisan Nasional (BN) yang kini diterajui Mukhriz.

Sementara itu, isteri Azizan, Puan Sri Faekah Sheikh Hamzah berkata, suaminya memaklumkan kepada beliau mengenai rancangan untuk membuat korban seekor lembu di Hospital Pulau Pinang pada tahun ini berikutan keadaan kesihatannya yang semakin baik.

140 peniaga degil dikompaun

Posted: 14 Jul 2013 11:10 AM PDT

BALIK PULAU 14 Julai - Seramai 90 peniaga dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 manakala 50 lagi mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972 di seluruh Pulau Pinang dalam tempoh enam bulan tahun ini.

Pengarah Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Mohd. Salleh Ma'amor berkata, sejumlah RM11,800 kompaun dikenakan ke atas peniaga terbabit iaitu RM7,500 bagi kes Akta Kawalan Harga dan RM4,300 untuk kes Akta Timbang Sukat.

Menurutnya, nilai rampasan bagi kes Akta Kawalan Harga ialah RM12,797 dan kes Akta Timbang Sukat berjumlah RM4,720.

"Kesalahan di bawah kedua-dua akta ini sering dilakukan dan kami akan pantau supaya mereka sentiasa mematuhi peraturan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Ops Harga di sini semalam.

Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya.

Mengenai operasi itu, Mohd. Salleh memberitahu, beliau amat berpuas hati dengan sikap peniaga yang mematuhi peraturan.

Jelasnya, pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada yang mengambil kesempatan menjelang musim perayaan ini.

"Skim kawalan harga Aidilfitri akan dikuatkuasakan dari 1 hingga 15 Ogos ini," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan